Selamatkan Mangsa Kemalangan Segera

Statistik kemalangan yang begitu membimbangkan saban tahun antara cabaran besar yang perlu ditangani dengan segera. Sama ada kemalangan itu berlaku disebabkan oleh kecuaian atau kekurangan pada kenderaan dan jalan raya, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan alasan jika usaha penyelamatan lewat dilakukan.

Hakikatnya, banyak mangsa kemalangan yang tidak dapat diselamatkan kerana pihak yang bertanggungjawab lewat tiba di lokasi kemalangan. Tidak sedikit mangsa kemalangan yang secara teknikalnya dapat diselamatkan jika penyelamat dapat tiba segera.

Antara punca penyelamat gagal tiba dalam masa yang sepatutnya termasuklah kesesakan jalan raya, tiada  maklumat  lengkap tentang lokasi kemalangan dan lambat dimaklumkan kepada pihak penyelamat. Malah, ada juga berlaku pertindihan kawasan antara hospital yang menyebabkan usaha penyelamatan diserahkan kepada pihak yang lain.

Menyedari akan kelemahan sistem pemberitahuan kemalangan di negara ini, Vigneswara Rao Gannapathy mencipta alat pengesan yang mampu mengesan kemalangan secara automatik, walau di sebarang lokasi dengan segera. Produk yang dikenali sebagai e-ALERT ini menggunakan gabungan pengesan impak dan unit kawalan elektronik.

Penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) ini menggunakan teknologi sedia ada, seperti sistem pesanan ringkas (SMS) dan teknologi sistem kedudukan sejagat (GPS) bagi menghasilkan produk yang telah memenangi pingat Emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2013.

Walau bagaimapaun, ada beberapa kekurangn yang dapat ditambahbaik dari masa ke masa. Contohnya, jika pemandu tidak membawa telefon bimbit dan mengalami kemalangan kecil, pemandu tidak dapat menamatkan mesej amaran yang dihantar ke telefon bimbitnya. Hal ini menyebabkan maklumat palsu dihantar kepada pihak berwajib.

Selain itu, telefon bimbit juga perlu dipastikan sentiasa dicas agar keadaan bateri lemah atau kehabisan bateri tidak berlaku supaya pemandu dapat menamatkan mesej amaran yang dihantar.

Melalui penyelidikan yang dihasilkan ini, diharap lebih banyak penyelidik yang menghasilkan produk yang bukan setakat mampu mengesan kemalangan, sebaliknya mengesan faktor penyebab kemalangan. Jika faktor ini dapat dikesan secara automatik, mungkin lebih mudah tugas penyelamat nanti dan makin berkurang nyawa yang terkorban.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2013