Nikotin Perosak Tulang Manusia

Empat perpuluhan tujuh juta! Itulah jumlah perokok di Malaysia pada tahun 2012. Kadar ini meningkat daripada 3.1 juta perokok pada tahun 2007. Malah, sebanyak 40 – 50 perokok baharu dicatatkan pada setiap hari. Walau bagaimanapun, kadar ini tidak menunjukkan angka sebenar perokok. Hal ini dikatakan demikian kerana daripada seorang perokok yang dikenal pasti, mungkin ada sembilan lagi perokok yang tidak dikenal pasti atau dilaporkan.

Kesan utama rokok disebabkan oleh kandungan nikotin yang ada di dalam sebatang rokok. Nikotin ini mampu merosakkan tulang manusia dengan cara mengurangkan ketumpatan mineral tulang dan penyerapan kalsium. Bahan ini juga mengganggu proses pembentukan dan pemulihan tulang.

Tulang yang merupakan struktur asas di dalam badan manusia merupakan sejenis tisu hidup. Walaupun kelihatan keras, tulang mengalami penguraian dan pembinaan semula. Secara normalnya, manusia mula kehilangan jisim tulang pada usia 30 tahun. Oleh sebab itu, sebarang unsur luar yang dapat meningkatkan proses penguraian tulang perlu dielakkan.

Selain itu, kerosakan tulang menjejaskan kehidupan yang bakal dilalui. Tulang yang lemah akibat nikotin membantutkan pergerakan kerana setiap pergerakan perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada terjatuh atau terlanggar benda keras. Jika hal ini berlaku, tulang dapat retak atau patah. Lebih malang lagi apabila tulang yang patah itu melibatkan tulang belakang yang seterusnya mewujudkan risiko lumpuh. Hal ini pastinya menjadi mimpi ngeri bagi setiap orang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan MPOWER pula, sebanyak 5.8 juta perokok mati setiap tahun akibat merokok. Malah, jumlah ini dijangka meningkat kepada lapan juta orang menjelang tahun 2030 dan lebih 80 peratus kematian berlaku di negara membangun. Maka, usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan menerusi pelbagai program, seperti kempen berhenti merokok perlu disokong oleh setiap golongan masyarakat bagi mengurangkan kehilangan modal insan yang kita sayangi.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 07 2014