Madu Perlu Asli

Kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan makin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini mungkin disebabkan oleh banyak orang yang berpenyakit dan tidak kurang juga yang mati pada usia muda. Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada hal ini. Antaranya termasuklah kesibukan bekerja hingga tiada masa bersenam dan makan makanan segera supaya tidak perlu membazir waktu, jika makan makanan yang berlauk. Selain itu, tekanan kewangan dan kerja turut meningkatkan risiko kepada kesihatan.

Apabila senario ini berlaku, wujud rasa takut dalam diri manusia yang mendorong kepada pencarian produk kesihatan. Antaranya termasuklah madu. Madu sememangnya berkhasiat. Banyak kajian yang dilakukan bagi membuktikan keberkesanan madu dalam merawat masalah kesihatan atau meningkatkan status kesihatan. Malah, dalam al-Quran turut mempunyai satu surah tentang lebah. Lebah sejenis haiwan yang diilhamkan untuk membina sarang di beberapa tempat yang hampir dengan tempat tinggal manusia. Hal ini pasti ada hikmahnya.

Dengan khasiat madu ini, banyak orang yang mengambil peluang untuk mencari dan menjual madu kepada orang awam. Apabila permintaan terlalu banyak hingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi, berlakulah penipuan dalam penghasilan madu. Madu dihasilkan secara tidak alamiah atau dengan kata lain tidak dihasilkan oleh lebah.

Oleh sebab itu, pasti khasiat yang sepatutnya diperoleh tidak akan dapat dinikmati. Malah, madu yang tidak asli tidak diketahui tentang kemudaratannya. Hal ini dikatakan demikian kerana ada madu yang tidak asli yang dihasilkan daripada gula. Telah diketahui bahawa gula menyumbang kepada kemudaratan yang besar, jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

Bagi mengatasi masalah ini, kajian tentang madu tiruan perlu dibanyakkan bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa madu tiruan sememangnya membahayakan kesihatan. Penjualan madu juga perlu dipantau oleh jabatan berwajib agar tidak ada lagi madu tiruan yang dijual dalam pasaran. Cap pengesahan asli juga perlu dikeluarkan oleh kerajaan supaya masyarakat tidak tertipu dengan produk madu tiruan. Akhirnya barulah khasiat madu asli benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 06 2014