GIGIT KUKU GANGGUAN PSIKOLOGI

Setiap manusia ada tabiat yang tersendiri sejak kecil lagi.Antara tabiat ini termasuklah menggigit jari. Secara lazimnya, tabiat ini dilakukan secara berulang-ulang tanpadisedari. Secara biasanya pula yang dikatakan sebagai tabiatmenggigit kuku ini termasuklah menggigit kulit luar kuku, tisulembut di keliling kuku dan menggigit kuku.
Tabiat menggigit kuku juga dikenali sebagai onikofagia atau onikopagi. Tabiat ini tabiat yang buruk dan memudaratkan kesihatan. Dari sudut psikologi kelakuan ini menjadi kebiasaan bagi orang yang ingin melegakan ketegangan diri. Orang yang menggigit kuku selalunya melakukan perbuatan ini apabila berasa gembira, bosan, bimbang, cemas, tertekan atau menjadi kebiasaan sejak kecil. Kelakuan ini juga turut dikaitkan dengan gen atau keturunan.
Berdasarkan kajian psikologi, tabiat menggigit kuku biasanya dibahagikan kepada beberapa kategori usia. Kategori pertama usia antara tiga hingga enam tahun (23 %). Kategori kedua usia antara tujuh hingga 10 tahun (33 %). Kategori ketiga, iaitu remaja (45 %). Kategori keempat, iaitu orang dewasa muda (19 % hingga 29 %). Kategori kelima, orang dewasa tua (59 %). Tabiat ini paling kerap berlaku selepas akil baligh dan berkurang setelah dewasa.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

PELBAGAI KAEDAH MERANCANG KELUARGA

Buah bidara turut digunakan untukmerawat luka kecil dan ulser. Bahagianlain pohon bidara, terutamanya buahdandaunnya, menghasilkan banyak sebatiankimia setelah diekstrak.
Kaedah merancang keluarga dapat mencegah kehamilan dengan menghalang proses persenyawaan atau melambatkan percantuman antara sperma dengan telur (ovum). Pemilihan kaedah merancang keluarga yang terbaik bergantung pada beberapa faktor, seperti tahap kesihatan wanita, umur wanita, kekerapan hubungan seks dan kehendak pasangan suami isteri untuk mendapatkan anak.
Kaedah merancang keluarga yang dipilih mungkin berubah dari semasa ke semasa. Antara faktor yang menentukan pilihan kaedah ini termasuklah kesesuaian dengan cara hidup pasangan suami isteri, keberkesanan kaedah, ciri
keselamatan dan kemampuan untuk mengamalkan kaedah ini.
Ada juga kaedah merancang keluarga yang tidak menggunakan sebarang ubat dan peranti, iaitu menerusi kaedah semula jadi. Antaranya termasuklah penyusuan ibu secara eksklusif, kaedah azal, iaitu mengeluarkan air mani di luar faraj, dan tidak melakukan hubungan seks pada waktu subur.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

KHASIAT POHON BIDARA

Pada zaman dahulu, banyak pokok yang tumbuh secarasemula jadi di keliling kampung sering dijadikan sebagaisumber keperluan dalam kehidupan seharian. Antara pokok initermasuklah pokok kelapa, pokok kantan dan pohon bidara.
Pohon bidara selalu digunakan sebagai bahan untuk memandikan jenazah orang Islam. Pohon bidara mudah ditemukan di sekitar masjid atau surau di kampung. Pokok ini ditanam untuk memudahkan tukang mandi jenazah mendapatkan sumber daun pohon bidara. Pohon bidara sama seperti pokok lain yang ada di Malaysia, iaitu pohon malar hijau yang hidup pada sepanjang tahun dengan ketinggian mencapai 15 meter.
Pokok ini rendang dan mempunyai duri halus pada hujung pangkal daun. Pohon bidara mampu membesar dalam tempoh yang cepat. Di utara Australia, pohon bidara dianggap sebagai tumbuhan perosak kerana mudah tumbuh dan membesar, seterusnya menjadi pesaing kepada pokok asal di Australia.
Pohon bidara digunakan sejak dahulu, terutamanya untuk memandikan jenazah. Secara biasanya, setelah badan jenazah disucikan daripada segala kotoran, jenazah mula dimandikan sebanyak tiga kali. Air mandian pertama menggunakan air daun pohon bidara.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

HELANG SIKAP SUKA BERSEMBUNYI

Helang sikap (Accipiter trivirgatus) atau Crested Goshawkialah satu daripada spesies helang bertubuh kecil yang mudah ditemukan di kawasan kampung, dusun buah dan pinggirhutan. Spesies ini digolongkan dalam keluarga Accipitridae.
Warna bulu kepak helang sikap ialah coklat kemerah-merahan, manakala bulu pada bahagian perutnya berlorek putih dan berwarna coklat. Bulu pada bahagian kepalanya berwarna kelabu gelap. Panjang keseluruhannya antara 40 sentimeter hingga 46 sentimeter dan beratnya antara 224 gram hingga 450 gram.
Helang sikap mempunyai jambul kecil pada bahagian belakang kepalanya. Matanya berwarna kuning, manakala anak matanya berwarna hitam. Paruhnya tajam dan bahagian hujung paruh atasnya pula membengkok ke bawah. Kukunya yang tajam membolehkannya mencengkam mangsa dengan kuatnya.
Apabila terbang, helang sikap seperti meluncur di udara. Ada kalanya, burung ini terbang dengan meniru atau membuat “mimik” burung tekukur, iaitu mengepak-ngepakkan sayapnya seolah-olah berlabuh di udara ketika terbang dan kemudian meluncur laju ke destinasinya.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

DODDER TUMBUHAN PARASIT UNIK

Dodder ialah sekumpulan tumbuhan melilit yang tumbuh dan tersebar luas dari kawasan beriklim tropika hinggakawasan beriklim sederhana. Berbeza daripada kebanyakan tumbuhan, dodder tidak mempunyai akar dan daun yang nyata. Seluruh tumbuhan ini hanya terdiri daripada batang lampai lemah yang dikenali sebagai stolon yang berwarna kuning-kekuningan, dan kelihatan seperti tali atau mi spageti.

Dodder ialah gelaran umum untuk tumbuhan parasit daripada genus Cuscuta, Grammica dan Cassytha. Cuscuta dan Grammica masing-masing ialah dodder kuning yang berasal daripada keluarga bunga seri pagi, Convolvulaceae (dahulu dalam keluarga sendiri, iaitu Cuscutaceae), sementara Cassytha ialah dodder hijau daripada keluarga pokok kayu manis, Lauraceae.

Kini, ahli sains masih belum berjaya mengelaskan tumbuhan dodder disebabkan oleh sifat luarannya yang terlalu ringkas. Struktur bunga ialah satu-satunya ciri yang dijadikan sebagai asas untuk mengelaskan lebih daripada 170 spesies dodder.

Spesies dodder yang ada di Malaysia ialah dodder kuning (Cuscuta campestris) dan dodder hijau (Cassytha filiformis). Secara lazimnya, Cuscuta didapati terhampar di belukar terbuka dengan sulur berjurai-jurai, manakala Cassytha pula didapati terjuntai pada ranting pokok atau merayap di celah semak di kawasan yang berhampiran dengan pantai laut. Antara nama tempatan untuk dodder termasuklah tali puteri, rambut puteri, emas-emasan, cemar batu, cemar hantu, sangga langit, daun tali-tali dan pangkal mati pucuk hidup.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

MALAYSIA BEBAS RABIES

Pada 27 Julai 2015, berlaku kes gigitan anjing di Perlis. Setelah itu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diwartakan sebagai kawasan yang dijangkiti rabies (penyakit anjing gila). Kemunculan semula penyakit ini setelah tidak berlaku sejak 15 tahun yang lalu memberikan cabaran baharu kepada pihak berwajib.

Tindakan memusnahkan anjing yang berkeliaran oleh pihak berkuasa sebagai langkah untuk membendung wabak ini mencetuskan tentangan daripada kumpulan pencinta haiwan dan situasi panik dalam kalangan pemilik anjing kesayangan yang menjurus kepada peningkatan kes buang anjing, pembatalan program haiwan dan pembelian panik vaksin pencegah rabies, bukan sahaja di kawasan yang dijangkiti, tetapi juga di tempat lain.

Rabies ialah penyakit penyebab kematian yang disebabkan oleh virus yang biasanya dibawa oleh anjing dan dapat menjangkiti manusia, kucing, lembu dan kerbau.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), lebih daripada 1.4 bilion penduduk di wilayah 11 negara, iaitu Bangladesh, Bhutan, Korea Utara, India, Indonesia, Maldive, Myanmar, Nepal, Sri Langka, Thailand dan Timor Leste, berisiko dijangkiti rabies. Pada setiap tahun, dianggarkan antara 23 ribu hingga 25 ribu orang di wilayah ini mati disebabkan oleh rabies.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

DIMENSI RUANG MASA

Pada zaman moden ini, masih banyak orang yang tidakmengetahui dunia empat dimensi. Dunia empat dimensimungkin popular dalam cerita khayalan atau fiksyen sains. Teorirelativiti yang diketengahkan oleh Albert Einstein pada tahun1916 juga bersandarkan empat dimensi ruang-masa.
Albert Einstein tidak menggunakan kata ruang dan masa, tetapi ruangmasa kerana mencantumkan satu perkara sahaja dalam teori ini, iaitu relativiti umum. Pada tahun 2016, usia teori ini genap 100 tahun. Pada 11 Februari 2016, ahli sains LIGO Amerika mengumumkan penemuan gelombang graviti. Gelombang ini dikesan pada 14 September 2015 (LIGO ialah nama alat pengesan ini dan berukuran empat kilometer panjang dan berbentuk huruf L).
Gelombang graviti juga dikenali sebagai gelombang ruang-masa. Cantuman dimensi ruang dan masa ini membentuk gelombang yang merambat di seluruh alam semester. Tempoh gelombang empat dimensi ini merambat
adalah lebih kurang 1.3 bilion tahun cahaya.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

NEBULA LAGOON

Langit pada waktu malam dihiasi oleh objek dan fenomena langit yang menarik yang dapat dilihat menerusi pandangan kasar, seperti Bulan, planet, buruj dan bintang. Fenomena lintasan meteor pada waktu malam menjadikan langit makin indah dipandang. Hal ini memberikan ketenangan bagi orang yang melihat langit pada waktu malam.

Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya, Hikmat Penciptaan Alam Semesta, antara kelebihan melihat langit adalah untuk memberikan ketenangan jiwa kepada pemerhatinya. Selain pandangan kasar, ada objek samawi yang dapat dilihat dengan menggunakan alat optik, seperti binokular dan teleskop.

Dengan alat ini objek samawi yang berada jauh, seperti nebula, kluster bintang dan galaksi, dapat dilihat. Hal ini menakjubkan orang yang melihatnya. Pandangan yang menakjubkan ini membuktikan kehebatan pencipta alam semesta.

Antara objek di langit jauh yang dapat dicerap pada bulan Oktober termasuklah nebula Lagoon. Nebula ini mula ditemukan pada tahun 1654 oleh ahli astronomi Itali, Giovanni Hodierna (1597 hingga 1660). Nebula ini dapat dilihat menerusi pandangan kasar. Di langit, pada waktu malam yang terang dan tidak berawan, nebula ini kelihatan seperti satu tompok cahaya kecil yang malap. Jika teleskop kecil digunakan, bentuk nebula ini kelihatan lebih jelas. Nebula Lagoon dapat dilihat pada bulan Oktober ini di langit selatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Astronomi

DIMENSI KEEMPAT DALAM FIZIK

Fizik ialah mata pelajaran yang sukar digambarkan. Walaupun mata pelajaran ini dipelajari, tidak semua orang yang mampu memahaminya, apatah lagi mampu berimaginasi dengan konsep dan teori yang sering memeningkan kepala. Satu daripada konsep yang dikemukakan dalam fizik yang sangat sukar digambarkan hingga hari ini ialah dunia empat dimensi.
Orang yang mampu menguasai mata pelajaran fizik dianggap sebagai orang yang genius dan memiliki kecerdikan luar biasa berbanding dengan orang biasa. Hal ini berbeza daripada orang yang mempelajari mata pelajaran biologi yang lebih mudah dilihat dan digambarkan. Dengan terciptanya pelbagai alat, seperti mikroskop elektron, dunia biologi dapat diterokai dengan mudahnya.
Dunia fizik kekal misteri walaupun banyak pengkaji cuba merungkai dan memberikan 1001 jawapan terhadap persoalan dalam fizik. Jawapan yang pelbagai ini mencambahkan lagi idea pemikiran dan teori baharu yang berguna untuk memahami fizik sedikit demi sedikit. Setiap hujah dan jawapan ini tetap dibincangkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa yang akhirnya menjurus kepada satu jawapan yang jitu dan pasti.
Dunia empat dimensi tidak terlepas daripada perbincangan oleh ahli fizik. Jika sekadar dunia tiga dimensi, manusia telah biasa dan memakluminya. Mungkin, ada orang yang menafikan kewujudan dimensi keempat kerana bentuk tiga dimensi ialah bentuk terakhir yang dapat dilihat dengan nyata menggunakan mata. Malah, bentuk tiga dimensi dilihat seolah-olah suatu bentuk yang lengkap dan tidak ada lagi dimensi lain di baliknya.
Semua ini ialah keunikan dunia fizik. Dengan akal yang diberikan oleh Allah, suatu yang tidak dapat dilihat pada asalnya dapat digambarkan dalam mata pelajaran fizik, seterusnya dizahirkan pada pandangan mata.
Walau apa-apa pun, ahli fizik pasti tidak berhenti mengkaji hal ini. Kajian tetap diteruskan. Apabila seorang ahli fizik meninggal dunia, penggantinya akan menyambung kajian yang ditinggalkan. Begitu jugalah dengan Albert Einstein yang meninggalkan teori relativitinya kepada pengkaji selepasnya untuk memberikan jawapan terbaik bagi dunia empat dimensi.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor