JERAMI PADI TINGKATKAN HASIL TANAMAN

OLEH ZAINAB HAMZAH DAN AINATUL ALIA

PENINGKATAN aktiviti pertanian bagi menyokong perkembangan populasi manusia menyebabkan bertambahnya penghasilan sisa pertanian. Pengeluaran tahunan global sisa pertanian dianggarkan melebihi 500 juta tan. Kini biojisim daripada sisa pertanian dalam bentuk biochar berpotensi digunakan sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk biokemampanan.

Biochar berpotensi sebagai pinda tanah yang berharga untuk meningkatkan produktiviti tanaman dan dihasilkan daripada pelbagai bahan mentah organik dengan keadaan pirolisis yang berlainan. Oleh sebab itu, penulis berserta ahli kumpulan penyelidikannya telah melakukan kajian menggunakan biochar daripada tiga bahan buangan pertanian, iaitu buah tandan kosong kelapa sawit, jerami padi dan hampas tebu.

Kajian yang mendapat sokongan kewangan menerusi Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) – projek Keselamatan Makanan (9012-00004) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini menggunakan pendekatan beranalisis untuk mengkaji kesuburan tanah, dan pertumbuhan tanaman.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2013.

Posted in: Fokus, Utama

Baja di Tanah Sendiri

EMPAT ratus enam puluh lima juta ringgit. Itulah nilai subsidi baja yang diberikan oleh kerajaan Malaysia menerusi bajet 2013. Dalam bajet ini juga diperuntukkan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti padi, kelapa sawit, getah dan herba bernilai tinggi.

Menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan pula, bantuan baja diberikan kepada pesawah. Baja yang diberikan ialah 240kg baja sebatian sehektar dan 100kg baja urea sehektar. Bantuan dalam bentuk baja tambahan NPK pula ialah sebanyak RM400 sehektar.

Dapat dikatakan bahawa pengeluaran padi di negara ini masih bergantung pada bantuan kerajaan melalui insentif yang diberikan saban tahun. Bagi mengurangkan serba sedikit masalah ini, kajian telah dilakukan oleh seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meningkatkan hasil tanaman.

Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa jerami padi yang dibakar separuh dalam masa 45 minit mempunyai nilai mineral dan nutrien yang tinggi. Bahan ini bukan sekadar dapat meningkatkan kesuburan tanah malah mampu meningkatkan hasil tanaman padi.

Melalui kajian ini, pesawah bukan sahaja dapat mengurangkan kos baja malah baja yang terhasil dapat digunakan bagi tujuan eksport. Hal ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan pesawah tetapi dapat meningkatkan pengeluaran baja organik yang lebih selamat kepada tanaman dan pengusaha tanaman. Peningkatan pengeluaran baja organik ini secara tidak langsung mampu mengurangkan kebergantungan pesawah kepada subsidi kerajaan sama ada dari segi baja atau kos sara hidup.

Kos penghasilan baja ini juga tidak mahal kerana tidak perlu membeli bahan mentah atau peralatan yang mahal. Malah, pengurusan baja ini juga lebih mudah kerana baja itu sememangnya berada di sawah. Selain itu, pesawah tidak perlu berkursus panjang bagi mempelajari teknik menghasilkan baja ini, sebaliknya mungkin cukup sekadar latihan amali yang diberikan oleh penyelidik atau jabatan berkaitan.

Diharap akan lebih banyak lagi kajian dilakukan bagi meningkatkan hasil tanaman terutama padi. Semoga suatu hari nanti Malaysia mampu mengeluarkan hasil tanaman yang bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat tetapi juga mengurangkan kebergantungan pada import dari negara luar.

– Mohd. Syukri Anwar


Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2013.