REVOLUSI PENJAGAAN PENYAKIT

Dahulu, rawatan kejururawatan untuk penjagaan penyakit yang kronik hanya didapati di hospital. Kini, rawatan kejururawatan boleh didapati di rumah atau lebih dikenali sebagai penjagaan pesakit di rumah. Penjagaan pesakit di rumah sesuatu yang baru di Malaysia. Dalam hal ini jururawat yang bertauliah memberikan rawatan kepada pesakit di rumah.

Khidmat ini ialah alternatif bagi orang yang menginginkan rawatan di rumah, selain rawatan di hospital. Sehingga kini, di Malaysia, lebih kurang hampir 20 perkhidmatan penjagaan pesakit di rumah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Kini keperluan masyarakat dan minat jururawat muda terhadap perkhidmatan kejururawatan di rumah makin meningkat. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya termasuklah peningkatan pengetahuan umum masyarakat dalam bidang perubatan.

Pelbagai jenis rawatan di hospital dapat dilakukan di rumah dengan kehadiran jururawat. Secara biasanya, perkhidmatan kejururawatan di rumah lebih menjimatkan kos dan berkesan seperti rawatan di hospital atau rumah penjagaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

ANCAMAN ZIKA DALAM POPULASI TERDEDAH DENGGI

Di Singapura, wabak demam zika merebak dengan pantasnya. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh lapan hari bermula pada 27 Ogos 2016, wabak zika telah menyerang 242 orang. Peningkatan bilangan kes tercetus daripada tiga kluster baharu dan tiada pertalian antara satu dengan lain. Hal ini menguatkan lagi andaian bahawa wabak zika ini berasal dari tempatan. Beberapa negara lain turut menyatakan kebimbangan terhadap penyebaran virus ini. Seperti negara tropika yang lain, Singapura ialah perumah asli bagi Aedes aegypti, iaitu nyamuk pembawa atau vektor virus zika. Virus zika berpotensi menular secara pantas kerana Singapura ialah negara kecil, bandar dan kebanyakan tempatnya sesak dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Thailand juga mengalami peningkatan jangkitan penyakit zika.

Daripada purata hanya lima kes pada setiap tahun antara tahun 2012 hingga tahun 2015, kes ini meningkat menjadi 97 kes pada enam bulan pertama tahun 2016 dan tersebar luas di 10 wilayah. Kes di Thailand kelihatan seperti pengecilan berita kerana berlaku hampir tiga bulan lebih awal berbanding dengan wabak di Singapura. Antara sebab lonjakan bilangan kes ini termasuklah peningkatan kesedaran awam terhadap zika, peningkatan kemampuan sistem diagnosis, pemantauan penyakit yang berkesan oleh pihak kesihatan Thailand dan tiada kes komplikasi, seperti mikrosefali dan sindrom Guillain-Barre (GBS) yang dikaitkan dengan zika yang dilaporkan setakat ini.
Kini, wabak zika berjaya memasuki Malaysia. Kini, wabak zika berjaya memasuki Malaysia. Penyebaran wabak ini bermula apabila rakyat Malaysia yang baru balik dari negara jiran dijangkiti oleh zika. Hal ini membuktikan bahawa penyakit ini berpindah merentasi sempadan berdasarkan gerakan manusia. Bukan itu sahaja, kini, terbukti bahawa kes kedua ialah “zika asal Malaysia” yang dilaporkan di Likas, Sabah pada 2 September 2016.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Mikrobiologi

GANDUM MAKANAN ALTERNATIF PESAKIT DIABETIS

Jumlah pesakit diabetes makin bertambah disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, pemakanan dan genetik. Diabetes dapat menyumbang pelbagai penyakit, seperti kerosakan buah pinggang, masalah penglihatan dan pembuangan organ.

Ada kes pesakit yang ditetapkan temu janji untuk menjalani pembedahan pembuangan organ mengalami perubahan mendadak sehingga menyebabkan organnya tidak perlu dibuang. Setelah dianalisis, didapati bahawa pesakit mengawal pemakanannya sebelum pembedahan.
Antara makanan yang terbaik sebagai alternatif bagi nasi untuk pesakit diabetes termasuklah tepung gandum. Gandum dapat dijadikan sebagai satu daripada pengganti nasi yang baik kerana 100 gram gandum mengandungi 3.1 mg zat besi dan 36 mg kalsium dengan jumlah glukosa yang rendah.
Gandum ialah sumber karbohidrat seperti nasi, tetapi kaedah penghasilan tepung gandum menyebabkan kandungan glutennya tinggi berbanding dengan nasi. Tepung roti mempunyai kandungan gluten yang tinggi, iaitu antara 12 % hingga 14 % dan mempunyai kekuatan anjal yang memegang bentuk dengan baik apabila dibakar. Tepung kek mempunyai kandungan gluten yang lebih rendah.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Pemakanan

TEMU PUTIH IMUNOPERANGSANG SEMULA JADI

Temu putih atau Curcuma zedoaria tumbuhan jenis herba yang dapat tumbuh setinggi 1.5 m. Herba ini mempunyai
daun berbentuk lanseolat (bujur) yang terdiri daripada pelepah atau upih daun yang dapat memanjang hingga 60 cm. Helaian daunnya dapat membesar hingga 65 cm panjang dan 20 cm lebar. Daun temu putih mempunyai urat daun selari yang nyata, berwarna hijau dan berwarna ungu pada bahagian tulang daun.
Jambak bunga temu putih yang berwarna menarik, tumbuh secara berasingan dari bawah di antara celah daun. Bahagian rizomnya berisi dan bercabang, berwarna kelabu dan mempunyai isi yang berwarna kuning keputih-putihan atau kuning cerah. Rizomnya mempunyai bau yang kuat dan rasanya sedikit pahit.
Temu putih dikatakan berasal dari bahagian timur laut benua India. Tumbuhan ini tersebar luas di China, Taiwan dan rantau Asia Tenggara. Penanaman temu putih juga tersebar di Eropah. Herba ini didapati sesuai tumbuh liar di kawasan redup dan lembap, sebaliknya tidak sesuai ditanam di kawasan yang airnya bertakung.
Secara lazimnya, herba ini ditemukan di kawasan tanah pamah. Adakalanya, tumbuhan ini dapat tumbuh di kawasan yang berketinggian hingga 1000 m dari aras laut.
Di Malaysia, nama lain bagi temu putih ialah temu kuning, kunyit emas atau kuncur. Herba ini dikenali dengan pelbagai nama tempatan di beberapa negara Asia, seperti kachura, gandamatsi atau sutha (India), é zhú atau péng é zhú
(China), koneng tegal, temu pepet, temu putih, kentjur atau kunir putih (Indonesia), luya-luyahan, barák atau bolon (Filipina), thanuwen (Myanmar) khi min khay (Laos), nga truat (Vietnam), kha-min khun atau kha-min oi (Thailand), foilla atau shoti di (Bangladesh), ach’ul (Korea) dan gajutsu (Jepun).
Di Eropah pula, temu putih dikenali sebagai zadoarwortel (Belanda), zedoaire (Perancis), zitwer (Jerman) zedoaria (Itali), zedoari (Rusia) dan cedoaria (Sepanyol). Nama Inggerisnya pula ialah white turmeric, wild turmeric, zedoary, long zedoary, zedoary root, rootstock dan hidden lily. Mungkin, banyak orang yang tidak tahu bahawa penggunaan temu putih amat luas dan biasanya dijadikan sebagai ramuan yang mempunyai pelbagai khasiat dalam beberapa ilmu perubatan tradisional di serata dunia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

ANGGUR DALAM TAMAN

Anggur (Vitis spp.) ialah tumbuhan beriklim sederhana daripada keluarga Vitaceae. Kini, penanaman anggur
diadaptasikan dengan iklim tropika. Tanaman anggur di Malaysia masih berada pada peringkat pembangunan. Namun
begitu, tanaman ini mendapat sambutan. Malah, banyak syarikat yang mula mengusahakan penanaman anggur.

Pengaplikasian penanaman anggur dalam taman dilakukan oleh penulis yang menetap di Sepang, Selangor. Pokok anggur yang ditanam tidak memerlukan kawasan luas dan dijadikan sebagai pokok pergola di taman. Khasiat anggur tidak dapat dinafikan, terutamanya dalam penghasilan minuman, kismis dan jus. Anggur mengandungi vitamin C yang tinggi, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, kalori yang rendah dan fitonutrien. Selain mempunyai kandungan air sebanyak 80 % anggur sumber kaliuM yang bagus.

Hasil kajian menemukan bahawa anggur dapat menghalang penyakit kanser. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Dr. Masquelier, pengkaji Perancis, didapati bahawa biji anggur mengandungi bahan antikanser, iaitu proantosianidins. Kemampuan bahan antikanser ini 20 kali vitamin C dan 50 kali vitamin E. Biji anggur juga didapati mengandungi bahan antioksidan yang baik untuk kesihatan badan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

PERANAN MAMALIA KECIL DI MALAYSIA

Ketika seseorang itu masuk ke dalam hutan, perkara pertama yang difikirkan ialah haiwan besar, seperti harimau atau
gajah, serta burung yang berwarna-warni dan berkicauan merdu. Namun begitu, tidak banyak orang yang menyedari
atau mengambil peduli bahawa hutan hujan tropika di Malaysia diserikan oleh kehadiran pelbagai spesies mamalia kecil, seperti tupai, tikus dan kelawar, yang memberikan pelbagai sumbangan kepada ekosistem hutan Malaysia.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Mohd Tajuddin Abdullah, penyelidik Universiti Malaysia Terengganu, ada sebanyak 372 spesies mamalia daratan dan akuatik di Malaysia. Dr. Joseph F. Merritt dalam bukunya, The Biology of Small Mammals, mentakrifkan mamalia kecil sebagai spesies daripada kelas mamalia yang beratnya dalam anggaran lima kilogram atau kurang. Mamalia kecil juga dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu mamalia kecil yang dapat terbang (kelawar) dan mamalia kecil yang tidak dapat terbang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

TEKNOLOGI KETENTERAAN ANGKASA

Penerokaan angkasa lepas yang bermula sejak era 1950-an  menyaksikan kemunculan pelbagai teknologi yang
berkaitan dengan angkasa, seperti satelit dan roket. Pelancaran satelit Sputnik 1 oleh Kesatuan Soviet pada 4 Oktober 1957 memulakan era perlumbaan dalam bidang penerokaan angkasa antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet.

Pelbagai negara lain juga tidak ketinggalan dalam bidang yang sama dan sehingga kini bidang penerokaan angkasa masih menjadi perkara utama bagi semua negara di dunia. Kini, pada abad ke-21, teknologi yang berkaitan dengan angkasa makin canggih. Hal ini mewujudkan bidang baharu dalam dunia penerokaan angkasa, iaitu teknologi ketenteraan yang dapat digunakan di angkasa lepas.

Negara kuasa besar dunia, seperti Amerika, Rusia dan China melakukan pelbagai kajian tentang kemungkinan untuk peperangan berlaku di angkasa. Teori tentang peperangan angkasa ada ditulis dalam pelbagai buku yang berkaitan dengan ketenteraan.

Dalam tempoh ini, buku ini hanya membincangkan bentuk peperangan yang pernah berlaku di dunia, seperti peperangan biologi, peperangan kimia, peperangan gerila, penggunaan senjata pemusnah besar-besaran dan perang antikeganasan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Angkasa

KETENTERAAN ANGKASA BUKAN PENGAKHIRAN SAINS

Pada peringkat permulaan, sains diterokai untuk mencari jawapan terhadap suatu persoalan. Setiap jawapan ini dikumpulkan dan dikaitkan. Bagi setiap jawapan yang ada kaitan, satu lagi jawapan baharu diperoleh. Jika kaitan antara jawapan ini tidak ditemukan, proses mencari jawapan diubah dan ditambah baik. Begitulah seterusnya yang berlaku dalam permulaan peradaban manusia dalam bidang sains.
Asas bagi tindakan ini adalah untuk memahami sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, apabila perkara itu berjaya difahami, proses ini masih tidak berhenti. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia akan terus cuba untuk memahami dengan lebih mendalam supaya akan ada lagi jawapan dan penemuan yang di luar kemampuan fikiran manusia. Aliran proses ini bermula daripada pencarian untuk memahami proses yang mudah sehinggalah proses yang sangat kompleks.
Kemudian, ilmu berkembang dan terus berkembang. Bagi memenuhi keperluan perkembangan ilmu, pelbagai bidang pula diwujudkan. Perkembangan ilmu ini berterusan sehinggalah bidang yang benar-benar hebat diwujudkan. Satu daripada bidang yang hebat ini ialah ketenteraan angkasa. Jika bidang astronomi, sains angkasa dan teknologi angkasa pun dikatakan hebat dan tidak masuk akal, apatah lagi bidang ketenteraan angkasa kerana menggabungkan pelbagai bidang yang sukar difahami atau diceburi.
Walau apa-apa pun hasil atau kemajuan yang dicapai dalam bidang teknologi ketenteraan angkasa, bidang ini bukannya pengakhiran bagi bidang sains. Yang pastinya, selepas itu, akan ada lagi bidang baharu yang lebih hebat, kompleks dan tidak mampu difikirkan oleh akal manusia pada masa ini. Hal ini tidak sukar kerana aliran proses asasnya sama, iaitu mencari jawapan terhadap suatu persoalan. Dengan mengulangi aliran ini, ada jawapan baharu yang ditemukan.
Oleh sebab itu, tidak perlu terkejut, jika suatu hari nanti manusia dapat melompat dari satu pintu masa ke satu pintu masa yang lain, dan dari satu zaman ke satu zaman yang lain, seperti yang banyak dikisahkan dalam filem atau novel fiksyen sains. Teknologi ketenteraan angkasa ini hanyalah permulaan bagi suatu teknologi yang lebih menarik untuk diterokai.

Pada peringkat permulaan, sains diterokai untuk mencari jawapan terhadap suatu persoalan. Setiap jawapan ini dikumpulkan dan dikaitkan. Bagi setiap jawapan yang ada kaitan, satu lagi jawapan baharu diperoleh. Jika kaitan antara jawapan ini tidak ditemukan, proses mencari jawapan diubah dan ditambah baik. Begitulah seterusnya yang berlaku dalam permulaan peradaban manusia dalam bidang sains.Asas bagi tindakan ini adalah untuk memahami sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, apabila perkara itu berjaya difahami, proses ini masih tidak berhenti. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia akan terus cuba untuk memahami dengan lebih mendalam supaya akan ada lagi jawapan dan penemuan yang di luar kemampuan fikiran manusia. Aliran proses ini bermula daripada pencarian untuk memahami proses yang mudah sehinggalah proses yang sangat kompleks.Kemudian, ilmu berkembang dan terus berkembang. Bagi memenuhi keperluan perkembangan ilmu, pelbagai bidang pula diwujudkan. Perkembangan ilmu ini berterusan sehinggalah bidang yang benar-benar hebat diwujudkan. Satu daripada bidang yang hebat ini ialah ketenteraan angkasa. Jika bidang astronomi, sains angkasa dan teknologi angkasa pun dikatakan hebat dan tidak masuk akal, apatah lagi bidang ketenteraan angkasa kerana menggabungkan pelbagai bidang yang sukar difahami atau diceburi.Walau apa-apa pun hasil atau kemajuan yang dicapai dalam bidang teknologi ketenteraan angkasa, bidang ini bukannya pengakhiran bagi bidang sains. Yang pastinya, selepas itu, akan ada lagi bidang baharu yang lebih hebat, kompleks dan tidak mampu difikirkan oleh akal manusia pada masa ini. Hal ini tidak sukar kerana aliran proses asasnya sama, iaitu mencari jawapan terhadap suatu persoalan. Dengan mengulangi aliran ini, ada jawapan baharu yang ditemukan.Oleh sebab itu, tidak perlu terkejut, jika suatu hari nanti manusia dapat melompat dari satu pintu masa ke satu pintu masa yang lain, dan dari satu zaman ke satu zaman yang lain, seperti yang banyak dikisahkan dalam filem atau novel fiksyen sains. Teknologi ketenteraan angkasa ini hanyalah permulaan bagi suatu teknologi yang lebih menarik untuk diterokai.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor