Tumbuhan Bangkit Memberontak

Oleh Lee Keok Chih

Pagi itu ialah pagi seperti hari yang lain. Tiada yang luar biasa. Cuaca juga seperti biasa, tidak panas dan tidak sejuk. Adam bangun setelah mendengar deringan loceng yang pertama. Adam masuk ke dalam bilik air. Setelah selesai membersihkan dan menguruskan diri, Adam masuk ke dalam dapur. Adam didihkan air, panaskan kopi dan mencapai roti yang dibeli semalam. Semuanya tiada sebarang kelainan.

Tiba-tiba, telefon bimbit Adam berbunyi. Siapa yang membuat panggilan pada pagi-pagi buta begini? Adam merungut. Waktu pagi begini, Adam memang pantang menerima sebarang panggilan. Panggilan di luar rancangan mengganggu jadual Adam dan suatu yang mengganggu jadual mungkin menyebabkan Adam terlewat sampai ke pejabat.

“Suatu yang pelik sedang terjadi.” Panggilan daripada Ana. Nada suara Ana seperti teruja. Memang begitu tabiat Ana. Mereka telah lama berkawan, Adam memang kenal betul kelakuan Ana. Ana suka membesarbesarkan perkara yang kecil. Daripada penemuan fosil kaji purba hingga perkembangan terbaharu dunia sains, Ana dapat melipatgandakan dan membebaskan daya imaginasinya. Bukan sekali dua Ana mengkhabarkan berita tergempar yang sebenarnya hanya kejadian yang remeh-temeh.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Cerpen

Lukisan Kejuruteraan Membantu Pelajar Kejuruteraan

Oleh Mohd. Akmal Hisyam Mohamad

Sejak berkurun lamanya, manusia tidak pernah jemu mencipta suatu barang yang dapat memberikan manfaat dan memudahkan urusan seharian. Antara konsep yang digunakan termasuklah konsep kejuruteraan yang telah wujud sejak zaman awal penciptaan barang, seperti penciptaan takal, roda dan penimbang.

Barang ini tidak terhasil begitu sahaja, melainkan ada idea yang diterjemahkan pada sehelai kertas. Hal ini digambarkan dan direkodkan bagi memudahkan penghasilan sebuah objek. Idea yang dilakarkan ini ialah apa-apa yang diistilahkan sebagai lukisan kejuruteraan, iaitu lukisan yang menerangkan secara terperinci tentang cara menghasilkan. Dipercayai bahawa lukisan kejuruteraan ini wujud sejak abad ke-15 dan dipelopori oleh Leonardo Da Vinci, iaitu seorang tokoh masyhur yang menghasilkan lukisan yang mengagumkan.

Pada masa ini, ada dua kaedah yang dapat digunakan bagi menghasilkan lukisan kejuruteraan. Kaedah pertama adalah secara manual. Sebelum teknologi komputer berkembang pesat, kebanyakan lukisan kejuruteraan dilukis secara manual. Alat yang diperlukan sebelum suatu lukisan kejuruteraan dihasilkan secara manual ialah pensel, pembaris, pemadam, papan lukisan, sesiku T, sesiku set, jangka lukis, jangka tolok dan bahan lukisan, seperti kertas grid atau kertas lukisan.

Kaedah kedua bagi menghasilkan lukisan kejuruteraan adalah dengan menggunakan kaedah lukisan kejuruteraan berbantu komputer. Kaedah menggunakan perisian yang membantu pembentukan model lakaran dua dimensi dan tiga dimensi. Proses lakaran berbantu komputer ini dapat digunakan dalam semua kerja, terutamanya bidang yang memerlukan kepakaran, seperti kejuruteraan mekanikal, awam, seni bina dan reka bentuk grafik.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

TPH dan Gaya Hidup Sihat Membantu Penghidap Andropaus

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain

Kesihatan merupakan kunci utama bagi kesejahteraan manusia, seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1948 mendefinisikan kesihatan sebagai suatu keadaan fizikal, minda dan sosial yang sihat, cergas, cerdas serta bebas daripada sebarang penyakit. Definisi ini menegaskan bahawa status kesihatan ditunjangi oleh faktor fizikal, mental dan sosial yang sihat, berfungsi, cergas serta tidak diancam oleh sebarang penyakit yang dapat memudaratkan manusia.

Konsep gaya hidup sihat merupakan suatu kempen aspirasi kerajaan. Hal ini bagi melahirkan masyarakat yang sihat, cergas, sejahtera dan bebas daripada penyakit yang disebabkan oleh gaya hidup sedentari. Gaya hidup sedentari ialah gaya hidup yang relaks tanpa melakukan banyak aktiviti fizikal.

Apabila lelaki diberitahu bahawa dia harus bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, dia pasti mengerutkan dahi, menjuihkan bibir atau berpura-pura tidak mendengarnya. Statistik menunjukkan bahawa lelaki tidak bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekerap wanita. Hal ini mungkin disebabkan oleh lelaki kurang pengetahuan apabila berbincang isu kesihatan. Tidak kurang juga lelaki yang lebih suka menunjukkan sikap tidak kisah. Lelaki sanggup memendam emosi dan ego hingga menyebabkan mereka enggan meminta bantuan daripada orang lain. Akhirnya, masalah mereka bertambah rumit dan terlewat untuk dirawat.

Sesetengah lelaki mengelak daripada berjumpa doktor kerana takut mengetahui ada suatu perkara serius yang berlaku padanya dan takut terpaksa mengambil ubat sepanjang hayat. Sebenarnya, pengetahuan ialah satu daripada cara untuk mengatasi ketakutan itu.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Air Penawar atau Racun?

Oleh Benedict Anak Samling

Air sangat penting dalam kehidupan manusia dan mempunyai pelbagai kegunaan harian. Air diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu air keras dan air lembut. Istilah air keras merujuk air yang mengandungi kuantiti kalsium dan kapur yang tinggi, manakala air lembut merujuk air yang mengandungi kuantiti kalsium dan kapur yang rendah.

Air yang tergolong dalam kumpulan air keras tidak baik bagi kesihatan dan mengganggu proses dalam industri yang menggunakan air bagi menjana kuasa. Air keras juga dapat merosakkan peralatan yang digunakan, sama ada untuk memproses atau menyimpan air.

Air digunakan dalam produk minuman dan makanan serta aktiviti membasuh, mencuci dan mandi. Sebanyak 71 peratus permukaan bumi dilitupi oleh air. Walau bagaimanapun, peratus air yang selamat diminum menjadi persoalan penting. Tubuh manusia memerlukan lebih kurang 65 peratus air bagi mengekalkan tahap kesihatan. Jika pengambilan air lebih atau kurang, kesihatan terjejas.

Pada zaman teknologi yang makin pesat, pelbagai teknologi dicipta untuk memudahkan tugas manusia, termasuklah teknologi pemprosesan air. Teknologi pemprosesan air penting bagi menyediakan air yang bersih dan mengandungi mineral tertentu yang diperlukan oleh tubuh manusia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Kajian Genetik Bantu Rawatan Penyakit

Oleh Nor Azida Ishak

Setiap organisma mengandungi bertrilion sel di dalam tubuh dan beribu-ribu gen yang diwarisi daripada induknya. Setiap sel ini mengandungi nukleus dan kromosom. Setiap kromosom pula mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA). DNA terdiri daripada segmen gen yang menentukan keunikan fizikal dan ciri seseorang individu.

Gen pula merupakan arahan yang diwarisi tentang suatu ciri, misalnya gen bagi warna anak mata dan jenis rambut. Bukan sahaja warna anak mata seseorang dapat ditentukan, malah gen berperanan bagi menentukan tahap kesihatan manusia. Oleh hal yang demikian, kajian genetik penting bagi mengesan serta memberikan rawatan kepada penyakit yang disebabkan oleh kehadiran gen tertentu.

Bermula pada tahun 1904, seorang ahli biologi bernama Thomas Hunt Morgan dilantik sebagai ketua profesor zoologi di Universiti Columbia. Beliau segera menumpukan kajian genetik terhadap sejenis lalat buah Drosophila melanogaster untuk mencari ciri mutasi spesies itu.

Pada tahun terawal di dalam bilik uji kaji yang dipenuhi dengan balang lalat (dikenali sebagai bilik lalat) itu, hasilnya mengecewakan. Hal ini dikatakan demikian kerana Morgan dan pelajarnya tekun melakukan uji kaji terhadap lebih kurang 60 generasi lalat tanpa menemukan sebarang hasil. Mereka mahu mencari seekor lalat buah dengan ciri unik yang dapat digunakan bagi kajian genetik.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Genetik

Kepercayaan dalam Talian Perlu Dibina

Oleh Maslin Masrom


Percaya ialah satu elemen utama bagi sekitaran dalam talian. Pengguna laman web amat menitikberatkan elemen ini sebelum memaparkan dan memperoleh sebarang maklumat, perkhidmatan atau produk kepada atau daripada pengguna lain. Kebanyakan pengguna ini terdiri daripada pereka bentuk, pembangun, perunding dan pemasar laman web.

Kewujudan interaksi antara percaya dalam diri dengan laman web adalah penting bagi memastikan kejayaan hasil interaksi itu. Penyelidikan yang berkaitan dengan percaya dapat ditemukan dalam bidang falsafah, pengurusan, pemasaran, ergonomik, interaksi antara manusia dengan komputer, psikologi industri dan elektronik-dagang.

Kepercayaan dalam talian ialah suatu perasaan percaya atau menaruh kepercayaan, iaitu seseorang percaya bahawa pihak lain mempunyai satu atau lebih ciri yang bermanfaat kepada dirinya. Contohnya, dalam konteks e-dagang pembeli mengharapkan penjual dalam talian sanggup dan mampu memenuhi keperluan pembeli, jujur dalam transaksi dan menepati semua janji.

Cynthia L. Corritore, Beverly Kracher dan Sussan Wiedenbeck dalam artikel Online Trust: Concepts, Evolving Themes, a Model, keluaran jurnal Int. J. Human-Computer Studies terbitan tahun 2003 mendefinisikan kepercayaan dalam talian sebagai suatu sikap yakin dengan keadaan dalam talian yang berisiko dan mudah terdedah pada bahaya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Komputer

Keruing Asam Spesies Terancam

Oleh Hamidah Mamat, Suhaida Mustafa dan Lillian Chua Swee Lian

Bagi orang yang tidak mengenali spesies tumbuhan, setiap tumbuhan kelihatan sama, iaitu mempunyai daun, batang, buah dan bunga. Sebaliknya, bagi ahli botani atau ahli kaji tumbuhan, setiap tumbuhan mempunyai karakter yang tersendiri. Semua spesies tumbuhan adalah unik dan dapat dibezakan berdasarkan daun, batang, buah, bunga dan bau.

Berdasarkan karakter yang unik ini, ahli botani dapat membezakan spesies setiap tumbuhan. Ahli botani juga dapat menentukan sama ada suatu spesies itu biasa ditemukan, jarang-jarang ditemukan atau merupakan spesies baharu yang belum pernah ditemukan sebelum ini. Biasanya, tumbuhan yang populasinya dapat ditemukan di banyak tempat dan mempunyai risiko atau ancaman kepupusan yang rendah mempunyai status pemuliharaan yang rendah. Walau bagaimanapun, tumbuhan yang populasinya hanya dapat ditemukan pada satu atau dua tempat dapat dikumpulkan dalam kumpulan tumbuhan yang mempunyai status pemuliharaan yang tinggi.

Contohnya, pokok merawan kanching yang hanya dapat ditemukan di Hutan Simpan Kanching mempunyai status pemuliharaan yang tinggi dan diberi status sangat terancam. Tumbuhan yang dikelaskan sebagai terancam memerlukan tindakan perlindungan yang sewajarnya daripada manusia bagi melindungi spesies tumbuhan ini daripada ancaman kepupusan.

Perubahan guna tanah dan pengusahasilan hutan menyebabkan populasi dan habitat asal tumbuhan makin berkurangan. Hal ini secara langsung mengakibatkan spesies tumbuhan tertentu terancam. Sama seperti haiwan, tumbuhan juga memerlukan perlindungan untuk mengekalkan kemandirian spesiesnya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Uncategorized

Pelet Serat Tinggi daripada Sisa Ladang Nanas

Oleh Rosnah Shamsudin, Muhammad Fakhri Zainuddin, Noriznan Mokhtar dan Dahlan Ismail

Berdasarkan statistik daripada Laman Nanas MAEPS, pada tahun 2012, pengeluaran nanas di Malaysia merangkumi tiga peratus daripada pengeluaran nanas di seluruh dunia. Di Asia Tenggara pula, Malaysia merupakan pengeluar nanas ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Thailand dan Filipina. Pada tahun 2012, pengeluaran nanas adalah sebanyak 334 400 tan, meliputi ladang seluas 15 611 hektar dengan kira-kira 21.42 tan nanas sehektar.

Sisa pepejal atau sisa biojisim di ladang nanas ialah hasilan selepas aktiviti penuaian buah nanas daripada pokok nanas. Biasanya, pokok nanas yang terdiri daripada daun dan batang nanas dimusnahkan melalui dua cara, iaitu pembakaran dan pengitaran semula daun dan batang pokok nanas kepada baja kompos dengan kaedah pengkomposan.

Pembakaran ini dilakukan secara terbuka sebelum penanaman semula pokok nanas dilakukan oleh peladang. Kaedah pembakaran ini memberikan kesan negatif terhadap penduduk dan menjejaskan kualiti alam sekitar. Indeks pencemaran udara (IPU) dapat meningkat, seterusnya menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan terbabit.

Kaedah pelupusan sisa ladang nanas kepada baja kompos pula mengambil masa yang lama, iaitu antara dua hingga tiga bulan, sebelum tanah menjadi subur bagi proses penanaman semula. Oleh sebab itu, petani mengalami kerugian dari segi masa kerana terpaksa menunggu proses pengkomposan selesai sepenuhnya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Pengamatan Corak Aliran Bendalir

Oleh Mohamad Asmidzam Ahamat dan Mohd. Firdaus Beludtu

Mekanik bendalir merupakan satu daripada cabang sains yang kurang digemari oleh sebahagian pelajar kerana sifatnya yang agak abstrak berbanding dengan mata pelajaran yang lain. Contohnya, udara yang bertiup tidak dapat dilihat, tetapi dapat dirasai pergerakannya.

Namun begitu, jika udara yang bertiup membawa bersama-sama daun kering, corak pergerakan udara dapat dilihat dan kelajuan aliran udara dapat dianggarkan. Hal ini menunjukkan bahawa corak aliran suatu bendalir dapat dizahirkan menggunakan teknik yang betul.

Satu daripada bidang kajian dalam mekanik bendalir ialah pengamatan corak aliran suatu bendalir. Bidang ini penting kerana kebanyakan persamaan dan hukum dalam ilmu mekanik bendalir diperoleh melalui eksperimen. Mutakhir ini, pengamatan aliran banyak membantu pengesahan dapatan dalam simulasi komputer.

Ada beberapa teknik yang dapat digunakan bagi menampakkan corak aliran suatu bendalir. Teknik yang digunakan bergantung pada jenis corak aliran yang ingin dikaji dan darjah keterperincian analisis yang diperlukan.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

Penyu Karah Penyu Tercantik di Dunia

Oleh Rosmawati Ghazali dan Mohd. Azam Jusoh


Penyu karah dan penyu lain wujud sejak zaman prasejarah, iaitu 150 juta tahun yang lalu. Spesies marin ini ialah haiwan reptilia purba yang masih kekal hingga kini. Bentuk fizikal penyu karah masih sama, walaupun dunia mengalami perubahan selama jutaan tahun. Saiz karapas penyu karah dapat mencapai 95 cm (24 – 37 inci). Penyu karah mudah dikenali kerana mulutnya kelihatan seperti paruh.

Masyarakat sering keliru antara penyu dengan kura-kura. Penyu tidak sama seperti kura-kura. Penyu tidak dapat membenamkan kepalanya jauh ke dalam karapas. Penyu mempunyai kelopak atas mata yang besar yang bertindak sebagai pelindung mata.

Selain itu, penyu tidak mempunyai bukaan telinga luar. Lubang telinga penyu hanya dapat dilihat seperti bukaan lubang yang kecil pada bahagian tepi kepalanya. Haiwan ini ialah reptilia marin yang tidak mempunyai gigi dan dietnya bergantung pada makanan yang lembut dan mudah ditelan. Saiz rahang penyu pula pelbagai dan bergantung pada diet dan spesies.

Umumnya, semua spesies penyu mempunyai struktur cangkerang (karapas) pada bahagian atas abdomen. Penyu karah dikenali sebagai penyu tercantik di dunia kerana mempunyai karapas yang bercorak batik keemasan. Karapas penyu karah juga mempunyai paten yang unik seakan-akan sisik yang bertindih. Saiz karapas berbeza-beza bagi setiap spesies.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.