Kembalikan Kelakian yang Hilang

Tiga perpuluhan lima juta lelaki di Malaysia mengalami masalah mati pucuk dan 15 peratus daripadanya berusia antara 25 – 34 tahun. Angka ini sangat besar jika dibandingkan dengan populasi penduduk di negara ini.

Masalah mati pucuk tidak berakhir di situ kerana dapat menimbulkan masalah lain, iaitu kecurangan dan perceraian. Hal ini terbukti apabila statistik menunjukkan antara tiga hingga 5.7 daripada sepuluh kes perceraian disebabkan oleh lemah tenaga batin. Selain itu, mati pucuk juga menimbulkan fenomena ubat yang dapat merawat tenaga batin.

Pengambilan ubat kuat terutamanya tongkat ali sama ada dalam bentuk rebusan herba atau minuman yang ditambah dengan ekstrak tongkat ali menjadi pilihan utama bagi mengatasi masalah tenaga batin dalam kalangan lelaki. Kebanyakan mereka menganggap bahawa cara ini merupakan jalan paling mudah dan berkesan jika dibandingkan dengan kaedah lain.

Dengan cara ini juga, lelaki yang lemah tenaga batin tidak perlu berjumpa doktor atau perawat tradisional. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor malu jika kelemahan mereka diketahui oleh orang lain.

Walau bagaimanapun, pengguna yang mengambil ubat kuat tidak tahu keberkesanan dan kesan sampingan ubat kuat. Malah banyak juga yang tidak tahu kuantiti sebenar ubat kuat yang memberikan kesan kepada tenaga batin. Pengguna lebih suka mendengar dan terus percaya akan suatu produk berbanding dengan berusaha untuk mengkaji keberkesanan ubat kuat dalam merawat masalah mereka.

Sikap tidak ambil peduli akan kandungan dalam produk ubat kuat yang diambil merupakan suatu perkara yang perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Tanpa pengetahuan, pengguna akan tertipu dengan gimik syarikat pengeluar produk ubat kuat seterusnya memudahkan pengeluar ubat kuat mengambil kesempatan.

Yang lebih penting ialah kesan buruk akibat pengambilan ubat kuat yang palsu. Saban tahun ada sahaja berita yang dipaparkan tentang penarikan semula ubat kuat kerana dicampurkan bahan terlarang. Kebanyakan ubat kuat yang dijual secara berleluasa dalam pasaran mengandungi racun seperti tadalafil, sildenafil dan verdanafil. Bahan ini merupakan perangsang seks bagi lelaki. Bahan ini sepatutnya hanya boleh diberi kepada pengguna setelah mendapat preskripsi doktor.

Pengambilan bahan berbahaya ini juga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna. Antaranya termasuklah serangan jantung, strok, perdarahan otak, peningkatan tekanan darah serta kehilangan penglihatan dan pendengaran. Sangat tidak berbaloilah jika pengguna terpaksa menghadapi risiko ini disebabkan terlalu percaya akan produk ubat

kuat yang berleluasa dalam pasaran.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2013