PEMANCAR CERIA MEMPENGARUHI EMOSI

Oleh Ramlan Abdul Wahab
Serotonin sering dianggap pemancar ceria. Walaupun ketepatan gelaran ini mungkin dapat dipertikaikan, serotonin memang sejenis sebatian pemancar saraf (neurotransmiter) yang dihasilkan di dalam otak dan sistem usus penghadaman. Oleh sebab itu, banyak pihak, khususnya penyelidik menganggapnya penyumbang perasaan yang sejahtera dan ceria.
Dari segi kimia, serotonin ialah sebatian 5-Hidroksitriptamina atau 5-HT yang juga dikenali sebagai enteramina, trombositin dan trombotonin. Dari segi biokimia pula, serotonin ialah sebatian yang disintesis daripada sejenis asid amino, iaitu L-triptofan.
Proses sintesis serotonin ini melibatkan dua enzim, iaitu triptofan hidroksilase (TPH) dan asid amino dekarboksilase (DDC). TPH pula wujud dalam dua bentuk, iaitu TPH1 yang ada di dalam beberapa tisu dan TPH2 yang ada banyak di dalam otak. TPH1 berperanan dalam penghasilan serotonin di dalam kelenjar pineal dan sel enterokromafin di dalam dinding sistem usus. TPH2 menghasilkan serotonin di nuklei rafe (gumpalan neuron di dalam batang otak, khususnya di otak tengah) dan di dalam pleksus mienterik (rangkaian saraf di dalam dinding usus).

Serotonin sering dianggap pemancar ceria. Walaupun ketepatan gelaran ini mungkin dapat dipertikaikan, serotonin memang sejenis sebatian pemancar saraf (neurotransmiter) yang dihasilkan di dalam otak dan sistem usus penghadaman. Oleh sebab itu, banyak pihak, khususnya penyelidik menganggapnya penyumbang perasaan yang sejahtera dan ceria.Dari segi kimia, serotonin ialah sebatian 5-Hidroksitriptamina atau 5-HT yang juga dikenali sebagai enteramina, trombositin dan trombotonin. Dari segi biokimia pula, serotonin ialah sebatian yang disintesis daripada sejenis asid amino, iaitu L-triptofan.Proses sintesis serotonin ini melibatkan dua enzim, iaitu triptofan hidroksilase (TPH) dan asid amino dekarboksilase (DDC). TPH pula wujud dalam dua bentuk, iaitu TPH1 yang ada di dalam beberapa tisu dan TPH2 yang ada banyak di dalam otak. TPH1 berperanan dalam penghasilan serotonin di dalam kelenjar pineal dan sel enterokromafin di dalam dinding sistem usus. TPH2 menghasilkan serotonin di nuklei rafe (gumpalan neuron di dalam batang otak, khususnya di otak tengah) dan di dalam pleksus mienterik (rangkaian saraf di dalam dinding usus).

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

BUASIR BAHAYA

Oleh Rehanah Mohd Zain

Buasir atau hemoroid ialah pembengkakan atau inflamasi atau keradangan pada bahagian pembuluh darah dan tisu di keliling dubur dan hujung usus besar. Penekanan yang berterusan terhadap pembuluh darah pada bahagian dubur atau rektum ini menyebabkan perdarahan berlaku ketika membuang air besar.

Penekanan ini dapat terjadi apabila pesakit kerap mengalami sembelit atau mempunyai najis yang keras ketika membuang air besar. Tekanan yang terlalu tinggi menyebabkan dinding vena darah teregang dan membonjol. Apabila penekanan ini berterusan, bahagian dubur terkoyak sedikit.

Kadangkala, bahagian ini boleh pecah, terutamanya ketika meneran. Setiap kali membuang air besar, pesakit berasa sakit, perit dan gatal. Darah pula menitis keluar. Pada peringkat permulaan, perdarahan ini hanya sedikit. Namun begitu, jika tidak dirawat, perdarahan menjadi lebih serius.

Setakat ini, masih tiada statistik kadar buasir di Malaysia. Namun begitu, di negara Barat, sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus penduduk yang berumur melebihi 50 tahun mengalami buasir. Buasir boleh dihidapi oleh semua peringkat umur.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

PEKAKA DADA PUTIH TIDAK BANYAK MUSUH

Oleh Jasmi Abdul

Pekaka dada putih (White-Breasted Kingfisher) ialah satu daripada lima spesies burung pekaka atau burung raja udang yang ada di Semenanjung Malaysia. Empat spesies yang lain ialah pekaka muncung tebal, pekaka kecil, pekaka leher putih dan pekaka cit-cit.

Burung pekaka dikategorikan dalam kelompok burung liar yang bergantung pada kawasan tanah lembap untuk pencarian makanan. Semua jenis burung pekaka makan secara menyambar. Makanannya terdiri daripada ikan dan serangga.

Burung pekaka selalu dilihat di kawasan yang berair, seperti tepi sungai, sawah padi, tali air, tepi pantai dan kawasan lombong tinggal. Pekaka dada putih dikenali berdasarkan bulu pada bahagian dadanya yang berwarna putih dan bulu kepaknya yang berwarna biru.

Bulu pada bahagian leher, kepala dan perut pekaka dada putih pula berwarna coklat kemerah-merahan. Paruh burung ini tebal dan tajam serta berwarna coklat kemerah-merahan. Apabila terbang, burung ini berbunyi kuat dan nyaring, iaitu kek, kek, kek, kek, berulang-ulang. Apabila hinggap di dahan kayu, kepalanya diangguk-anggukkan.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

BISA ULAR PENAWAR KANSER

Oleh Benedict Anak Samling

Penyakit kanser ialah penyebab utama kematian di seluruh dunia. Kanser dikesan sejak beratus-ratus tahun dahulu tetapi penawarnya tidak ditemukan hingga kini. Walaupun ada rawatan untuk penyakit ini, seperti kemoterapi, terapi radiasi, pembedahan dan terapi hormon, rawatan itu tidak berjaya mengubati penyakit sepenuhnya. Pada peringkat tertentu, pertumbuhan sel kanser dipercepat dan menjadi punca bagi kematian pesakit.

Tambahan pula, kos yang tinggi diperlukan bagi terapi kanser. Hal ini dikatakan demikian kerana bahan kimia dan alatan yang canggih digunakan dalam prosedur ini. Di negara membangun dan sedang membangun, penyakit kanser menjadi beban terhadap kewangan awam. Hal ini disebabkan oleh kos rawatan yang terlalu tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang menggunakan dana awam.

Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2012 mendapati bahawa pesakit kanser yang mendaftar bagi menerima rawatan adalah sebanyak 1 638 910 orang. Satu daripada empat kematian di AS berpunca daripada kanser.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

Posted in: Fokus

GERHANA MATAHARI DAN BULAN

Oleh Kassim Bahali

Manusia sering tertanya-tanya tentang kemungkinan gerhana Matahari dan Bulan berlaku secara berturutan dalam satu bulan yang sama. Sebenarnya, fenomena ini dapat berlaku. Pada bulan September 2015, gerhana Matahari berlaku, diikuti oleh gerhana Bulan.

Fenomena seperti ini pernah berlaku pada November 2012 apabila gerhana penuh Matahari berlaku pada 14 November dan diikuti oleh gerhana Bulan pada 28 November 2012. Gerhana Matahari dan Bulan ini berlaku berdasarkan beberapa ketetapan tertentu.

Fenomena gerhana Matahari disebabkan oleh Bulan yang melindungi Matahari dan menghalang cahaya Matahari tiba di sebahagian kecil permukaan Bumi. Keadaan ini berlaku apabila Bulan berada di antara Bumi dengan Matahari. Keadaan ini menyebabkan bayang Bulan terjadi.

Bayang ini mengunjur seperti satu kon yang panjang sehingga mencecah sebahagian kecil permukaan Bumi. Bahagian permukaan Bumi yang terkena bayang ini pula mengalami gerhana.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

Posted in: Angkasa, Astronomi

ANTARA RACUN DENGAN PENAWAR

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dalam hidup ini, racun adalah antara bahan yang paling ditakuti dan perlu dijauhi. Racun bukan sahaja mampu melumpuhkan badan, tetapi turut membunuh manusia jika dosnya berlebihan atau kekuatan racun itu tinggi. Racun yang baik bukan sahaja memberikan kesan dalam masa yang singkat, malah bertindak balas terhadap sistem tubuh secara menyeluruh.

Ada banyak sumber yang membekalkan racun. Antaranya termasuklah racun haiwan berbisa, racun tumbuhan, dan racun haiwan laut. Setiap racun ini berbeza-beza jenis dan kekuatannya. Sistem tubuh yang menjadi sasaran racun ini juga tidak sama. Oleh sebab itu, kadar tindak balas racun pada setiap orang juga berbeza-beza.

Dahulu, racun hanya diketahui sebagai bahan yang berbahaya. Kini, banyak kajian dilakukan terhadap racun. Mungkin tiada sesiapa menyangka bahawa racun dapat dijadikan penawar penyakit. Racun yang sepatutnya membunuh mangsanya kini didapati mampu merawat penyakit yang paling ditakuti dan berbahaya, iaitu kanser.

Kajian yang menemukan kebaikan kanser ini dilakukan oleh penyelidik di India. Berdasarkan kajian yang dilakukan, bisa ular daripada ular jenis Vipera lebentina turnica yang diekstrak dan dimasukkan ke dalam sel ovari mampu menguncupkan dan mematikan sel kanser ovari dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Maka, fakta yang menunjukkan bahawa pada kedua-dua belah kepak lalat ada racun dan penawar, tidak sepatutnya terhad pada serangga terbang ini sahaja. Banyak lagi haiwan lain yang mempunyai racun dan dalam masa yang sama, racun ini dapat dimanfaatkan sebagai penawar bagi penyakit yang dideritai oleh manusia.

Dengan penemuan ini, diharap lebih banyak kajian dilakukan supaya semua racun yang dikenal pasti di dunia ini dikaji dan dicari kesan yang baik padanya, terutamanya dalam aspek penyembuhan penyakit atau penawar bagi bisa tertentu. Setelah manfaat ini ditemukan, maka terbuktilah bahawa setiap ciptaan Allah SWT itu mempunyai kebaikan walaupun dari segi zahirnya, ciptaan itu seakan-akan membawa keburukan kepada manusia.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

Posted in: Daripada Editor