KEBAKARAN HUTAN PAYA GAMBUT PUNCA JEREBU

Hutan paya gambut adalah antara ekosistem semula jadi di Bumi yang penting dari segi pemeliharaan kepelbagaian biologi, pengawalaturan iklim, penyimpanan karbon dan penyokong kesejahteraan manusia. Fungsi hutan paya gambut adalah sebagai penyerap air pada musim hujan. Kemudian, air ini dilepaskan secara beransur-ansur pada musim kering.

Walau bagaimanapun, aktiviti penerokaan hutan paya gambut, seperti pembinaan parit, penebangan pokok tanpa kawalan untuk tujuan pembalakan dan pertanian, ialah faktor pemusnah ekosistem hutan paya gambut. Pembinaan parit bagi tujuan pengeluaran air gambut dari hutan menyebabkan lapisan permukaan gambut kering.

Hal ini berpotensi sebagai bahan bakar yang baik dan dalam jangka masa panjang, paras tanah gambut mengalami penurunan. Pembukaan kanopi hutan yang disebabkan oleh penebangan pokok secara tidak terancang menyebabkan pancaran cahaya matahari mengenai lantai hutan yang kering secara terus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

PENCETUSAN PENYUSUAN IBU ANGKAT

Pencetusan penyusuan ibu bukan perkara mudah bagi wanita yang bergelar ibu angkat dan mahu menyusukan anak angkat mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ibu angkat ini tidak pernah hamil atau melahirkan anak. Oleh sebab itu, bagi wanita yang tidak pernah hamil atau melahirkan anak, proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari tidak berlaku. Namun begitu, hal ini bukan penghalang penghasilan susu ibu bagi penyusuan anak angkat.

Selain menjadikan anak angkat itu mahram bagi kedua-dua ibu bapa angkat, penyusuan anak angkat juga memberikan makanan yang terbaik kepada bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana susu ibu ialah susu terbaik untuk tumbesaran yang sihat.

Menurut Dr. Jack Newman dalam bukunya, The Ultimate Breastfeeding Book of Answers, susu formula bukan pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula ialah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu daripada ibu susuan.

Di samping itu, dalam agama Islam, setiap ibu yang melahirkan anak digalakkan untuk menyusukan anak dengan susu ibu sehingga anak itu berusia dua tahun. Bagi ibu angkat, pengambilan ubat atau bantuan rawatan untuk perangsangan penghasilan susu ibu bagi penyusuan anak angkat diharuskan. Namun begitu, ubat yang diambil mestilah tidak mengandungi unsur najis atau mudarat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

FAJAR MEMBELAH MALAM

Kegelapan malam berakhir dengan belahan cahaya malap  di kaki langit timur. Cahaya ini muncul secara melintang di ufuk timur. Dengan kemunculan cahaya ini, hari telah siang. Cahaya yang membelah kegelapan langit dikenali sebagai fajar. Bagi orang Islam, cahaya ini sangat penting. Hal ini dikatakan demikian kerana cahaya ini menjadi tanda berakhirnya malam dan bermulanya waktu solat subuh. Apabila masuk waktu subuh, azan dilaungkan di masjid dan surau sebagai seruan solat bagi umat Islam.

Mungkin banyak orang yang jarang-jarang melihat fajar. Fajar ialah cahaya yang mula-mula muncul atau kelihatan pada waktu awal pagi di ufuk timur. Fajar diibaratkan sebagai cahaya pembelah langit. Malam yang pada asalnya gelap mula bercahaya suram dengan kemunculan fajar kemudian beransur-ansur menjadi terang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Astronomi

JEREBU FENOMENA TAHUNAN

Jerebu yang berlaku pada tahun 2015 ini mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) mencecah 2000 di Palangkaraya, wilayah Kalimantan Tengah pada pukul 2.00 petang, pada 25 September 2015. Keadaan ini menyebabkan darurat terpaksa diisytiharkan oleh pihak berkuasa tempatan. Tindakan yang sama juga dilakukan di wilayah Riau.

Pada bulan September hingga Oktober 2015 ini juga, kejadian kebakaran hutan paya gambut di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan hampir sebahagian besar ruang udara Malaysia dan Singapura berselimut jerebu. Fenomena El Niño dan ribut siklon tropika yang saling berkait menjadi punca kejadian jerebu pada kali ini.

Pelbagai kesan berlaku disebabkan oleh jerebu. Daripada masalah kesihatan sehinggalah masalah cuti kecemasan yang terpaksa dimohon oleh ibu bapa yang anaknya terlibat dengan penutupan sekolah selama beberapa kali. Hal ini berlaku apabila anak ketiadaan penjaga pada waktu siang.

Pada hakikatnya, jerebu bukanlah fenomena yang baru berlaku pada tahun ini. Jerebu berlaku sejak dahulu lagi. Malah, ada penyelidik yang menyatakan bahawa jerebu berlaku sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Apabila pedagang melintasi selat Melaka pada waktu itu, fenomena jerebu telah berlaku. Hal ini membuktikan bahawa jerebu bukan fenomena baru.

Dalam usaha menangani masalah jerebu, pelan tindakan yang berkesan pelu diwujudkan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebakaran hutan yang berlaku pada masa ini tidak difokuskan pada pencegahan, sebaliknya pada usaha melawan dan memadamkan kebakaran hutan. Sebagai contohnya, kebanyakan negara hanya bertindak apabila kebakaran melepasi had keluasan minimum yang ditetapkan. Dalam kes kebakaran hutan paya gambut, usaha pemadaman kebakaran ialah suatu yang terlewat dan melibatkan kos yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang.

Oleh sebab itu, dapat dikatakan bahawa jerebu merentas sempadan bakal menjadi upacara tahunan bagi rakyat Malaysia, Indonesia dan Singapura jika langkah proaktif bagi pencegahan kebakaran hutan gambut tidak dilakukan. Segala aktiviti yang dapat meningkatkan risiko kebakaran hutan paya gambut perlu dicegah sepenuhnya, terutamanya pada musim panas dan kering.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor

VATICA YEECHONGII SPESIES TERANCAM

Hutan Lipur Sungai Tekala terletak di kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang, daerah Kajang, Selangor, iaitu 13 km dari bandar Semenyih dan 43 km dari Kuala Lumpur. Keluasan kawasan ini melebihi dua setengah ekar. Ada tujuh tingkat air terjun yang mengalir dari puncak hingga kawasan rendah di bahagian bawahnya. Hutan Lipur Sungai Tekala diwartakan oleh Kerajaan Selangor sebagai kawasan tadahan air. Hal ini dilakukan supaya sumber air bersih dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

Di samping itu, Hutan Lipur Sungai Tekala juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor. Hutan ini termasuk dalam kumpulan hutan dipterokarpa pamah, iaitu hutan yang wujud pada ketinggian tidak melebihi 300 meter daripada aras laut dan mempunyai bilangan pokok yang padat.

Ada pelbagai spesies tumbuhan di kawasan ini yang terdiri daripada pelbagai keluarga serta menghiasi landskap hutan lipur ini. Antaranya termasuklah spesies kasai, kedondong, medang, kelat, mahang, merbau, ara, gapis, merbau, leban, bayur bukit, penarahan, merawan, meranti, keruing dan resak.

Antara spesies pokok yang ditemukan di kawasan hutan rekreasi ini, ada satu tumbuhan yang unik dan sangat menarik menghiasi landskapnya. Tumbuhan ini ialah Vatica yeechongii, yang berada dalam keluarga Dipterokarpa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2015 – Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menganjurkan program Bicara ANGKASA bersama-sama Profesor Ulung Negara 2014, Profesor Datuk Dr. Harith Ahmad, untuk berkongsi maklumat terkini dalam bidang fotonik.

Fotonik ialah aplikasi sains cahaya yang digunakan untuk menjanakan, mengawal dan mengesan foton, iaitu kuantiti zarah yang membentuk unit asas cahaya dan semua bentuk sinaran elektromagnet. Ciri gelombang dan foton dapat digunakan dalam pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah penerokaan alam semesta, teknologi rawatan, telekomunikasi dan forensik. Dalam masa yang sama, ahli sains mengkaji cahaya dalam tempoh beratus-ratus tahun.

Program ini disertai oleh 200 peserta yang terdiri daripada pelajar universiti, ahli akademik dan pemain industri tempatan. Menerusi program yang dianjurkan ini, kesedaran rakyat dapat ditingkatkan, seterusnya satu lagi bidang yang dapat diteroka dalam bidang sains fizik tempatan dapat dikembangkan.

Selain itu, pelibatan pihak swasta dan universiti juga penting supaya ruang dan peluang untuk orang awam menceburkan diri dalam bidang fotonik diperoleh dengan lebih luas dan terbuka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

KEUNIKAN BUNGA RAFFLESIA

Bunga Rafflesia tidak asing dalam kalangan ahli botani di seluruh dunia. Bunga ini juga dikenali sebagai antara bunga yang paling berharga yang ada di dunia. Bunga Rafflesia ialah tumbuhan berbunga tunggal yang terbesar di dunia dan hanya dapat ditemukan di beberapa tempat di dunia ini.

Bunga Rafflesia diperkenalkan dalam dunia saintifik oleh Sir Stamford Raffles (Gabenor Syarikat India Timur), Lady Sophia Raffles dan Dr. Joseph Arnold (naturalis dan ahli fizik) apabila bunga ini ditemukan pertama kali pada tahun 1818 di Bengkulu, Sumatera, Indonesia.

Bunga yang ditemukan ini dikenali sebagai Rafflesia arnoldii, iaitu bersempena dengan nama penemunya. Tumbuhan ini dikatakan sebagai antara tumbuhan yang paling unik yang ada di dunia. Tumbuhan ini juga hanya dapat ditemukan di kawasan hutan hujan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand. Hutan hujan tropika ialah kediaman pelbagai jenis tumbuhan menarik untuk dikaji selidik, selain menjadi tatapan pelancong.

Bunga Rafflesia ialah tumbuhan parasit yang hidup menumpang di pokok lain. Hal ini bermakna makanan dan nutrien tumbuhan ini diperoleh daripada perumahnya. Dari segi fizikal, bunga ini tidak mempunyai daun dan klorofil yang biasanya digunakan oleh kebanyakan tumbuhan untuk proses fotosintesis bagi penghasilan makanan. Bunga Rafflesia juga tidak berakar untuk tujuan penyerapan air.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

ALKOHOL PEROSAK HATI

Arak yang beralkohol dapat menyebabkan kerosakan pada badan, sama ada pada fizikal
atau fikiran. Antara kerosakan fizikal yang boleh berlaku termasuklah kerosakan hati,
iaitu hati berlemak, hepatitis dan sirosis. Kerosakan ini boleh berlaku pada masa dan orang yang sama.

Masalah ini tidak mungkin dialami, jika arak tidak minum. Bagi semua jenis
penyakit hati yang disebabkan oleh alkohol, rawatan utamanya adalah dengan berhenti
minum arak sepenuhnya.

Apabila arak diminum, alkohol terserap ke dalam aliran darah daripada perut dan usus. Semua darah daripada perut dan usus terlebih dahulu melalui hati sebelum beredar ke seluruh badan. Oleh sebab itu, kepekatan tertinggi alkohol ada di dalam darah yang
mengalir ke hati. Sel hati mengandungi enzim atau bahan kimia yang terlibat dalam
pemprosesan alkohol. Alkohol ini dipecahkan dalam bentuk bahan kimia yang lain, seterusnya terurai dalam bentuk air dan karbon dioksida. Bahan ini tersalur keluar melalui air kencing dan daripada paru-paru. Oleh sebab itu, dalam tempoh sejam, alkohol diminum dalam jumlah yang banyak, dalam masa yang singkat, kepekatan alkohol di dalam aliran darah meningkat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

MARI ATASI ASMA

Penyakit asma ialah penyakit yang dapat dirawat dengan mudahnya, jika rawatan yang segera diberikan. Rawatan asma memerlukan kerjasama yang erat antara pesakit dengan doktor. Bagi membolehkan masyarakat tahu akan cara mengatasi asma, buku Gaya Hidup Sihat Mengatasi Asma diterbitkan.

Pemantauan yang berterusan oleh doktor sangat penting untuk mencapai kawalan asma yang baik. Penghidap juga perlu mempunyai pengetahuan yang berkaitan dengan penyakit asma untuk membantu penghidap menilai dan membezakan kawalan tahap kawalan asma yang berbeza-beza. Asma yang tidak terkawal menyebabkan kualiti hidup yang rendah dan meningkatkan risiko kematian.

Asma dikenali sebagai semput atau lelah. Pada hakikatnya, asma sejenis penyakit kronik yang berkaitan dengan sistem pernafasan manusia. Salur pernafasan ialah satu daripada organ tubuh penting yang berfungsi untuk membawa udara masuk dan keluar daripada paru-paru.

Apabila serangan asma berlaku, nafas menjadi sesak dan penghidapnya berasa kurang selesa pada bahagian dada. Kematian yang disebabkan oleh asma berlaku tanpa mengira umur, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Hal ini menggambarkan bahawa asma tidak sepatutnya dipandang ringan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

APLIKASI KAEDAH SINTESIS TEMPLAT

Pada waktu ini, Malaysia melonjak ke arah revolusi teknologi nano. Hal ini bermakna pada tahun 2020, penghasilan produk berasaskan teknologi termaju ini dapat diaplikasikan secara meluas dalam pelbagai bidang. Sebenarnya, idea teknologi nano ini diutarakan lebih daripada 50 tahun yang lalu oleh ahli sains dan pemenang hadiah Nobel, iaitu Richard P. Feynman.

Dalam persidangan ahli Persatuan Fizik Amerika pada tahun 1959, Richard P. Feynman menyampaikan syarahan yang bertajuk “There’s Plenty of Room at the Bottom”, (masih banyak ruang yang belum diteroka dalam skala kecil). Dalam syarahan ini, beliau mencadangkan bidang baharu bagi pemanipulasian unit terkecil bagi suatu bahan, iaitu atom. Peristiwa ini menjadi titik permulaan bagi perbincangan saintifik pertama dalam teknologi nano.

Perkataan teknologi nano dapat didefinisikan sebagai kajian dan fabrikasi bahan, alat atau peranti pada saiz nano (halus atau kecil) bagi kegunaan atau manfaat manusia sejagat. Teknologi ini dilihat dapat menjanjikan penerokaan yang cukup berpotensi tinggi. Hal ini termasuklah daripada komputer yang menyaingi kuasa pemprosesan otak manusia, komunikasi dan storan data hinggalah motor molekular, peranti selular dan ubat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.