Tingkatkan Keupayaan Teknologi

Menurut Wawasan 2020, hasrat negara untuk mencapai taraf yang benar-benar maju hanya dapat dicapai dengan mengatasi sembilan cabaran strategik yang ditentukan. Kemajuan keupayaan sains dan teknologi ialah cabaran yang keenam daripada sembilan cabaran yang disenaraikan.

Perancangan yang rapi perlu ada di samping kaedah pelaksanaan yang menyeluruh dari peringkat bawah hingga atas. Matlamat yang jelas perlu disambut oleh golongan pelaksana dan sudah tentulah golongan pelaksana ini perlu difahamkan terlebih dahulu akan agenda yang dibawa. Tanpa sokongan yang mantap daripada semua peringkat, hasrat ini bakal menemukan jalan buntu.

Akhirnya, dengan kesungguhan yang jitu, suatu hari nanti tidak akan berulanglah peristiwa negara terpaksa banyak bergantung pada teknologi daripada luar apatah lagi jika pergantungan itu menelan belanja yang sangat tinggi. Semua perbelanjaan ini sepatutnya digunakan bagi membina pakar dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

Biarlah proses membina pakar ini mengambil masa hingga 10 tahun kerana yang penting ialah pakar itu rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan perasaan cinta kepada tanah airnya. Hanya dengan perasaan inilah, segala usaha yang dicurahkan dilakukan dengan penuh perasaan.

Antara teknologi yang sangat perlu untuk ditingkatkan termasuklah teknologi ketenteraan. Teknologi ini meliputi bidang marin, aeronautik dan aeroangkasa. Pasti banyak orang terfikir akan kekurangan Malaysia dalam bidang ini apabila kehilangan pesawat penerbangan MH370 tidak dapat dikesan dengan pantas dan lebih malang apabila terus hilang begitu sahaja.

Bantuan satelit kepunyaan luar negara bagi membantu pencarian pesawat Malaysia mungkin perlu. Akan tetapi, pergantungan yang mutlak kepada satelit negara luar sebenarnya membuka ruang untuk kerahsiaan negara diintai. Secara tidak langsung perkara ini mendedahkan aset teknologi yang dimiliki negara masih tidak cukup untuk menghadapi krisis sebesar kehilangan pesawat penerbangan MH370.

Namun begitu, masih belum terlambat bagi mengatasi kekurangan ini. Ayuh, letakkan kepentingan agama dan negara sebagai matlamat. Marilah saling membantu dalam merealisasikan hasrat mencapai negara yang hebat teknologinya setanding dengan negara maju yang lain. Insya-Allah.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 05 2014

Posted in: Daripada Editor