Rawat Ketagihan – Peluang Masih Ada

“Ayah bukan marah atau tidak izinkan kamu hisap rokok. Akan tetapi, kamu masih bersekolah lagi. Tunggulah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir. Hanya beberapa tahun lagi. Sekarang ini, tumpulah pada pelajaran dahulu”.

Itu antara dialog yang saya dengar daripada seorang rakan tidak beberapa lama dahulu. Saya begitu terkejut apabila rakan saya itu menasihati anaknya dengan nasihat sebegitu. Sepatutnya si ayah perlu menunjukkan jalan supaya anaknya berhenti merokok, bukan membenarkannya secara bersyarat.

Masalah rokok ini bukan satu perkara baru dalam kalangan rakyat Malaysia. Masalah ini bermula sedikit demi sedikit hinggalah merebak dengan ganas tanpa dapat dibendung. Apabila pelajar sekolah mula merokok, lagi mudah gejala ini menular kepada pelajar yang lain.

Usaha bagi membetulkan perkara yang salah ini bukan tugas mudah. Walaupun ibu bapa menggunakan kuasa vetonya untuk menghentikan anak mereka daripada merokok, dapat dikatakan bahawa usaha itu hanya sia-sia. Hal ini dikatakan demikian kerana si anak masih merokok secara rahsia di belakang ibu bapanya.

Hakikatnya memang sukar untuk berhenti merokok. Walaupun mampu berhenti merokok ketika berpuasa bagi umat Islam, namun mereka kembali merokok apabila berbuka puasa. Dari satu segi, terbukti dengan berpuasa, perokok sanggup untuk tidak merokok. Oleh sebab itu, tahap ketagihan yang tinggi dalam diri perokok sebenarnya dapat diubati dengan puasa. Mungkin puasa yang berterusan pada hari tertentu dapat membantu menyelesaikan masalah ini sedikit demi sedikit.

Selain itu, terlalu banyak kaedah yang ada bagi merawat ketagihan rokok. Sama ada rawatan tradisional mahupun moden. Antara rawatan bagi merawat ketagihan dadah ini termasuklah akupunktur pada telinga, mengambil minuman tertentu, seperti madu dan rawatan dengan ayat suci al-Quran.

Ada yang mencuba rawatan yang dinyatakan, tetapi banyak yang tidak berjaya. Apa-apa yang penting ialah perokok tidak berputus asa untuk berhenti merokok. Apabila perokok berputus asa, peluang untuk berjaya ialah kosong. Akan tetapi, jika masih terus berusaha, peluang itu tetap ada dan terus ada hingga bila-bila selagi perokok terus berusaha.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2013