Pengguna, Ubat dan Produk Kesihatan

Mari rapat adik, abang, pakcik. Di sini ada produk yang dapat ubati pelbagai penyakit. Minyak ini jika disapu dapat menyembuhkan penyakit luar badan. Ubat ini pula jika dimakan dapat menyembuhkan penyakit dalaman. Jika tidak beli, akan rugilah. Murah sahaja saya jual produk ini. Jika tidak berkesan, saya pulangkan duit tuan-tuan.” Itu antara dialog yang sering pengguna dengar apabila lalu di kawasan pasar yang ada penjual ubat.

Pada waktu dahulu, tarikan kepada produk kesihatan dilakukan di pasar sahaja. Kini pelbagai tarikan dan promosi produk kesihatan dilakukan menerusi media massa, seperti surat khabar, majalah, radio, televisyen dan internet. Dengan berbekalkan beberapa testimonial yang meyakinkan pengguna, pengeluar produk kesihatan muncul di media massa bagi mempromosikan produk mereka.

Pengguna perlu faham bahawa testimonial ialah satu bukti yang dapat direka. Jika testimonial yang diberi tidak direka dan pesakit benar-benar sembuh setelah suatu produk kesihatan dimakan, tidak semestinya kesembuhan itu diperoleh disebabkan oleh produk kesihatan itu sendiri.

Ada pelbagai kemungkinan yang dapat menyebabkan seseorang itu sembuh. Tanpa kajian saintifik yang terperinci bagi mengesahkan bahawa suatu produk kesihatan sememangnya mampu menyembuhkan penyakit, testimonial itu belum dapat dikatakan kuat dan tidak sepatatutnya dipercayai begitu sahaja. Dengan kata lain, produk kesihatan itu mungkin hanya memainkan peranan yang sangat kecil atau langsung tidak mempunyai peranan dalam membantu kesembuhan pengguna.

Contohya ada pengeluar produk kesihatan yang meminta pengguna untuk memakan produk mereka dengan syarat tertentu. Antaranya termasuklah tidak memakan produk mereka bersama- sama makanan tertentu dan mengurangkan pengambilan makanan tertentu. Ada kemungkinan bahawa penyakit itu masih tetap sembuh tanpa produk kesihatan itu apabila pengambilnya hanya memakan dan mengelakkan pengambilan makanan tertentu.

Hakikatnya, pengguna sering keliru antara ubat dengan produk kesihatan. Hal ini berlaku kerana pengeluar produk kesihatan sering mendakwa bahawa produk mereka mampu menyembuhkan pelbagai penyakit tertentu. Malah ada sesetengah produk kesihatan yang didakwa dapat mengubati hingga berpuluh-puluh jenis penyakit. Oleh sebab itu, berfikirlah secara kritis dan mintalah pandangan pakar perubatan sebelum suatu produk kesihatan diambil.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2014