Penyaman Udara Semula Jadi

Oleh Mohd Syukri Anwar

“Wah, seronoknya balik ke kampung! Udara di sini nyaman. Walaupun tiada penyaman udara di dalam rumah, masih rasa selesa.” Itulah ungkapan yang dituturkan oleh seorang cucu kepada datuknya ketika pulang ke kampung untuk berhari raya.

Mungkin hal ini bukan sahaja dirasai oleh cucu itu, tetapi turut dirasai oleh orang lain yang tinggal di bandar. Sebab itulah permintaan terhadap penyaman udara makin meningkat pada setiap tahun. Pada waktu dahulu, mungkin sebuah rumah memerlukan seunit penyaman udara. Namun begitu, pada waktu ini, setiap bilik memerlukan penyaman udara.

Di kampung, penyaman udara tidak perlu dibeli. Apatah lagi, ditukar selang beberapa tahun akibat rosak. Penyaman udara di kampung juga tidak menggunakan tenaga elektrik yang pastinya meningkatkan jumlah penggunaan tenaga elektrik. Uniknya, penyaman udara ini terletak di luar rumah. Yang lebih menarik, bilangannya bukan satu, tetapi banyak, iaitu di keliling rumah. Penyaman udara yang dimaksudkan ini ialah pokok yang menjadi teduhan bagi sesebuah rumah.

Kini, penyaman udara semula jadi ini makin sukar didapati. Proses perbandaran sedikit sebanyak mengorbankannya. Biasanya, apabila suatu kawasan dibangunkan bagi membina bangunan, sama ada rumah, kedai atau pejabat, kawasan itu dibersihkan daripada sebarang unsur yang dapat mengganggu kelancaran projek itu. Antara unsur yang menjadi penghalang termasuklah pokok.

Pokok memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Menerusinya, bekalan oksigen yang menjadi nadi kehidupan manusia diperoleh. Bukan itu sahaja, pokok juga berfungsi sebagai penebat haba yang menghalang haba daripada masuk ke dalam rumah.

Teorinya mudah. Ibarat seorang yang berjalan pada waktu tengah hari, kemudian berteduh di bawah sebatang pokok yang rimbun. Bukan sahaja terlindung daripada terik cahaya matahari, malah angin daripada pergerakan daun pokok membantu menyejukkan badan.

Menerusi Dasar Landskap Negara yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai taman terindah, usaha tanaman pokok landskap giat dilakukan. Usaha ini diharap bukan sahaja mencantikkan pemandangan dengan pokok yang teratur, tetapi dapat membantu mengembalikan fungsi penyaman udara semula jadi, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap penyaman udara moden yang menggunakan tenaga elektrik.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 10 2014