Pengkomputeran Optik Kegagalan Model Komputer

Oleh Muhammad Asif Ahmad Khushaini

Komputer tidak mungkin dihasilkan secara keseluruhannya daripada cahaya. Jika semua komponen komputer dihasilkan daripada cahaya, pengendaliannya menjadi sukar dan tidak praktikal. Apa-apa yang mungkin dicapai hanyalah pengkomputeran optik.

Dalam pengkomputeran optik, cahaya menjadi asas bagi operasi komputer. Proses pengiraan ialah perkara yang komputer lakukan. Tempoh masa yang diperlukan bagi pengiraan ini menarik minat ahli sains, jurutera dan pencinta teknologi. Namun begitu, jika ditanya pemilik telefon mudah alih, iPhone dan Samsung di seluruh dunia, mereka mementingkan aspek saiz dan kelajuan.

Masalahnya, jika kelajuan yang lebih cepat diinginkan, saiz perlu dikorbankan. Contohnya, dalam penghasilan superkomputer. Komputer yang digunakan pada waktu ini berdasarkan litar elektrik. Komputer ialah peranti yang dapat melakukan tugas yang diberi. Pelaksanaannya berdasarkan cara pembina, iaitu jurutera memprogramkannya.

Setelah bidang elektrik dan kemagnetan cukup matang, litar elektrik dimanipulasikan supaya dapat melakukan suatu yang diingini. Hal ini menyebabkan kerumitan litar meningkat secara beransur-ansur. Komponen yang khusus pula dibangunkan bagi melaksanakan tugas tertentu.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Komputer

Cara Bateri Kereta Hilang Cas

Oleh Muhammad Nuruddin Bashah

Tidak banyak orang tahu bahawa bateri kenderaan dapat hilang cas pada setiap hari, walaupun tidak digunakan. Hal ini merupakan suatu perkara biasa bagi semua jenis bateri dan sifat semula jadi bagi sistem elektrokimia.

Bateri asid plumbum dicipta pada tahun 1859 oleh ahli fizik Perancis, Gaston Plante dan merupakan jenis bateri yang dapat dicas semula yang paling lama. Oleh sebab kosnya yang rendah, bateri jenis ini praktikal digunakan dalam kenderaan bermotor bagi menyediakan arus tinggi yang diperlukan oleh penghidup kereta motor berbanding dengan bateri yang menggunakan teknologi yang lebih baharu. Malah, bateri asid plumbum tetap digunakan secara meluas, walaupun plumbum menyebabkan pencemaran dan bersifat toksik.

Bateri asid plumbum mencatatkan jualan antara 40 – 45 peratus daripada nilai keseluruhan bateri yang dijual di seluruh dunia (1999, tidak termasuk China dan Rusia) dan nilai pasaran pengeluarannya kira-kira AS$15 bilion.

Nyahcas secara sendiri ialah tindak balas kimia yang berlaku di dalam bateri yang menyebabkan bateri mengalami nyahcas sendiri, walaupun tiada arus yang dialirkan keluar. Walaupun hal ini merupakan sifat semula jadi bagi sebuah sel kimia, keadaan ini dapat dikawal dan dihalang daripada berlaku dengan lebih buruk hingga menyebabkan bateri hilang cas terlalu cepat.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Kacip Fatimah Herba untuk Wanita

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain dan Intan Idiana Hassan

Kacip fatimah atau Labisia pumila ialah sejenis tumbuhan dalam keluarga Myrsinaceae yang digunakan oleh masyarakat Melayu sejak 400 tahun yang lalu. Penemuan tumbuhan ini lebih awal berbanding dengan pokok berkhasiat yang lain. Kacip fatimah juga lebih dikenali dengan kehebatan khasiatnya dan digunakan dengan meluas oleh banyak wanita.

Di Malaysia, pokok ini dikenali dengan pelbagai nama dalam masyarakat Melayu berdasarkan khasiatnya. Antara nama yang dimaksudkan termasuklah selusuh fatimah, rumput siti fatimah, akar fatimah, pokok pinggang, tadah matahari, bunga belangkas hutan dan kunci fatimah. Walaupun digelar dengan pelbagai nama, tumbuhan ini lebih popular dengan nama kacip fatimah dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurut pengamal perubatan tradisional Melayu, panggilan kacip menunjukkan khasiat tumbuhan ini pada wanita. Nama kacip diambil sempena nama pengacip buah pinang yang membawa kiasan mengetatkan otot faraj (vagina) yang memainkan peranan penting dalam hubungan seks yang dijalin antara suami dengan isteri. Panggilan Fatimah pula diambil sempena nama anak nabi Muhammad SAW, iaitu lambang keunggulan kewanitaan yang disanjung tinggi.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Menangani Perubahan Cuaca Secara Sistematik

Oleh Zaili Mohamad

Satu cabaran besar yang dihadapi oleh semua negara di dunia dalam aspek alam sekitar ialah cara untuk meningkatkan kualiti udara bagi tujuan pernafasan. Pada masa yang sama, cabaran untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang menyebabkan perubahan iklim yang dihadapi pada hari ini perlu dihadapi. Bagi menjayakan hasrat ini, kerjasama daripada semua negara yang meliputi kerajaan dan industri diperlukan.

Dalam masa yang sama sektor koperasi mengambil langkah proaktif dan bersungguh-sungguh bagi menangani isu ini secara global. Langkah ini bermula ketika Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Singapura yang menerima satu resolusi yang diserahkan oleh Cooperative Group Ltd dan Co-operative UK Limited.

Berdasarkan resolusi ini, seluruh koperasi dunia diseru untuk bergerak bersama-sama bagi memerangi perubahan cuaca menerusi tiga cara. Pertama, mengukur dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang wujud disebabkan oleh aktiviti koperasi. Kedua, menyampaikan, memaklumkan dan mendorong anggota mengamalkan gaya hidup yang rendah karbon. Ketiga, menggunakan pengaruh politik bagi menggalakkan kerajaan memainkan peranan positif ketika rundingan Kyoto.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar

Jurutera Cerdik Teknologi Pembuatan

Oleh Akmal Hisyam Mohamad

Generasi pada hari ini amat bertuah kerana dapat hidup dalam dunia yang serba memudahkan. Contohnya, makanan dapat dinikmati dengan selesa menggunakan sudu dan garpu di dalam bekas yang cantik.

Tempoh pergerakan ke suatu tempat tidak memerlukan masa yang lama kerana ada pelbagai pilihan pengangkutan, sama ada udara, darat atau air. Namun begitu, tidak banyak orang yang ambil tahu tentang cara alat ini dihasilkan. Bilangannya bukan satu atau dua, tetapi mencecah jutaan unit.

Di samping itu, komponen enjin kenderaan dapat dihasilkan dengan kuantiti yang banyak dengan saiz yang sama dan tepat bagi model yang sama berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan. Perkara ini tidak mustahil berlaku. Walau bagaimanapun, hasil ini tidak diperoleh dengan mudah kerana memerlukan ilmu.

Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai ditubuhkan sebuah makmal yang dikenali sebagai makmal teknologi pembuatan termaju di Malaysia pada pertengahan era 80-an. Makmal pengeluaran UTM memikul tanggungjawab yang besar bagi melatih bakal tenaga kerja mahir yang mampu mengendalikan peralatan yang canggih dan berkembang pesat di Malaysia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Limau Lelang Ubat Penyakit Kelamin

Oleh Chee Beng Jin

Hutan paya laut merupakan ekosistem yang sangat unik dan tersendiri. Jenis flora di kawasan ini mengalami proses pengubahsuaian terhadap sekitaran yang ekstrem, seperti lembap, berlumpur, kemasinan tinggi dan kitaran air pasang surut dari laut. Tidak banyak orang yang mengenali pokok limau lelang atau Merope angulata. Flora ini merupakan satu-satunya spesies pokok limau yang tumbuh di kawasan hutan paya laut di Malaysia.

Limau lelang merupakan tumbuhan jenis renek atau pokok kecil yang dapat mencapai ketinggian hingga tiga meter. Tumbuhan ini mempunyai batang dan ranting yang banyak dan jarang-jarang. Duri tajam sepanjang lima sentimeter terbentuk pada dahan, batang atau celah daunnya. Daun limau lelang pula berbentuk lonjong serta tirus pada hujungnya, agak tebal dan mempunyai permukaan yang licin. Seperti daun pokok limau yang lain, daunnya mempunyai kelenjar yang menghasilkan minyak pati dan mengeluarkan aroma apabila dikoyak atau diramas.

Bunga limau lelang bersaiz kecil, iaitu berukuran lebih kurang dua sentimeter, berwarna putih dan berbau wangi. Buah limau lelang agak istimewa kerana berbentuk bujur tirus segi tiga atau segi empat. Warna limau lelang hijau gelap ketika muda dan hijau kekuning-kuningan setelah matang. Saiz tumbuhan ini dapat mencapai empat sentimeter panjang.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

Akuaskap Makin Diminati

Oleh Norhanizan Sahidin

Apabila hobi memelihara ikan diperkatakan, terbayang akuarium yang dipenuhi dengan ikan hiasan yang cantik dan peralatan hiasan dalaman yang terdiri daripada kapal miniatur yang pecah, pasir dan tumbuhan plastik dengan bahagian belakang akuarium tertampal poster gambar pokok.

Pada masa ini, trend terbaharu akuarium dunia ialah akuaskap. Akuaskap ialah seni menghias akuarium menggunakan tumbuhan akuatik atau tumbuhan akuarium, susunan batu besar, batu kerikil, tunggul kayu, tanah dan pasir secara estetik di dalam akuarium. Aktiviti ini seolah-olah berkebun di dalam air.

Ada pelbagai konsep menghias akuarium. Namun begitu, konsep yang paling diminati oleh pelbagai golongan masyarakat ialah konsep semula jadi. Konsep semula jadi dipelopori dan dipopularkan oleh Takashi Amano.

Takashi Amano ialah seorang jurugambar profesional dan mengelilingi dunia untuk mengambil gambar alam semula jadi. Beliau memperkenalkan akuaskap mini menyerupai alam semula jadi di dalam akuarium. Buku beliau yang terkenal, iaitu Nature Aquarium World yang diterbitkan dalam tiga jilid mencetuskan fenomena baharu hiasan akuarium dunia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Penyelidikan Avifauna di Tasik Kenyir

Oleh Muhammad Hafiz Sulaiman, Muhammad Embong dan Mazrul Aswady Mamat

Ada antara 695 – 789 spesies burung yang direkodkan di Malaysia. Majoriti burung yang dikenal pasti ialah burung darat yang merangkumi 560 spesies, selain 231 spesies burung migrasi, 31 spesies burung laut dan 121 spesies burung air.

Pada masa ini, ada 290 spesies burung yang direkodkan mendiami wilayah Tasik Kenyir di Hulu Terengganu termasuklah sembilan spesies burung enggang. Kelebihan ini menyebabkan Tasik Kenyir menjadi tempat tumpuan bagi aktiviti pemerhatian burung dalam kalangan pencinta burung dan penggiat alam sekitar di seluruh dunia.

Pengiktirafan dunia terhadap diversiti burung di Tasik Kenyir tidak dapat disangkal apabila taman negara yang merangkumi Taman Negara Pahang, Terengganu dan Kelantan tersenarai sebagai satu daripada 55 kawasan penting burung (IBA) di seluruh Malaysia.

Walau bagaimanapun, usaha konservasi in-situ perlu digiatkan lagi memandangkan faktor antropogenik, seperti pembalakan, pertanian, penempatan manusia, pembangunan yang tidak terancang, pemburuan haram dan tebus guna tanah yang tidak terkawal mengancam kemandirian biodiversiti yang ada di Malaysia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

Betik Ubat Denggi

Oleh Mohd. Nasir Mat Nor

Betik atau Carica papaya atau Melon Zapote ialah sejenis tumbuhan semula jadi tropika Amerika. Buah ini merupakan tanaman jangka pendek dan sesuai ditanam di kawasan tropika, seperti Malaysia. Di Malaysia, betik banyak ditanam di pantai barat Semenanjung Malaysia, seperti Selangor, Perak dan Johor. Di sesetengah tempat, betik muda sering dijadikan satu daripada menu dalam rojak buah atau rojak betik. Betik terbukti mempunyai pelbagai khasiat dan mengandungi hampir semua zat makanan yang diperlukan bagi kesihatan tubuh manusia.

Betik mengandungi vitamin yang amat diperlukan bagi fungsi asas tubuh pada setiap hari. Antara vitamin yang ada dalam betik termasuklah vitamin A, B dan C. Vitamin C di dalam buah betik adalah lebih banyak daripada buah limau. Separuh daripada buah betik yang bersaiz sederhana besar mampu memberikan 100 peratus keperluan vitamin C harian. Selain mempunyai kalori yang sangat rendah, buah betik juga mengandungi kalium, serat, zat besi, tiamina dan beberapa enzim, seperti papain. Papain memberikan sumbangan khusus dalam membantu proses penghadaman.

Selain itu, betik dikatakan dapat merawat denggi. Penyakit denggi merupakan penyakit yang berjangkit melalui gigitan nyamuk yang berbahaya dan dapat menyebabkan kematian. Hingga bulan Julai 2014 sahaja, 457 jumlah kes demam denggi direkodkan di seluruh negara. Selangor mencatatkan 203 kes, diikuti kelantan dengan 137 kes.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

Vaksin Agenda Zionis?

Oleh Nurhanis Syazni Roslan

Imunisasi ialah proses seseorang menjadi imun terhadap suatu penyakit berjangkit. Sistem imun terdiri daripada sel darah putih, kelenjar, sumsum tulang dan limfa yang menghasilkan berjuta-juta antibodi bagi melawan serangan penyakit.

Setelah dijangkiti penyakit, sel memori yang menghasilkan antibodi kekal, manakala antibodi musnah. Sel memori berfungsi mengingati antigen atau kuman yang merangsang pengeluaran antibodi. Sel ini melindungi tubuh daripada dijangkiti penyakit yang sama.

Sejak dilancarkan pada tahun 1950 bagi mencegah 12 penyakit berjangkit utama, Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan berjaya mengurangkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85 peratus. Program ini merupakan pemberian vaksin secara berkala pada individu bermula daripada lahir hingga berusia 13 tahun. Namun begitu, usaha murni ini mendapat tentangan daripada gerakan antivaksin yang menimbulkan keraguan dalam kalangan ibu bapa.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan