LANGIT BERWARNA BIRU?

Pada setiap hari, siang dan malam silih berganti tanpa henti.Menerusi perubahan siang dan malam ini, dapat disaksikanperubahan pada warna langit dengan pandangan mata kasar.Yang paling ketara ialah langit sering kelihatan berwarna biruketika cuaca cerah pada waktu siang. Pada waktu hampirmalam pula sinar matahari mula berkurang dan warna langitberubah menjadi kemerah-merahan.
Semua fenomena yang berlaku ini berkaitan dengan ilmu optik, iaitu satu daripada cabang fizik yang mengkaji konsep cahaya atau sinar. Lebih tepat lagi, fenomena ini dapat dijelaskan menerusi proses pengutuban cahaya
atau pengutuban sinar elektromagnet yang terhasil disebabkan oleh serakan Rayleigh.
Serakan Rayleigh ialah satu daripada faktor yang menyumbang pengutuban cahaya. Hal ini sama seperti fenomena pantulan yang berlaku apabila cahaya bergerak melalui dua medium yang berbeza-beza. Fenomena ini dikenali sempena nama ahli fizik Britain, Lord Rayleigh atau John William Strutt.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

KONKRIT TANPA SIMEN

Konkrit sejenis bahan komposit yang sering digunakandalam industri pembinaan. Berdasarkan Kamus Dewan,konkrit ialah campuran antara batu kelikir dengan simen,termasuklah pasir, yang digunakan dalam industri pembinaan.
Bagi menghasilkan konkrit, bahan utamanya, iaitu simen, dicampurkan dengan pasir, batu baur halus dan kasar, serta air dalam komposisi tertentu. Penggunaan konkrit dalam industri pembinaan sangat meluas. Antaranya termasuklah sebagai bahan buatan untuk laluan pejalan kaki, struktur bangunan, jalan raya dan dinding batu bata.
Industri pembinaan ialah industri yang sangat penting dalam pembangunan negara. Berdasarkan statistik yang dikelurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sektor pembinaan menyumbang sebanyak RM108.29 bilion kepada Keluaran dalam Negara kasar (KDNK) negara pada tahun 2013.
Menurut Perdana menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, ketika membentangkan Rancangan Malaysia
ke-11 (RMK11), sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar 10.3 % setahun dan menyumbang sebanyak RM327 bilion atau 5.5 % kepada KDNK menjelang tahun 2020.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

MAKANAN ASAS KESIHATAN

Manusia perlu menjaga kesihatan diri dan keluarga bagimemperoleh kekuatan menyeluruh. Penjagaan pemakanan,terutamanya makanan yang menjadi asas kesihatan, ialahkeutamaan bagi semua individu. Usaha ini penting bagimengelakkan pelbagai penyakit kronik dan berbahaya. Olehsebab itu, pemakanan perlu dijaga dan dikawal pada setiap hari.
Pengambilan makanan perlu dilakukan secara sederhana dan dikawal bagi mengelakkan penyakit berbahaya yang dapat memudaratkan diri. Pengambilan buah dan sayur segar pula perlu dilebihkan. Di samping itu, pengambilan makanan perlu dihentikan sebelum kenyang. Hal ini memberikan kebaikan kepada sistem pencernaan tubuh dan kesihatan, seterusnya dapat mengelakkan obesiti. Berdasarkan kajian juga makanan ialah asas pelbagai penyakit.
Obesiti menjadi penyebab bagi penyakit kronik, seperti sakit jantung, diabetes, sakit lutut, pernafasan terhenti sewaktu tidur (apnea tidur), strok, kanser dan gout. Antara penyakit kronik yang sering dihidapi pula termasuklah penyakit darah tinggi, kardiovaskular, hipertensi, diabetes, kanser payu dara dan kanser testis. Semua penyakit ini dikatakan berpunca daripada amalan gaya hidup yang kurang sihat dan pemakanan yang tidak seimbang, terutamanya apabila pengambilan sayur dan buah, kurang.
Berdasarkan laporan penyelidikan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tahun 2000 hingga 2002 dan beberapa tahun belakangan ini, didapati bahawa berlaku peningkatan penyakit kronik dalam kalangan penduduk Malaysia dan dunia.
Pada tahun 2012, WHO mengunjurkan sebanyak 14.1 juta kes baharu penyakit kanser di seluruh dunia. Kematian yang disebabkan oleh penyakit ini pula dianggarkan sebanyak 8.2 juta orang. Rokok juga menjadi penyebab bagi pelbagai penyakit berbahaya. Berdasarkan kajian lagi, lebih 50 peratus lelaki Melayu di Malaysia merokok manakala lebih 30 peratus rakyat Malaysia dikategorikan sebagai obesiti.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

URINALISIS DIAGNOSIS PENYAKIT

Ujian urinalisis dalam makmal perubatan melibatkan ujianfizikal, kimia dan mikroskopik yang dilakukan pada sampelurin. Ujian yang melibatkan analisis pada sampel urin ialah ujiansaringan, ujian pengesanan dadah dan ujian kehamilan.
Ujian pemeriksaan penuh mikroskopi urin (UFEME) ialah ujian yang dilakukan pada pesakit dalam dan pesakit luar untuk menyaring penyakit yang mungkin berlaku disebabkan oleh gangguan pada sistem salur kencing.
Sebarang perubahan pada fisiologi badan yang disebabkan oleh serangan penyakit mungkin menyebabkan perubahan komponen yang ada dalam urin. Sebagai contohnya, kandungan glukosa tinggi dalam urin pesakit diabetes melitus. Urin pertengahan diperlukan dalam ujian ini, iaitu ketika pengumpulan urin pertengahan. Pesakit harus mengabaikan urin pada bahagian awal dan bahagian akhir ketika pengumpulan urin. Hal ini mengurangkan risiko sampel dicemari oleh bakteria yang mungkin hadir di sekitar uretra (tubul yang membawa urin keluar daripada badan).
Sampel urin ini harus dianalisis dalam tempoh dua jam setelah dikumpulkan. Jika tidak dilakukan serta merta, urin perlu disejukkan pada suhu 4 oC.
Bahan pengawet digunakan bagi mengelakkan perubahan metabolik pada analit dalam sampel urin dan membantutkan perkembangan bakteria. Antara bahan yang digunakan termasuklah asid borik dan formaldehid.
Berdasarkan NCCLS pada dokumen GP16-A3, dicadangkan bahawa sampel disimpan pada suhu sejuk berbanding dengan penggunaan bahan kimia sebagai pengawet bagi mengelakkan bahan ini bertindak balas dengan sel yang hadir dalam sampel urin.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Perubatan

PUKULAN DALAM SUKAN BADMINTON

Trajektori penerbangan bulu tangkis berbeza daripada bolayang digunakan dalam sukan beraket yang lain. Hal inidikatakan demikian kerana bulu tangkis mempunyai strukturyang istimewa. Struktur ini menyebabkan gerakan bulu tangkistidak simetri. Secara amnya, trajektori penerbangan bulutangkis agak condong dan menyebabkan bulu tangkis jatuhdalam keadaan sudut yang curam.
Secara amnya, trajektori pukulan kuat ialah penentu kemenangan dalam sukan badminton. Pukulan kuat ini ialah pukulan yang menyerang pihak lawan. Secara amnya, ada dua jenis pukulan kuat, iaitu pukulan kuat dan pukulan kuat lompatan. Secara biasanya lagi, kelajuan bulu tangkis yang dipukul menerusi pukulan kuat lompatan menghasilkan kelajuan yang lebih tinggi.
Pukulan kuat pula ialah pukulan pada bola tangkis yang diarahkan ke bawah dan dapat menghasilkan pukulan tajam atau pukulan flet. Secara lazimnya, pukulan flet dapat digunakan untuk mengenakan bulu tangkis ke ruang dada pihak lawan.
Pemain Malaysia, Tan Boon Heong berjaya mencatatkan pukulan kuat dengan kelajuan 421 km/j dan memecahkan rekod pemain badminton dari negara China, Fu Hai Feng (332 km/j pada 26 Februari 2010). Pada 28 Julai 2013, Tan Boon Heong sekali lagi memecah rekod sendiri dengan kelajuan 493 km/j ketika beliau dijemput oleh syarikat sukan untuk menilai kualiti raket terbaharu syarikat sukan itu.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

MARIKH BERGERAK SONGSANG

Mungkin ada yang pernah menerima khidmat pesanan ringkas tentang planet Marikh yang mengalami gerakan ke belakang atau menyongsang, seterusnya menyebabkan Matahari yang terbit di timur bertukar terbit di Barat. Ada juga pihak yang menyatakan bahawa planet Marikh berhenti bergerak dan berpatah balik untuk bergerak ke belakang. Pihak ini juga mendakwa bahawa pekara yang sama dapat berlaku kepada Bumi.

Gerakan songsang ialah gerakan ketara atau gerakan ilusi planet dari arah yang bertentangan atau menyongsang dari arah planet atau jasad lain dalam sistem suria jika dilihat daripada titik pandang tertentu, seperti dari Bumi dalam tempoh tertentu. Gerakan songsang berlaku antara Bumi dengan planet luaran. Jika dilihat dari Bumi, planet luaran, seperti Marikh seolah-olah bergerak menyongsang atau berundur.

Dalam tempoh tertentu, jika dilihat dari Bumi, semua planet luaran, asteroid dan jasad lain yang berada di luar orbit Bumi mengalami gerakan songsang secara berkala ketika melintasi langit. Sebagai contohnya, dalam tempoh bulan April 2016 hingga Jun 2016, planet Marikh kelihatan bergerak menyongsang atau berundur apabila dilihat dari Bumi.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Astronomi

BUMI BERGERAK SONGSANG

Kiamat dan kehancuran Bumi ialah isu yang sering didebatkan. Isu ini tidak pernah terhenti hinggalah kiamat benar-benar berlaku. Pelbagai tanda besar dan tanda kecil kiamat cuba dibuktikan menerusi kajian sains dengan bantuan pelbagai peralatan canggih.
Dalam hal ini, ada tanda yang benar-benar dapat dibuktikan dan ada tanda yang sukar dibuktikan kerana melampaui tahap pemikiran dan keupayaan manusia. Namun begitu, ahli sains sentiasa teruja dan tidak pernah berputus asa serta berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama yang dapat membuktikan isu ini.
Antara tanda kiamat ini termasuklah Matahari terbit dari barat. Apabila Marikh dilihat terbit dari barat dan tenggelam di timur, masyarakat menganggap bahawa hal yang sama dapat berlaku kepada Matahari. Hal ini mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat kerana menganggap bahawa kiamat hampir berlaku. Walaupun tidak dinafikan bahawa kiamat memang hampir berlaku berlandaskan hadis nabi, maksud hampir ini tidak dapat ditafsirkan dengan tepatnya berdasarkan hitungan masa manusia.
Fenomena Marikh bergerak songsang ini bukanlah tanda bahawa Matahari akan terbit dari barat. Hal ini dikatakan demikian kerana Marikh tidak pernah dan tidak bergerak songsang. Sebaliknya, Marikh mengorbit Matahari pada laluannya ke arah hadapan. Yang sebenarnya, Marikh hanya dilihat bergerak songsang dan bukannya benar-benar bergerak songsang. Hal ini dapat dijelaskan menerusi ilusi optik dan gerakan songsang.
Selain Marikh, planet lain, iaitu Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun juga dilihat bergerak songsang. Musytari dilihat bergerak songsang dalam tempoh 121 hari pada setiap 13.1 bulan. Zuhal dilihat bergerak songsang dalam tempoh 138 hari pada setiap 12.4 bulan. Uranus dilihat bergerak songsang dalam tempoh 151 hari pada setiap 12.15 bulan. Neptun dilihat bergerak songsang dalam tempoh 158 hari pada setiap 12.07 bulan.
Berdasarkan kefahaman terhadap gerakan songsang ini, Bumi juga dikatakan dilihat bergerak songsang dari dahulu lagi. Namun begitu, tiada sesiapa yang pernah melihatnya melainkan seseorang itu perlu berada di Utarid dan Zuhrah untuk melihat Bumi bergerak songsang. Persoalannya, berpeluangkah manusia ke Utarid dan Zuhrah untuk melihat fenomena ini?

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM