Gemuk, Kurus dan Kembali Gemuk

Testimoni merupakan perkara penting yang dapat meyakinkan pengguna tentang suatu produk sama ada makanan atau

perkhidmatan. Makin banyak orang yang ada dalam suatu testimoni, makin kuat imej suatu produk dan makin cepat pengguna mempercayai keberkesanan produk itu dan seterusnya mencubanya.

Begitu juga produk untuk menguruskan badan. Banyak yang berjaya kurus, tetapi sejauh manakah mereka dapat mengekalkan keadaan kurus. Hal ini dikatakan demikian kerana ada yang kembali gemuk setelah meninggalkan produk yang dikatakan bertanggungjawab dalam menguruskan mereka.

Keadaan kembali gemuk ini diibaratkan sebagai yoyo (sindrom yoyo). Hal ini dikatakan demikian kerana yoyo yang dilepaskan akan pergi dan kembali semula ke tangan pemain. Keadaan yoyo sebelum dilepaskan diibaratkan sebagai keadaan gemuk, yoyo yang dilepaskan diibaratkan sebagai keadaan kurus dan yoyo yang kembali semula kepada tangan diibaratkan sebagai keadaan gemuk semula.

Bukan itu sahaja, pergerakan yoyo yang laju juga melambangkan perubahan daripada gemuk kepada kurus adalah sangat cepat dan setelah kurus, dalam masa yang singkat pengguna gemuk semula. Malah hal ini tidak berakhir pada satu kitaran sahaja kerana yoyo akan terus pergi dan kembali kepada tangan pemain selagi pemain tidak berhenti main.

Dengan kata lain, selagi pengguna tidak berhenti melakukan perkara yang menyumbang kepada keadaan ini, selagi itulah keadaan gemuk dan kurus ini akan berkitar.

Hakikatnya tidak banyak orang tahu bahawa perubahan keadaan badan antara gemuk dengan kurus yang cepat dan drastik ini membahayakan kesihatan mereka. Sindrom yoyo ini bukan setakat membantutkan metabolisme tubuh, tetapi juga menyebabkan kegagalan tisu otot untuk membakar kalori hingga menyebabkan seseorang itu bertambah gemuk.

Maka pengguna perlu memahami dengan mendalam sebelum mencuba sebarang produk sama ada ubat atau program diet yang ditawarkan oleh sebarang syarikat.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Oktober 2013