Pusingan Turbin Semakin Laju

DUNIA begitu ghairah mencari sumber bahan api alternatif yang dapat menggantikan bahan api petroleum yang semakin kurang. Kerisauan ini disebabkan oleh permintaan guna tenaga yang semakin meningkat saban tahun tanpa mengira sama ada di negara maju atau negara membangun.

Di Malaysia, penggunaan tenaga berada pada tahap yang rendah. Walau bagaimanapun, penggunaan tenaga berkembang pada kadar yang pantas selari dengan perkembangan ekonomi. Maka muncullah kajian tentang biojisim, biobahan api, tenaga suria, tenaga angin, air dan geoterma.

Salah satu sumber tenaga alternatif yang masih kurang diterokai di Malaysia ialah tenaga angin. Oleh sebab itu, penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah melakukan kajian bagi mengatasi kekurangan itu. Akhirnya, satu inovasi tercipta melalui teknik apungan magnetik bagi membantu aci turbin berputar dan menghasilkan gerakan relatif dengan geseran yang rendah. Seterusnya, turbin angin lebih mudah berputar pada kelajuan angin yang rendah dan menghasilkan tenaga elektrik.

Turbin angin ialah alat yang digunakan untuk menukarkan tenaga angin kepada tenaga elektrik. Apabila angin melalui kawasan rotor, daya seretan dan daya apungan rotor memutarkan bilah turbin. Kemudian, bilah turbin memutarkan aci untuk menjanakan tenaga elektrik melalui penjana.

Perlumbaan manusia mencari sumber tenaga alternatif ini dapat diibaratkan sebagai angin yang mula-mula bergerak perlahan dan kemudian semakin laju. Begitu juga putaran turbin yang mula-mula bergerak perlahan dan akhirnya pusingan turbin semakin laju bagi menandakan kejayaan dunia dalam menguasai teknologi penghasilan

tenaga.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2013