Hutan Tropika Malaysia Destinasi Ekopelancongan Negara

Oleh Azharizan M.N., Azyyati A.K., Ismail P. dan Mohd Izwan R.,

Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana masih memiliki khazanah yang tidak ternilai, iaitu kawasan berhutan yang dianggarkan meliputi hampir separuh daripada kawasan negara secara keseluruhannya. Hutan di Malaysia bukan sekadar berperanan sebagai pelindung bagi sumber flora dan fauna, kawasan tadahan air atau bagi tujuan pengeluaran sumber hutan bagi memenuhi sektor industri dan komersial yang terdiri daripada kayu-kayan, rotan dan buluh, makanan serta ubat semata-mata.

Kini, bersandarkan keunikan dan kepelbagaian sumber hutan tropika dan topografi, seperti pokok besar dan lain-lain flora, aliran dan kejernihan air sungai, keunikan geologi, seperti gua, gunung dan air terjun serta kepelbagaian fauna yang dikenal pasti mempunyai tarikan estatika tersendiri, beberapa kawasan hutan dibuka bagi tujuan destinasi pelancongan.

Di setiap negeri di Malaysia, ada lebih daripada satu kawasan berhutan yang dibangunkan bagi tujuan destinasi pelancongan, iaitu destinasi ekopelancongan. Ada kawasan yang dikenali sebagai hutan lipur, taman negeri, taman negara dan hutan rekreasi.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Perkhidmatan Penyerapan Karbon

Oleh Safinah Saupi

Karbon dioksida merupakan satu daripada gas rumah hijau yang bertanggungjawab menyebabkan perubahan cuaca, selain metana, nitrus oksida dan ozon. Manusia merupakan penyumbang terbesar pelepasan karbon, iaitu sebanyak 30 Gt (gigatan atau bilion tan metrik) setahun. Pada tahun 2014, nilai kepekatan karbon di atmosfera bumi menghampiri 390 ppm. Kepekatannya, 100 ppm lebih besar daripada zaman praindustri. Nilai ini pula meningkat sebanyak dua ppm pada setiap tahun.

Trend ini perlu diterbalikkan bagi mencapai matlamat dunia yang mengehadkan pemanasan global kepada dua darjah Celsius pada abad ke- 21 dan mengurangkan kesan negatif disebabkan oleh purata suhu dunia yang tinggi, seperti kemarau, banjir dan perubahan cuaca yang ekstrem. Pelepasan karbon berpunca daripada aktiviti pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan, pertanian dan penggunaan tanah yang melepaskan 3.7 gigatan karbon pada setiap tahun.

Pokok dikatakan sebagai paru-paru bumi kerana menyedut karbon dan menghembuskan oksigen. Hutan menyimpan karbon yang dapat mengurangkan pelepasannya di atmosfera. Hutan mewakili empat bilion hektar atau 31 peratus daripada jumlah tanah bumi dan menyimpan 2/3 karbon.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar

Penerokaan Bidang Komputasi Estetik

Oleh Azlan Iqbal

Komputasi estetik merupakan satu bidang kecil sains komputer yang baharu, jika dibandingkan dengan bidang utama sains komputer yang lain, seperti kejuruteraan perisian atau rangkaian komputer. Persidangan Antarabangsa Komputasi Estetik yang biasanya dianjurkan dengan penglibatan badan profesional terkenal, ACM (SIGGRAPH) hanya dimulakan pada tahun 2005.

Walau bagaimanapun, usaha penyelidikan profesional dalam bidang ini, iaitu pada tahap individu bermula sekurang-kurangnya kira-kira dua dekad sebelum itu dan tidak terbatas pada topik grafik komputer. Sebenarnya, komputasi estetik termasuk dalam bidang utama kecerdasan buatan (AI) kerana estetik dapat dikatakan sebagai satu fungsi bagi semua jenis kecerdasan manusia.

Oleh sebab itu, maksud komputasi estetik dari segi praktikal merangkumi semua usaha menggunakan komputer bagi menganalisis, menilai, membaiki atau mencipta objek estetik (contohnya, suatu objek yang diiktiraf sebagai cantik oleh manusia) dalam sebarang jurusan lain, terutamanya yang artistik, seperti muzik, seni lukis, sastera dan sukan.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Komputer

Psoriasis Penyakit Kulit

Oleh Rehanah Mohd. Zain

Perkataan psoriasis berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kegatalan. Psoriasis ialah penyakit imun pengantara yang menyebabkan penebalan kulit lebih cepat berbanding dengan kulit normal. Psoriasis dapat berlaku pada bila-bila masa sepanjang hayat seseorang. Penyakit kulit ini menjejaskan kitaran hidup sel kulit disebabkan oleh sel tumbuh dengan cepat pada permukaan kulit, bersisik tebal, gatal, kering dan berwarna kemerah-merahan serta berasa sakit dan perit.

Menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Psoriasis, penyakit ini terjadi pada peringkat umur antara 15 – 25 tahun. Bilangan pesakit psoriasis di seluruh dunia pula dianggarkan mencecah 125 juta orang. Berdasarkan kajian Persatuan Pesakit Psoriasis Persekutuan Eropah terhadap 18 ribu pesakit psoriasis, 77 peratus pesakit mengakui bahawa psoriasis memberikan impak besar serta mengganggu kehidupan harian.

Wanita lebih cenderung menghidap penyakit ini berbanding dengan lelaki. Menurut Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), kira-kira tiga peratus rakyat Malaysia menderita disebabkan oleh psoriasis dan bilangan individu yang mengalami alahan dan masalah kulit ini makin meningkat di Malaysia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

Kokpit Pesawat dan Fungsinya

Oleh Mohd. Harridon Mohamed Suffian

Lazimnya, pesawat yang bergerak di udara dikawal oleh individu yang berada di dalam pesawat. Namun begitu, ada pesawat yang dikawal oleh individu yang berada di luar pesawat. Pesawat ini dikenali sebagai kenderaan tanpa pemandu (UAV). Biasanya, UAV digunakan bagi tujuan pemantauan, pemetaan dan penyerangan berskala kecil. UAV tidak digunakan untuk mengangkut penumpang.

Bagi pesawat yang dikawal dari dalam, individu yang mengawalnya berada di tempat khas di dalam pesawat. Tempat ini dikenali sebagai kokpit pesawat. Kokpit pesawat mempunyai perlbagai peralatan yang memantau keadaan pesawat serta memastikan pesawat berada pada orientasi dan posisi yang betul dan optimum ketika penerbangan.

Pada masa ini, kokpit mengalami evolusi yang amat hebat. Pada era 1930-an, bilangan instrumen kokpit amat sedikit. Instrumen yang ada pada pesawat pada era ini hanyalah instrumen asas, seperti instrumen halaju, altitud dan orientasi pesawat. Instrumen ini merupakan instrumen analog yang terdedah pada bacaan yang tidak jitu dan tepat.

Contohnya, tekanan udara yang tidak menentu di luar pesawat pada julat masa yang pendek mempengaruhi instrumen halaju (analog) pesawat. Hal ini menyebabkan bacaan yang diberi tidak tepat. Oleh sebab itu, pada masa ini, kebanyakan instrumen di dalam kokpit ialah instrumen digital yang memberikan bacaan yang lebih jitu dan tepat.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Jerangau Perencat Bakteria dan Fungus Semula Jadi

Oleh Chee Beng Jin

Mungkin ada antara kita yang belum tahu bahawa jerangau atau Acorus calamus ialah sejenis tumbuhan herba saka yang tumbuh di habitat separa akuatik yang berair dan lembap. Tumbuhan ini tumbuh di dalam rumpun dan menghasilkan rizom yang berwarna putih kekuning-kuningan di bawah permukaan tanah.

Pembiakan jerangau adalah menerusi rizomnya yang berada di bawah tanah. Rizomnya agak unik kerana mempunyai aroma seakan-akan bau sitrus dan kaya dengan minyak pati. Tumbuhan ini mempunyai daun yang berbentuk tirus, nipis, licin dan meruncing ke hujung. Saiznya dapat mencapai ketinggian hingga dua meter. Bunga jerangau pula berwarna kuning, bersaiz halus dan tersusun rapat dalam jambak bunga. Jerangau dipercayai berasal dari kawasan bersuhu sederhana di benua Asia. Kini, tumbuhan ini tersebar luas di negara beriklim sederhana dan kawasan tropika. Herba ini dikenali sebagai daringo atau jerango di Indonesia, lubigan atau daraw di Filipina, hang khao nam di Laos dan kha chiang chee di Thailand. Nama Inggeris bagi jerangau pula ialah Sweet Flag, Sweet Root atau Calamus.

Kegunaan jerangau tercatat dalam rekod lama ketika era kegemilangan tamadun Greek, Rom dan Mesir. Pada waktu itu, rizom jerangau dijadikan bahan komoditi dalam perdagangan dan tersebar luas di seluruh benua Eropah.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

Sinar Ultralembayung Baik atau Buruk?

Oleh Mohd. Hamzah Harun

Umum mengetahui bahawa sinar ultralembayung (UV) terhasil secara semula jadi daripada cahaya matahari. Apabila Matahari memancarkan sinarnya, sinar yang berbeza-beza panjang gelombang dan tenaga, iaitu inframerah, cahaya nampak dan UV dihasilkan.

Sinar UV sejenis sinaran elektromagnet daripada tenaga matahari yang mempunyai panjang gelombang antara cahaya nampak dengan inframerah. Sinar UV dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu UVA (315 – 400 nm), UVB (280 – 315 nm) dan UVC (100 – 280 nm). Cahaya matahari memancarkan sinar UV pada ketiga-tiga jalur ini. Oleh sebab penyerapan lapisan ozon, 99 peratus daripada sinaran yang dipancar ke Bumi ialah UVA.

Nama ultralembayung berasal daripada bahasa Latin. Ultra bermaksud beyond dan lembayung ialah panjang gelombang terpendek dalam cahaya nampak. Sinar UV juga dikenali sebagai cahaya gelap kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Burung, reptilia dan serangga antara sebahagian daripada fauna yang bertuah kerana dapat melihat sinar UV.

Johann Wilhelm Ritter, ahli fizik Jerman, menemukan sinar UV pada tahun 1801. Beliau melakukan eksperimen menggunakan argentum klorida (sejenis bahan kimia peka cahaya) dan berjaya membuktikan kewujudan sejenis sinar yang dikenali sebagai sinar kimia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

Impak Andropaus dan Disfungsi Erektil

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain

Pada usia 40-an dan ke atas (dalam sesetengah keadaan lebih awal lagi), suami dan isteri menghadapi krisis tabii yang dinamakan oleh pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu ini, aras hormon testosteron berkurang seiring dengan beberapa perubahan yang mengejutkan.

Lelaki mengalami fasa andropaus yang menyebabkan daya rangsangan seks berkurang, cepat letih, perubahan emosi, seperti cepat marah, cepat merajuk, mudah tertekan dan perasaan yang berubah-ubah. Pada waktu ini, lelaki diserang dengan pelbagai perasaan yang meresahkan. Antaranya termasuklah mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya.

Secara interpersonal, lelaki mula berasa bosan dengan indivdu yang berada di kelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, ada bidang lain yang menarik minatnya secara tiba tiba. Dia seolah-olah menjadi remaja untuk kali kedua, walaupun tenaga dan upayanya makin menyusut.

Lelaki andropaus juga berasa menyesal tentang pilihan yang pernah dipilihnya. Pada satu tahap, lelaki berasa marah dan terikat dengan isterinya. Yang paling menggerunkan, timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan baharu. Pada usia ini, lelaki mungkin berlaku curang.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Kaedah Menternak Gamat Teripang

Oleh Zaidnuddin Ilias

Penternakan ialah peringkat akhir dalam kitar pembiakan dan ternakan gamat. Gamat diternak di sekitaran semula jadi hingga mencapai saiz pasaran sebelum dijual. Pada peringkat ini, anak gamat yang mencapai saiz yang sesuai bagi ternakan dikeluarkan daripada hatceri dan diternak dalam sistem ternakan luar hingga mencapai saiz pasaran. Umumnya, kaedah menternak gamat terbahagi kepada tiga cara, iaitu kolam, kandang dan pelepasan umum.

Saiz anak gamat yang dilepaskan di kolam atau kandang adalah antara 15 – 100 gram. Makin besar saiz anak gamat yang dilepaskan, makin tinggi kadar hidup anak gamat. Benih gamat dapat didapati daripada hatceri gamat atau nelayan yang mengutip benih gamat daripada laut.

Tempoh ternakan untuk mencapai saiz pasaran mengambil masa antara enam hingga 12 bulan dan bergantung pada banyak faktor, seperti cuaca, makanan dan kadar tumbesaran benih gamat.

Oleh sebab tempoh ternakan panjang, kaedah yang digunakan perlu dipilih dengan teliti. Kaedah yang dipilih perlu selamat, tahan cuaca dan mudah dipantau bagi mengelakkan kecurian gamat. Ternakan di laut perlu mengambil kira keadaan cuaca, seperti ribut atau tenang, dan hujan atau kemarau.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Burung Botak Upeh Sukar Membiak

Oleh Jasmi Abdul


Burung botak upeh atau Milky Stork ialah satu daripada tiga jenis burung botak yang ada di Malaysia. Dua spesies burung botak lain ialah burung botak besar dan burung botak kecil. Taburan burung botak upeh bermula dari Vietnam, Kampuchea dan Indonesia. Populasi burung ini dikatakan masih banyak di Sumatera, manakala hampir pupus di Malaysia, Vietnam dan Kampuchea.

Di Malaysia, botak upeh hanya dapat ditemukan di sekitar Pulau Kalumpang di dalam Suaka Burung Kuala Gula, Kerian, Perak. Bilangan botak upeh dianggarkan tidak melebihi dua puluh ekor. Spesies ini dikategorikan dalam Jadual Satu dalam Buku Merah Kesatuan Antarabangsa bagi pemuliharaan (IUCN).

Burung botak upeh mempunyai bulu yang putih melepak. Ada sedikit warna hitam pada bahagian hujung bulu kepaknya. Paruhnya besar dan tebal, berwarna kuning dan runcing pada bahagian hujungnya. Ada sedikit warna merah jambu pada bahagian dahi dan pangkal paruh burung ini. Kaki botak upeh pula panjang dan berwarna merah jambu.

Botak upeh mempunyai habitat yang terhad, iaitu hanya mendiami kawasan hutan paya bakau berlumpur. Burung botak upeh memilih habitat ini kerana ada banyak makanan yang dapat dimakannya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Di Malaysia, botak upeh hanya dapat
ditemukan di sekitar Pulau Kalumpang di
dalam Suaka Burung Kuala Gula, Kerian,
Perak. Bilangan botak upeh dianggarkan
tidak melebihi dua puluh ekor. Spesies ini
dikategorikan dalam Jadual Satu dalam
Buku Merah Kesatuan Antarabangsa
bagi pemuliharaan (IUCN).
Burung botak upeh mempunyai
bulu yang putih melepak. Ada sedikit
warna hitam pada bahagian hujung bulu
kepaknya. Paruhnya besar dan tebal,
berwarna kuning dan runcing pada
bahagian hujungnya. Ada sedikit warna
merah jambu pada bahagian dahi dan
pangkal paruh burung ini. Kaki botak
upeh pula panjang dan berwarna merah
jambu.Di Malaysia, botak upeh hanya dapat
ditemukan di sekitar Pulau Kalumpang di
dalam Suaka Burung Kuala Gula, Kerian,
Perak. Bilangan botak upeh dianggarkan
tidak melebihi dua puluh ekor. Spesies ini
dikategorikan dalam Jadual Satu dalam
Buku Merah Kesatuan Antarabangsa
bagi pemuliharaan (IUCN).
Burung botak upeh mempunyai
bulu yang putih melepak. Ada sedikit
warna hitam pada bahagian hujung bulu
kepaknya. Paruhnya besar dan tebal,
berwarna kuning dan runcing pada
bahagian hujungnya. Ada sedikit warna
merah jambu pada bahagian dahi dan
pangkal paruh burung ini. Kaki botak
upeh pula panjang dan berwarna merah
jambu.

Posted in: Konservasi