MERENUNGI KEBESARAN TUHAN

Selagi ada bulan dan bintang, setiap penghuni dunia berpeluang menikmati fenomena kejadian di langit dan di bumi, serta merasai aturan siang dan malam tanpa henti. Oleh hal yang demikian, pada 9 Mac 2016 yang lalu, dunia sekali lagi berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari termasuklah Malaysia. Fenomena gerhana matahari ini dikenali sebagai gerhana matahari separa.

Seperti yang diketahui umum, terdapat dua jenis gerhana yang berlaku, iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Hasil cerapan dan kajian oleh ahli falak, kejadian gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dengan bulan semasa bulan berada dalam fasa purnama. Gerhana matahari pula berlaku apabila bulan berada di antara bumi dengan matahari dan keadaan ini berlaku apabila bulan berada pada fasa baharu.

Gerhana merupakan fenomena alam yang menakjubkan yang boleh dilihat dari permukaan bumi. Fenomena gerhana ini memberikan pengalaman yang sangat menarik kepada penduduk bumi, dalam kalangan amatur mahupun profesional astronomi. Bayangkan bagaimanakah perasaan anda apabila melihat cahaya matahari yang bersinar beransur-ansur sirna dan cahaya siang bertukar seolah-olah seperti malam.

___

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Kosmik keluaran Mei 2016)

Posted in: Daripada Editor