Penawar Kanser di Hospital

Hampir 90 peratus penghidap kanser sembuh apabila kanser dikesan pada peringkat awal, iaitu tahap I dan II, sebelum sel kanser merebak ke bahagian badan yang lain. Namun begitu, kadar kelangsungan hidup penghidap kanser hanya 20 peratus, jika kanser dikesan pada tahap III dan IV.

Hal ini menunjukkan bahawa suatu penyakit itu dapat dirawat, jika pengesanan awal dilakukan. Pengesanan yang berautoriti perlu dilakukan oleh doktor pakar yang bertauliah dan bukannya oleh sesiapa sahaja yang mengaku tahu akan penyakit itu. Apatah lagi, jika dakwaan tentang rawatan penyakit datangnya daripada penjual produk makanan kesihatan.

Ironinya, masyarakat lebih percaya akan kata-kata keramat penjual ubat berbanding dengan kata-kata seorang doktor pakar yang telah belajar selama bertahun-tahun dan menjalani latihan perubatan di hospital. Banyak orang yang lebih rela menjadi bahan uji kaji apabila sanggup mencuba pelbagai produk kesihatan berbanding dengan berjumpa doktor, seterusnya menjalani rawatan yang diiktiraf keberkesanannya. Mereka beranggapan bahawa tidak salah mencuba setiap produk itu dengan harapan bahawa daripada pelbagai produk yang dicuba, mungkin ada produk yang berjaya mengurangkan sakit yang dideritainya.

Malah, sikap suka bertangguh dan berasa bahawa diri masih sihat dan tidak sakit antara faktor utama yang menyebabkan suatu penyakit itu lewat dikesan. Hal ini ditambah dengan tahap penjagaan kesihatan yang masih rendah dalam kalangan masyarakat. Penjagaan kesihatan ini meliputi aspek pengambilan makanan yang sihat dan senaman yang dapat menjaga sistem fungsi tubuh di dalam badan.

Dari satu segi yang lain, mungkin faktor suasana hospital yang sinonim dengan pesakit perlu menunggu dalam tempoh yang lama, keadaan hospital yang tidak menyelesakan dan kekurangan tempat letak kenderaan membantutkan hasrat pesakit untuk menjalani pemeriksaan. Hal ini ditambah dengan pelepasan keluar pejabat oleh majikan yang begitu berkira dengan waktu keluar pejabat.

Hakikatnya, setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu serasi atau sesuai dengan suatu penyakit, penyakit itu dapat sembuh dengan izin Allah SWT. Sabda Rasullulah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan juga penawar baginya, yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh orang yang memang tidak mengetahuinya.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 08 2014