Imej Cerminan Objek

Di tengah-tengah pentas utama, kelihatan seorang yang bertopi, berjubah biru seakan-akan sedang asyik menghayati bait lagu yang berkumandang daripada pembesar suara. Badannya ke kiri dan ke kanan. Sambil itu, kedua-dua belah tangan silih berganti digoyang dengan gerak tertentu dan sesekali diangkat setara bahu apabila tiba pada bait “cemerlang”, “gemilang” dan “terbilang”.

Di hadapannya, beratus-ratus orang berdiri dan melakukan aksi yang sama dengan gaya yang seragam, ibarat cermin yang memantulkan imej daripada suatu objek. Pada penghujung lagu, apabila nama UniMAP dilaung, semuanya menggenggam tangan kanan dan mengangkatnya tinggi dengan penuh semangat.

Diiktiraf sebagai universiti cemerlang dalam tempoh 11 tahun disertai kecemerlangan penyelidiknya di dalam dan luar negara merupakan satu kejayaan yang besar bagi UniMAP. Kecemerlangan ini berpaksikan kewibawaan Naib  Canselornya sendiri yang menunjukkan teladan yang baik kepada warga UniMAP.

Ketika mewawancara beberapa orang penyelidik yang mengharumkan nama UniMAP di pentas antarabangsa, saya sangat terkejut melihat reaksi yang sangat positif baik dari segi nilai mahupun semangat yang ada dalam diri mereka. Hal ini dapat dirumuskan sebagai cerminan daripada pemimpin mereka.

Perkara ini juga selari dengan konsep yang dikemukakan oleh B.F. Skinner yang mengatakan bahawa seseorang akan mempelajari dan meniru perilaku orang lain. Perilaku yang ditonjolkan oleh seseorang pada waktu ini, sama ada positif atau negatif, merupakan gambaran perilaku orang sebelumnya.

Sesungguhnya benarlah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Kata-kata Dato’ NC, “Saya perlu tunjukkan bahawa saya boleh lakukan, barulah mereka akan mencontohi saya” benar-benar menjadi kunci kejayaan dan kecemerlangan kepada universiti muda ini.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2013