Gout Penyakit Orang Kaya

Oleh Rehanah Mohd. Zain

Gout berasal daripada bahasa Latin, iaitu “gutta” yang bermaksud setitis. Masyarakat dahulu percaya bahawa gout berpunca daripada titis humor yang mengerikan yang berkaitan rapat dengan ketulan daripada mendapan urat. Penyakit tertua ini dikenali sejak 2000 tahun yang lalu. Gout merupakan penyakit orang kaya kerana makanan dan minuman yang terlebih khasiat diambil oleh mereka. Dari segi fisiologi badan manusia bahan kumuh dikumuhkan melalui air kencing (urin). Namun begitu, bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang, sebaliknya berkumpul pada sendi.

Pada tahun 2010, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) melaporkan sebanyak 22 peratus penduduknya menghidap gout. Di Malaysia pula, tiada statistik jumlah pesakit gout yang dicatatkan. Namun begitu, penyakit ini didapati kian kerap menyerang rakyat Malaysia.

Biasanya, lelaki yang menghidap penyakit ini berumur antara 30 – 60 tahun. Wanita pula jarang-jarang menghidap penyakit ini sebelum putus haid. Gout berpunca daripada hiperurisemia, iaitu asid urik yang berlebihan sebanyak 420μmol/L di dalam darah.

Penyakit ini merupakan satu daripada bentuk artritis, iaitu pengumpulan hablur asid urik pada sendi yang dapat menyebabkan asid urik berlebihan di dalam badan. Tambahan pula, pengumpulan asid urik yang berlebihan menyebabkan gout artritis yang parah, pembentukan batu ginjal serta pemendapan asid urik di dalam kulit dan tisu badan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

Penyalahgunaan Hormon Insulin dalam Sukan

Oleh Mohd. Nur Firdaus Abdul Latif dan Mohd. Nazri Ismail

Dalam diet makanan harian, karbohidrat ialah satu daripada komponen yang penting bagi tubuh manusia. Karbohidrat menghasilkan gula (glukosa) yang membekalkan tenaga untuk pelbagai aktiviti fizikal. Glukosa diserap oleh sistem pencernaan, lalu diangkut melalui salur darah ke seluruh anggota badan yang memerlukan tenaga, terutamanya tisu otot.

Di tempat itu, glukosa ditukar menjadi air, karbon dioksida dan tenaga. Proses pengawalaturan tahap glukosa di dalam darah ini ditentukan oleh hormon insulin. Insulin ialah protein kecil yang dihasilkan oleh sel Langerhans beta (sel β) di organ pankreas.

Dari segi biokimia, insulin terdiri daripada dua rantaian pendek asid amino yang dihubungkan menerusi ikatan disulfida dengan berat purata molekul, 5807 dalton. Fungsi utama hormon ini adalah untuk merangsang pengoksidaan glukosa di dalam darah bagi penghasilan tenaga (respirasi sel) dan merangsang penukaran glukosa yang berlebihan menjadi glikogen untuk disimpan di hati bagi kegunaan seterusnya. Proses pengawalaturan ini dikenali sebagai homeostasis.

Dalam proses homeostasis, insulin dirembeskan ke dalam salur darah apabila ada rangsangan, sama ada daripada glukosa atau hormon tertentu. Aras normal bagi glukosa di dalam darah adalah antara 80 – 100 mg bagi setiap 100 cm3 darah. Apabila aras glukosa melebihi julat normal ini, sel β merembeskan lebih banyak hormon insulin bagi proses pengoksidaan glukosa dan penukarannya menjadi glikogen. Hal ini menurunkan aras glukosa kepada paras normal semula.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan, Lain-lain

Telinga Berdengung Sebelum Pesawat Mendarat

Oleh Irfan Mohamad

Apabila kapal terbang mula mendarat, ibu bapa yang mempunyai anak kecil mulai risau. Bayi dan kanak-kanak yang menangis pula disuruh diam oleh penjaga masing-masing. Ada juga antara mereka yang diberi susu dan gula-gula.

Penumpang yang biasa dengan masalah ini pula mulai gusar. Ada penumpang yang tahu cara mengatasinya dan sebaliknya. Ada juga penumpang yang hanya terkesan dengan rasa telinga berdengung. Tidak kurang juga penumpang yang sakit hingga menitiskan air mata. Hal ini merupakan situasi biasa yang dialami oleh penumpang. Namun begitu, keadaan ini jarang-jarang dikongsi secara serius. Hanya penumpang yang merasainya tahu menghargai nikmat pendaratan kapal terbang tanpa gangguan telinga yang serius.

Telinga berdengung atau sakit ketika penerbangan, terutamanya pada fasa pendaratan ada kaitan yang rapat dengan keadaan telinga tengah penumpang. Telinga tengah ini dikaitkan dengan status kesihatan hidung penumpang. Malangnya, tidak banyak orang tahu kaitan antara kedua-dua perkara ini.

Telinga manusia mempunyai tiga bahagian, iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Secara spesifiknya, telinga tengah merupakan kaviti sempit di dalam tulang temporal yang mempunyai ruang bagi udara, tiga tulang kecil yang dikenali sebagai osikel (tukul, andas dan rakap), beberapa otot dan ligamen kecil.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Teknologi Membaca Minda

Oleh Nor Azida Ishak

Teknologi membaca minda tidak lagi terhad dalam kisah fiksyen sains atau fantasi. Sebaliknya, teknologi ini makin hampir direalisasikan. Menerusi sains, imej di dalam otak manusia dapat dicipta semula menggunakan teknik pengimbas yang popular dalam bidang perubatan.

Proses membaca minda ini melibatkan fungsi pengimejan resonans magnetik (MRI) dan pengimejan resonans magnetik kefungsian (fMRI), sejenis alat pengimbas yang sering diaplikasikan bagi pendiagnosisan tumor dan anomali otak.

Terkini, fMRI dan model simulasi pengkomputeran digunakan oleh ahli sains bagi mencipta semula imej dinamik yang dilihat oleh manusia secara visual. Hal ini bermakna apa-apa yang dilihat dan difikirkan oleh manusia dapat dinyahkodkan dengan bantuan sains dan teknologi.

MRI merupakan alat diagnostik yang digunakan bagi menangkap imej organ di dalam tubuh. Antaranya termasuklah otak, sumsum tulang belakang, saraf, dada, perut, pembuluh darah dan jantung. Alat ini kerap dipilih oleh doktor kerana medan magnet dan gelombang frekuensi radio yang digunakan tidak memudaratkan pesakit. Malah MRI didapati sesuai digunakan bagi pesakit yang menderitai penyakit pada tahap kronik, seperti kanser. Hal ini dikatakan demikian kerana sebarang pembedahan atau pendedahan terhadap radiasi sinar-X tidak diperlukan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Anggerik Harimau Ubat Penyakit Kuning

Oleh Chee Beng Jin

Anggerik atau orkid harimau atau Grammatophyllum speciosum merupakan tumbuhan epifit yang ditemukan tumbuh menumpang pada pohon besar di dalam hutan tropika hingga altitud 550 m dari aras laut. Nama genus Grammatophyllum berasal daripada perkataan Greek, iaitu gramma yang bermaksud huruf dan phyllon yang bermaksud daun. Penamaan genus ini berkaitan rapat dengan ciri corak garang pada bunganya.

Orkid harimau tumbuh di dalam rumpun dan dapat membesar hingga tujuh meter tinggi. Daun tumbuhan ini panjang dan berbentuk lurus di dalam susunan berbaris dan bertentangan serta mempunyai rakis atau tangkai yang besar dan tegap. Jambak bunga orkid harimau panjang, iaitu kira-kira tiga meter dan menghasilkan beratus-ratus kuntum bunga yang menarik.

Setiap kuntum bunga anggerik harimau dapat mencapai diameter antara 10 – 12 cm, berwarna kuning kehijau-hijauan dan mempunyai corak atau bintik coklat kemerah-merahan. Pembungaan orkid ini pula tidak menentu. Ada orkid yang dilaporkan berbunga setiap dua atau empat tahun. Setiap jambak bunga dapat bertahan dalam tempoh hingga lebih kurang dua bulan. Buah anggerik harimau berbentuk kapsul dengan kandungan biji yang halus.

Taburan geografi tumbuhan ini meliputi Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Semenanjung Malaysia, Sumatera, Pulau Jawa, Borneo, Papua New Guinea dan Filipina. Nama lain bagi pokok anggerik harimau ialah bunga puteri, bunga bidadari atau ekor gajah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

Pengkomputeran Optik Komunikasi Optik

Oleh Muhammad Asif Ahmad Khushaini

Kini, teknologi komputer mencapai hadnya kerana undang-undang Moore hampir berakhir. Satu cara bagi mengelakkan hal ini berlaku adalah menerusi pembinaan komputer optik. Unifi merupakan klu terdekat bagi pembinaan pengkomputeran optik. Unifi ialah internet berkelajuan tertinggi di Malaysia kerana menggunakan cahaya sebagai isyarat dan bukannya isyarat elektrik biasa.

Walau bagaimanapun, sistem sedia ada yang menggunakan isyarat elektrik tidak dapat digunakan bagi menghantar isyarat cahaya. Oleh sebab itu, bagi memudahkan pemahaman tentang pengkomputeran optik, komunikasi optik perlu difahami terlebih dahulu kerana bidang ini merupakan asas bagi pembinaan pengkomputeran optik.

Komunikasi bermaksud perhubungan. Bagi membolehkan komunikasi berlaku dengan baik, saluran atau medium bagi memindahkan maklumat diperlukan. Contohnya, tali yang menyambungkan dua cawan plastik ialah medium bagi memindahkan suara daripada pengirim kepada penerima.

Walau bagaimanapun, medium ini bergantung pada jenis maklumat yang dihantar. Jika isyarat elektrik yang dihantar, medium konduktif diperlukan bagi memindahkannya. Medium yang paling popular ialah wayar. Dalam membina suatu sistem baharu seperti pengkomputeran optik, komunikasi adalah penting.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Walau bagaimanapun, sistem sedia
ada yang menggunakan isyarat elektrik
tidak dapat digunakan bagi menghantar
isyarat cahaya. Oleh sebab itu, bagi
memudahkan pemahaman tentang
pengkomputeran optik, komunikasi
optik perlu difahami terlebih dahulu
kerana bidang ini merupakan asas bagi
pembinaan pengkomputeran optik.
Komunikasi bermaksud
perhubungan. Bagi membolehkan
komunikasi berlaku dengan baik, saluran
atau medium bagi memindahkan
maklumat diperlukan. Contohnya, tali
yang menyambungkan dua cawan
plastik ialah medium bagi memindahkan
suara daripada pengirim kepada
penerima.
Walau bagaimanapun, medium
ini bergantung pada jenis maklumat
yang dihantar. Jika isyarat elektrik yang
dihantar, medium konduktif diperlukan
bagi memindahkannya. Medium yang
paling popular ialah wayar. Dalam
membina suatu sistem baharu seperti
pengkomputeran optik, komunikasi
adalah penting.
Posted in: Sains Komputer

Produk Herba Makanan atau Ubat?

Oleh Chua Hun Pin

Makanan sering dikaitkan dengan tahap kesihatan manusia. Hal ini selari dengan falsafah asas yang dilafazkan oleh Hippocrates pada tahun 400 SM, iaitu “Biarkan makanan menjadi ubat dan ubat menjadi makanan”. Falsafah makanan sebagai ubat dijadikan asas bagi pembangunan produk makanan yang berunsurkan penjagaan kesihatan atau nutraseutikal pada zaman moden ini.

Tumbuhan herba mengandungi pelbagai jenis bahan fitokimia aktif yang merangkumi metabolit sekunder, seperti flavonoid, alkaloid, glikosida dan steroid. Oleh sebab itu, lazimnya tumbuhan herba digunakan sebagai ramuan utama dalam pembangunan produk makanan dan produk farmaseutikal.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (USFDA), makanan ditakrifkan sebagai bahan yang digunakan secara asasnya untuk memperoleh rasa, aroma dan khasiat zat makanan. Apabila produk herba disediakan dalam bentuk makanan, ramuan herba ditambah hanya sebagai perasa atau rempah bagi menambahkan aroma.

Dalam konteks ini, ramuan herba tidak digunakan sebagai terapeutik dan dirujuk sebagai ramuan botani. Produk hasilan pula dirujuk sebagai produk botani. Di Malaysia, produk makanan dikawal di bawah Akta Makanan dan Peraturan-peraturan oleh Bahagian Kawalan Mutu Makanan (BKMM).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Pemakanan

Perenjak Belukar Si Tukang Jahit

Oleh Jasmi Abdul

Perenjak belukar atau Orthotomus atrogularis atau burung Cheninit atau Dark-necked Tailorbird ialah satu daripada spesies burung liar yang biasa dilihat di sekitar rumah, taman bunga, belukar dan dusun buah serta kawasan tanaman, seperti ladang getah dan kelapa sawit. Spesies ini tergolong dalam keluarga Sylviidae. Burung perenjak belukar mempunyai tubuh yang kecil. Panjang burung ini adalah antara 10 – 12 sentimeter.

Ekor perenjak belukar kecil, tirus dan hampir sama panjang dengan panjang badannya. Bulu kepak burung ini berwarna coklat kehijau-hijauan. Bulu pada bahagian perut dan bawah ekornya berwarna kelabu kotor. Bulu pada bahagian atas kepalanya pula berwarna perang. Ada bulu berwarna hitam di bawah leher burung perenjak belukar jantan. Walau bagaimanapun, bulu berwarna hitam ini tidak ada pada burung perenjak belukar betina.

Kaki perenjak belukar yang panjang memudahkannya melompat dari dahan ke dahan untuk mencari serangga. Pokok pula dapat dipanjat secara menegak ketika makanan dicari oleh burung ini. Bunyi yang agak nyaring, iaitu “chip, chip, chip, chip” atau bunyi yang laju dan panjang, iaitu “tat, tat, tat, tat, tat” dikeluarkan ketika pasangannya dipanggil atau ketika berada dalam ketakutan.

Burung perenjak belukar dapat ditemukan di kawasan yang pernah diterokai oleh manusia. Burung kecil ini mudah ditemukan di kampung, taman perumahan, taman bunga, dusun buah atau tanaman, belukar dan pinggir hutan sekundar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

Perjalanan Seorang Juruterbang

Oleh Kamarul Arifin Ahmad

Bencana yang menimpa pesawat Germanwings Flight 9525 merupakan suatu perkara yang sangat memeranjatkan masyarakat dunia. Seorang pembantu juruterbang yang bersendirian di dalam kokpit mengunci kapten kapal yang berada di luar dan menjunamkan pesawat ke kawasan pergunungan di Perancis. Semua penumpang dan krew di dalam pesawat ini terkorban.

Keadaan ini menimbulkan persoalan pada minda masyarakat, iaitu sama ada setiap juruterbang ditapis atau tidak secara fizikal dan mental sebelum dibenarkan menjadi seorang juruterbang komersial. Tapisan dari segi fizikal mungkin mudah dilakukan oleh pihak berwajib. Namun begitu, tapisan dari segi mental pasti suatu yang sukar dan subjektif.

Seseorang itu dapat menjadi juruterbang komersial atau terbang pada hari minggu untuk kepuasan sendiri. Walau bagaimanapun, tidak mudah untuk menjadi seorang juruterbang. Seseorang itu perlu diuji secara akademik dan fizikal dalam tempoh tertentu sebelum ditauliahkan sebagai seorang juruterbang.

Di Malaysia, pihak berwajib yang bertanggungjawab dalam perkara ini ialah Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA). Lesen penerbangan dikeluarkan oleh DCA kepada juruterbang persendirian atau komersial setelah seseorang itu lulus dalam semua ujian yang diwajibkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Angkasa

Penyiasatan Kemalangan Udara

Oleh Mohd. Harridon Mohamed Suffian

Lazimnya, pengangkutan menggunakan pesawat amat selamat kerana pesawat sentisa dipastikan berada dalam keadaan yang optimum dan baik. Namun begitu, kes kemalangan tetap dapat berlaku. Jika kemalangan berlaku, penyiasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak berkenaan.

Umumnya, penyiasatan yang terperinci memerlukan masa yang agak lama, iaitu lebih kurang dua tahun. Namun begitu, laporan interim dikeluarkan beberapa bulan (antara tiga hingga enam bulan) selepas kemalangan udara berlaku. Walaupun laporan interim tidak menyeluruh, gambaran awal tentang insiden kemalangan dapat diberi.

Sebenarnya, ada prosedur penyiasatan yang perlu dilaksanakan, jika kemalangan udara berlaku. Prosedur ini ditetapkan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di dalam dokumen AN965.

Apabila kemalangan berlaku, beberapa data atau maklumat perlu dikumpulkan supaya gambaran yang tepat tentang kemalangan dapat diberi. Data dan maklumat ini penting supaya dapat digunakan oleh penyiasat bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fokus