Apabila yang Bisu Diizinkan Bersuara

Kemajuan teknologi begitu pesat hingga menyebabkan suatu perkara yang pada masa dahulu dianggap mustahil kini menjadi nyata. Tidak pernah ada sesiapa menyangka bahawa pelbagai peranti canggih yang hanya dapat dilihat di kaca televisyen menerusi filem fiksyen sains yang diibaratkan sebagai khayalan untuk menarik penonton semata-mata muncul dalam pasaran di seluruh dunia.

Bagi sesetengah orang, komputer, komputer riba dan komputer tablet merupakan peralatan yang cukup canggih kerana dapat memudahkan komunikasi dan urusan harian. Berbekalkan kemudahan internet pula, komunikasi antara setiap peralatan yang dicipta berlaku dengan mudah dan pantas. Namun begitu, komunikasi antara setiap peralatan memerlukan manusia untuk mengendalikannya. Tanpa manusia, peralatan ini ibarat tiada nyawa.

Dunia kini menuju suatu era yang sangat canggih, iaitu setiap peralatan mampu berkomunikasi sesama sendiri tanpa bantuan manusia. Peralatan ini seolah-olah mempunyai suara yang dapat menyuarakan kehendak masing-masing. Ibarat cerita kartun yang menunjukkan kereta dapat berbual-bual dengan kereta yang lain atau kereta dapat berkomunikasi dengan rumah jika bosan.

Suatu masa nanti, setiap peralatan bakal dilengkapi teknologi yang membolehkannya berkomunikasi dengan peralatan lain. Setiap peralatan memahami fungsi penciptaan masing-masing dan dapat berfikir sendiri tanpa arahan manusia. Hal ini pastinya memudahkan urusan manusia kerana apabila ingin tidur ada muzik dimainkan secara automatik bagi membantu seseorang itu tidur. Begitu juga kain di jemuran yang dapat masuk sendiri ke rumah apabila hujan turun.

Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat perkara ini sebagai suatu yang penting dan tidak mahu ketinggalan untuk menjadi perintis kepada dunia komunikasi pelbagai peranti. Oleh sebab itu, UPM menawarkan kursus pengaturcaraan sistem terbenam, pengaturcaraan robotik dan keselamatan sistem komputer.

Sebenarnya, ada hikmah tersembunyi daripada pencapaian akal manusia ini. Jika difikirkan dengan lebih mendalam, terbukti bahawa kemajuan teknologi ini dapat menjelaskan firman Allah, iaitu pada hari kiamat nanti setiap anggota badan akan diizinkan bersuara sebagai saksi atas segala tingkah laku tuannya. Hal ini bermakna jika kita lihat semua benda bisu di dunia ini bersuara, seperti itu jugalah Allah SWT akan menjadikan anggota kita bersuara.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2014