Antara Kepercayaan dengan Kajian Perubatan

Kepercayaan terhadap perubatan tradisional begitu menebal terutamanya dalam masyarakat Melayu. Walaupun tiada kajian saintifik dijalankan tetapi banyak daripada petua atau rawatan tradisional berjaya menyembuhkan penyakit atau keadaan tertentu.

Apabila seorang itu sedu, dia sering dikaitkan dengan jawapan bahawa badannya akan membesar lagi. Biasanya, perkara ini sering dikaitkan dengan kanak-kanak. Akan tetapi banyak juga orang dewasa yang sedu dan agak kelakar jika dikatakan dia sedu kerana ingin membesar. Bagi rawatan sedu pula, ada orang percaya bahawa dengan menampal perca kertas atau tisu yang dibasahkan pada dahi, sedu itu akan hilang.

Begitu juga kepercayaan bahawa apabila kepala terhantuk atau kepala diketuk oleh orang lain, perlu dirawat dengan mengetuk dagu beberapa kali. Hal ini dilakukan bagi mengelakkan orang yang terhantuk atau diketuk kepalanya menjadi bodoh atau kurang cerdik.

Jika seseorang tercekik tulang ikan pula ada beberapa petua bagi mengeluarkannya. Antaranya termasuklah mengetuk jari pada mangkuk yang diletakkan atas kepala dan makan nasi yang dikepalkan.

Bagi penghidap resdung pula, ada perawat yang menggunakan lipas tanah, cili kering, limau, bedak sejuk atau asap bagi mengeluarkan ulat yang ada pada muka pesakit. Ulat ini biasanya akan keluar dari muka pesakit bergantung pada tahap keterukan resdung itu.

Sebaliknya, menurut Dr. Irfan Mohamad, pakar perubatan otorinolaringologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), resdung sebenarnya disebabkan oleh jangkitan pada rongga sinus dan bukannya disebabkan oleh ulat.

Disebabkan terlalu banyak petua dan kepercayaan yang walaupun terbukti tapi tidak disahkan dengan kajian saintifik, sangat perlu untuk ahli sains tempatan meneliti akan kesan setiap petua yang diamalkan itu. Hal ini dikatakan demikian kerana mungkin wujud kesan sampingan akibat mengamalkan petua itu.

Apa-apa pun, yang penting ialah setiap yang berlaku ini sama petua tradisional atau rawatan moden pasti ada huraiannya. Terpulang kepada perawat untuk meyakinkan pesakit tentang apa-apa yang

mereka lihat dan alami.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2013