Masa untuk Langsing

Manusia pada zaman ini sentiasa sibuk kerana sentiasa mengejar masa. Hal ini disebabkan oleh tuntutan kerja agar dapat menampung kehidupan sendiri dan keluarga. Tidak cukup dengan kerja pada waktu pejabat, ada yang menyambung kerja secara sambilan pada waktu malam atau hujung minggu. Malah ada juga manusia yang bekerja daripada pagi hingga malam pada setiap hari.

Allah mengurniakan masa kepada manusia yang jika tidak diuruskan dengan baik bakal membawa kerugian seperti yang diterangkan dalam surah al-Asri. Yang penting, perlu ada keseimbangan antara masa yang diperuntukkan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Masa untuk diri sendiri meliputi pelbagai aspek termasuklah penjagaan badan. Apabila badan sihat, segala tanggungjawab yang Allah berikan dapat ditunaikan dengan jayanya. Badan yang sihat pula dapat digambarkan dengan badan yang langsing kerana kurang timbunan lemak pada badan terutamanya perut dan paha.

Bagi mendapatkan badan yang langsing, perlu ada masa yang diperuntukkan untuknya. Orang dahulu memperuntukkan banyak masa untuk menjaga kelangsingan badan melalui pelbagai kaedah. Antaranya termasuklah berpantang selepas bersalin, melakukan sendiri kerja di rumah, berkebun, makan makanan yang rendah kandungan lemak dan kalori selain makan dalam jumlah yang sedikit dan tidak kerap.

Keadaan ini berbeza daripada orang zaman sekarang yang tidak mahu bersusah-payah melakukan suatu perkara, makan makanan segera dan makan tanpa mengira waktu. Jika ada jalan singkat seperti pengambilan pil atau makanan kesihatan yang dapat melangsingkan badan, kaedah inilah yang akan dipilih. Walaupun terpaksa membelanjakan hingga beratus-ratus ringgit untuk membeli produk seperti ini, mereka masih rasa berbaloi untuk mencubanya.

Kesan produk seperti ini masih diragui akan keberkesanannya. Tidak semua orang akan langsing apabila mencubanya. Apa-apa yang lebih teruk ialah ada ubat yang membawa mudarat kepada golongan tertentu. Namun perkara ini sering diabaikan oleh pengguna.

Maka disarankan supaya pengguna menyeimbangkan antara aktiviti fizikal seperti senaman dengan pengambilan makanan seperti yang tercatat dalam piramid makanan. Yang penting ialah peruntukkan masa untuk menjadikan badan langsing seperti orang dahulu dan bukannya terus memilih jalan singkat yang belum tentu menjamin

pengguna dapat langsing.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2013