Pateri Selamat Tanpa Plumbum

BAYI berumur 10 minggu itu sawan secara tiba-tiba. Lantas dia digegaskan ke hospital. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa bayi itu mempunyai kandungan plumbum yang tinggi di dalam darahnya.

Kejadian yang berlaku di Kanada ini membingungkan doktor kerana bayi itu hanya minum susu badan dan makan makanan bayi. Kajian selanjutnya terpaksa dilakukan dan doktor mendapati bahawa air yang digunakan untuk menyediakan makanan bayi ini dimasak di dalam sebuah bekas khas yang dipaterikan dengan bahan pateri berplumbum.

Ketika dipanaskan, plumbum meresap keluar dan berkumpul di bahagian bawah bekas berkenaan, seterusnya bercampur dengan air. Air tersebut pula digunakan untuk membancuh makanan bayi. Apabila makanan itu dimakan, berlakulah kontaminasi plumbum kepada bayi.

Sebenarnya banyak lagi penggunaan pateri dalam kehidupan yang memungkinkan pengguna berisiko tinggi untuk dikontaminasi. Antaranya termasuklah penggunaan pateri pada litar elektronik. Litar elektronik ini didedahkan kepada pelajar di sekolah menerusi mata pelajaran Alam dan Manusia, dan Kemahiran Hidup. Hal ini secara tidak langsung mendedahkan pelajar kepada keracunan logam toksik ini.

Bagi mengatasi masalah ini, penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menghasilkan Pateri Hijau yang bebas plumbum. Pateri ini berpotensi menggantikan pateri yang ada dalam pasaran, seterusnya dapat mengurangkan pendedahan pelajar atau pengguna lain terhadap produk yang menggunakan pateri berplumbum.

Inovasi produk yang mengguna pakai teknologi komposit nano ini merupakan satu lagi kemajuan yang dapat membantu melestarikan alam sekitar. Ekosistem akan lebih sihat tanpa pencemaran plumbum. Malah, insiden yang tidak diingini seperti yang berlaku kepada bayi di Kanada itu dapat dielakkan.

Kajian seperti ini diharap dapat menyedarkan banyak pihak, bukan sahaja tentang kepentingan perlindungan diri daripada produk berplumbum tetapi juga menarik minat lebih banyak ahli sains bagi mencipta produk yang selamat kepada pengguna.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2013