Cuaca Dingin Fenomena Berulang

Apabila masyarakat dikejutkan dengan penurunan suhu di beberapa kawasan di Malaysia, banyak yang teruja dan ingin tahu akan punca kepada kejadian ini. Tidak kurang juga ada yang cemas dan mengaitkannya dengan tanda akhir zaman yang menandakan alam ini akan berakhir tidak lama lagi.

Begitu juga ada yang menyalahkan pihak tertentu kerana mengaitkan isu ini dengan penebangan hutan yang melampau hingga menyebabkan angin dingin terus sampai ke kawasan perumahan. Yang paling menarik ialah ada individu yang meramalkan bahawa Malaysia akan mengalami musim salji ekoran daripada peristiwa ini.

Hakikatnya, fenomena ini merupakan fenomena berulang yang berlaku pada setiap tahun. Bezanya hanya pada bacaan suhu yang dicatatkan. Malah, sebenarnya pada era 60-an dan 90- an telah berlaku fenomena suhu yang sangat rendah di Malaysia. Namun begitu, fenomena ini tidak mendapat liputan yang meluas sebagaimana yang berlaku pada kali ini.

Beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca kepada keadaan ini. Antaranya termasuklah penyebaran maklumat yang tidak secanggih dan meluas seperti sekarang. Dahulu, sebarang peristiwa banyak bergantung pada wartawan dan pemberita. Kini, setiap orang bertindak sebagai pemberita menerusi media sosial. Oleh sebab itu, berita tersebar dengan cepat dan meluas.

Walaupun fenomena ini merupakan perkara biasa, namun beberapa persediaan perlu dilakukan. Antaranya termasuklah dari segi pakaian dan penjagaan kesihatan, terutamanya bagi golongan yang berisiko. Risiko demam, sakit kepala dan selesema mungkin meningkat. Hal ini lebih teruk bagi penghidap asma.

Masyarakat tidak sepatutnya terkejut dengan suhu dingin yang dicatatkan di Malaysia kerana mereka sebenarnya telah biasa dengan suhu dingin. Hal ini dikatakan demikian kerana di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam bangunan, hampir semuanya dilengkapi dengan penyaman udara yang dapat menghasilkan keadaan yang dingin.

Dari satu segi, paparan fenomena ini ada baiknya kerana setidak-tidaknya masyarakat maklum bahawa pada tahun hadapan dan tahun berikutnya, fenomena ini berulang semula. Oleh sebab itu, persediaan awal dapat dilakukan bagi menantikan kemunculannya.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2014