RAWATAN GIGI PALSU

Kehilangan gigi berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah komplikasi daripada penyakit periodontal, karies, trauma, kehilangan gigi secara kongenital atau cabutan yang terpaksa dilakukan sebelum memulakan rawatan ortodontik. Kehilangan gigi menyebabkan beberapa impliksi, seperti implikasi dari segi fungsi, sosial dan sistemik.

Bagi membantu pesakit mengatasi atau mengurangkan masalah apabila berhadapan dengan implikasi ini, beberapa rawatan ditawarkan. Satu daripada rawatan ini ialah rawatan dentur atau dikenali sebagai gigi palsu. Rawatan dentur satu daripada rawatan pergigian yang sangat popular dalam kalangan pesakit yang kehilangan gigi, terutamanya orang dewasa dan orang yang berumur. Dentur sejenis alat prostetik yang dapat ditanggalkan. Alat ini digunakan untuk menggantikan gigi asal atau gigi asli pesakit yang tiada. Antara fungsi dentur termasuklah mengembalikan semula fungsi oral pesakit, seperti memberikan keselesaan, membaiki fungsi pertuturan dan membaik pulih rupa paras atau fungsi estetik pesakit.

Selain itu, dentur juga dipakai untuk mengekalkan hubungan kesihatan yang baik antara gigi dengan struktur mulut yang lain. Secara amnya, ada tiga jenis dentur iaitu, dentur resin akrilik, dentur dapat lentur dan dentur logam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Perubatan

MANFAAT GPS DALAM PENGIMEJAN DIGITAL

Sistem penentu kedudukan sejagat (GPS) ialah sistem navigasi yangdirangkaikan dengan sejumlah 24 buah satelit yang dimulakanantara tahun 1978 hingga tahun 1994. Satelit pertama dilancarkanpada tahun 1978. Jangka hayat satelit yang dibina adalah hingga 10tahun. Pada awalnya, sistem ini digunakan bagi tujuan ketenteraansebelum dibenarkan beroperasi untuk kegunaan awam. Data GPSdapat dicapai dengan menggunakan peranti mudah alih, terutamanyapembaca GPS dengan ketepatan koordinat lebih kurang 15 meter.
Dalam konteks pengimejan digital, terutamanya fotografi digital, penggunaan data GPS penting untuk merekodkan maklumat lokasi yang dirakam, terutamanya dengan menggunakan kamera digital. Koordinat lokasi dalam gambar foto penting untuk mengingati dan merujuk lokasi asal gambar yang dirakam.
Perkara ini penting, jika gambar ini digunakan bagi tujuan pelaporan, seperti dalam bidang kewartawanan. Hal ini dikatakan demikian kerana maklumat lokasi yang dicatatkan pada kapsyen perlu tepat.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

LAKI PUKUL BINI MERAWAT PENYAKIT

Sejak belakangan ini, ada banyak kes keganasan atau penderaan rumah tangga, iaitu isteri dipukul oleh suami. Namun begitu, di alam flora Nusantara, nama laki pukul bini merujuk pokok renek berkayu, iaitu Hibiscus mutabilis. Namanya unik kerana mempunyai jalan cerita yang tersendiri. Namun begitu, nama ini ada kaitan dengan kes jenayah domestik kerana dapat diterangkan menerusi fakta saintifik yang menarik.

Pokok laki pukul bini dapat tumbuh mencapai ketinggian lima meter, serta mempunyai banyak cabang dan permukaan yang berbulu halus. Daunnya bertangkai panjang dan helaian daunnya mempunyai antara tiga hingga lima lobus atau cuping yang teratur berbentuk tangan. Kedua-dua permukaan daun berbulu halus dan lebih lebat pada permukaan bawahnya.

Saiz bunga laki pukul bini agak besar dengan diameter antara 10 cm hingga 12 cm apabila kembang dengan petal yang berlapis-lapis yang berubah warna daripada putih pada waktu pagi kepada merah tua atau merah jambu pada lewat petang. Buahnya jenis kapsul. Apabila kering, buah ini merekah dan membebaskan biji kecil yang berbulu putih.

Pokok ini dipercayai berasal dari China dengan nama tempatan mu fu rong hua. Kini, pokok ini tersebar menerusi penuaian ke serata kawasan tropika, termasuklah Asia Tenggara. Nama lain bagi pokok ini ialah botan, mati laki mati bini atau bunga waktu besar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

KAEDAH PENGHASILAN VAKSIN

Vaksin dihasilkan daripada virus yang berupaya menyebabkan penyakit. Oleh sebab itu, penghasilan vaksin amat menitikberatkan keselamatan penyelidik, pengendali kajian dan pengguna. Vaksin dicipta menerusi tiga tahap. Tahap pertama ialah penghasilan antigen. Antigen ialah cebisan kuman yang mampu mengaktifkan sistem imuniti tubuh. Tidak semua bahagian atau cebisan kuman berbahaya kepada tubuh. Kuman yang berbeza-beza merangsang penghasilan antibodi yang berbeza-beza.

Antibodi ialah protein di dalam tubuh yang dikenali sebagai senjata dan dihasilkan setelah tubuh mengenal pasti antigen daripada kuman. Tindakan antibodi terhadap antigen ialah suatu yang spesifik, seperti hubungan antara kunci dengan mangga. Sebagai contohnya, antibodi bagi virus meningococcal tidak bertindak terhadap virus yang menyebabkan demam denggi.

Antigen dihasilkan dengan cara menghidupkan virus di dalam perumah. Virus tidak mampu hidup sendiri. Virus hidup di dalam perumah dan menggunakan seluruh jentera dan alat kepunyaan perumah untuk keperluan dirinya, seperti untuk bergerak, membahagi dan membiak.

Tanpa perumah, virus tidak aktif. Perumah yang lazim digunakan ialah telur ayam bagi virus, seperti influenza atau turunan sel bagi virus penyakit hepatitis. Bakteria pula tidak memerlukan perumah. Bakteria dapat dibiakkan dalam bioreaktor dengan menyediakan nutrien untuk kemandiriannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

JAMBATAN MUDAH ALIH MUDAHKAN URUSAN PERHUTANAN

Kayu balak antara ekstrak utama daripada sumber hutan. Permintaan terhadap kayu balak dan hasil perkayuan meningkat dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama keluasan kawasan hutan bagi membekalkan kayu balak tidak bertambah.

Bagi memenuhi permintaan industri perkayuan, sumber hutan perlu berada dalam keadaan yang baik dan diuruskan oleh sistem pengurusan hutan yang bersistematik. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan kualiti sumber hutan. Dengan amalan sistem pengurusan hutan yang bersistematik, sumber hutan dapat diuruskan dengan baiknya dan pembekalan hasil kayu secara berkekalan dapat dipenuhi.

Pengurusan hutan yang baik dapat menjaga sumber hutan, begitu juga seluruh ekosistem hutan yang merangkumi flora dan fauna. Jalan hutan dan jambatan juga antara komponen penting dalam pengurusan hutan di Malaysia.

Di Malaysia, aktiviti penuaian hutan biasanya dilakukan jauh di dalam hutan yang jalan masuk ialah satu daripada masalah yang dihadapi oleh pengurus hutan ketika proses pembalakan dan pengeluaran balak daripada hutan. Ketika operasi pembalakan, jalan hutan dan jambatan dijaga oleh kontraktor pembalakan bagi melancarkan perjalanan proses pengeluaran kayu balak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

KEHAMILAN TINGKATKAN BERAT BADAN

Setiap wanita perlu menerima hakikat apabila berat badan bertambah ketika hamil. Pada waktu ini, berat badan danbentuk fizikal membesar dan berubah. Hal ini disebabkan olehkesan tumbesaran bayi di dalam kandungan.
Berat badan ibu hamil meningkat dengan ketaranya menjelang waktu kelahiran. Lebih kurang satu per tiga daripada berat badan tambahan ini ialah berat bayi, plasenta (uri) dan air ketuban (cecair amniotik). Ketika lahir, secara biasanya, berat bayi ialah 3.2 kg bagi perempuan dan 3.4 kg bagi lelaki.
Berat cecair amniotik yang menyokong dan menampung bayi ialah 0.8 kg. Dua pertiga berat yang berlebihan pula disebabkan oleh perubahan yang berlaku pada badan ketika hamil.
Secara anggarannya, hal ini berlaku kerana lapisan otot pada uterus (rahim) membesar secara dramatik dan beratnya bertambah lebih kurang 0.9 kg. Selain itu, isi padu darah juga bertambah dan beratnya meningkat sebanyak 1.2 kg. Lebihan cecair dalam badan ibu hamil pula sebanyak 1.2 kg. Kemudian, berat payudara meningkat sebanyak 0.4 kg dan ibu hamil menyimpan lemak lebih kurang empat kilogram, untuk membekalkan tenaga ketika menyusukan bayi.
Menjelang hujung kehamilan, berat badan ibu hamil mungkin bertambah lebih kurang 12.5 kg berbanding dengan sebelum hamil. Walau bagaimanapun, nilai ini hanya anggaran pertambahan berat secara kasar. Oleh sebab itu, indeks jisim tubuh ibu hamil meningkat semasa hamil.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan Wanita

ADAPTASI POKOK HUTAN PAYA BAKAU

Tumbuhan yang hidup di kawasan paya bakau dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu spesies bakau sebenar dan spesies bakau menumpang. Spesies bakau sebenar hanya tumbuh di kawasan berpaya dan tidak tumbuh di kawasan daratan bersama-sama dengan spesies pokok daratan yang lain. Hal ini disebabkan oleh sifat fizikal dan fisiologi tumbuhan ini dalam penyesuaian diri terhadap tahap kemasinan, paras air dan keadaan tanpa oksigen (anaerob).

Sekitaran hutan paya bakau yang sentiasa berubah-ubah menyebabkan organisma yang berada di tempat ini perlu mempunyai kadar toleransi dan adaptasi yang sangat tinggi. Keadaan hutan yang mempunyai kadar kemasinan yang berubah-ubah, keadaan sekitaran yang kurang stabil dan kekurangan oksigen menyebabkan keadaan ini tidak kondusif bagi percambahan biji benih. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa mekanisme bagi tumbuhan ini diubah, sekali gus membolehkannya meneruskan kelangsungan hidup.

Antara mekanisme yang diubah termasuklah pembiakan tumbuhan. Di hutan paya bakau, tumbuhan perlu melakukan kaedah pembiakan yang unik yang dikenali sebagai vivipariti. Vivipariti ialah keadaan, iaitu biji benih bercambah dan membesar menjadi anak pokok ketika masih melekat pada pokok induk.

Anak pokok yang dikenali sebagai propagules berupaya melakukan proses fotosintesis dengan bantuan pokok induk yang menyalurkan air dan nutrien. Pada waktu yang sesuai, anak pokok dilepaskan dan terapung-apung sehingga tiba di tanah yang sesuai untuk membesar.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

KULIT BUAH NAGA MERAWAT AIR SISA

Buah naga ialah buah tropika. Buah ini tergolong dalam keluarga Cactaceae (spesies kaktus), yang dikenali sebagai pitaya atau pitahaya. Berasal dari Mexico, Amerika Tengah dan Amerika Selatan, kini, buah naga ditanam secara meluas sebagai tanaman buah-buahan di Asia Tenggara, seperti Vietnam, Taiwan, Filipina dan Malaysia. Kadar pengeluaran buah naga secara komersial adalah antara 16 ribu hingga 27 ribu kg/ha setiap tahun di Malaysia dan Taiwan, manakala antara 18 ribu hingga 22 ribu kg/ha di Sri Lanka.

Ada tiga jenis buah naga. Buah naga yang terkenal ialah Hylocerus undatus yang berisi putih dan Hylocerus polyrhizus yang berisi merah jambu keungu-unguan.

Kulit buah naga (DFP) dipercayai kaya dengan pektin, iaitu polisakarida struktur heterogen yang mengandungi α-1,4 asid D-galakturonik (D-GalA). Lendir yang terdiri daripada asid galakturonik biasanya agen penggumpalan aktif utama dalam lendir kaktus tanpa mengambil kira spesies. Oleh sebab itu, kulit buah naga dipercayai mempunyai keupayaan koagulan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap kaktus.

Pada dasarnya, proses rawatan air sisa menyamai proses rawatan air biasa, iaitu menerusi proses rawatan biologi, rawatan fizikal dan kimia (fizikokimia). Proses pengentalan (koagulan) penggumpalan ialah contoh rawatan fizikokimia yang mendapat perhatian kerana kecekapan penyingkiran bahan kimia terlarut dan kekeruhan air sisa menerusi penambahan koagulan kimia konvensional, iaitu alum, ferik klorida dan polialuminium klorida (PAC).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Bioteknologi

PROSES PENJERAPAN DALAM RAWATAN AIR

Air mentah perlu menjalani proses pembersihan dan rawatansebelum disalurkan untuk kegunaan domestik. Bagimemastikan air yang dibekalkan bebas daripada zarahpencemar dan selamat diminum, proses rawatan tambahan yangdikenali sebagai penjerapan, dilakukan.
Kepentingan proses penjerapan dapat dilihat dalam pemasangan unit penjerap (penuras) arang (karbon) aktif
di kediaman. Di sesetengah negara maju, proses penjerapan termasuk dalam sistem rawatan air mentah domestik bersepadu. Oleh sebab itu, pemasangan unit berasingan di kediaman tidak diperlukan.
Proses penjerapan ialah proses zarah atau molekul pencemar, seperti toksin, logam berat terlarut dan bahan organik, terperangkap di permukaan atau liang mikro sesuatu pepejal yang dikenali sebagai bahan penjerap. Dengan menggunakan konsep penurasan, air yang mengandungi zarah pencemar dilalukan pada bahan penjerap untuk dirawat. Hasil yang diperoleh ialah air yang bersih dan bebas zat tercemar.
Arang aktif ialah bahan penjerap yang digunakan secara meluas dalam rawatan air. Selain arang aktif, tanah liat juga digunakan dalam proses penjerapan sebagai peluntur warna dan penyahbau dalam industri kimia. Pelbagai usaha dan kajian masih dilakukan untuk menghasilkan bahan penjerap yang murah, mesra alam dan berprestasi tinggi. Selain rawatan air mentah, proses penjerapan juga diamalkan dalam kawalan pencemaran udara serta proses rawatan air sisa domestik dan industri.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

PANDAN ANTIBAKTERIA

Pandanus amaryllifolius atau pokok pandan sejenis tumbuhan tropika. Pokok ini satu daripada hampir 600 jenis pokok pandan daripada genus Pandanus yang didapati di negara Asia Tenggara. Secara biasanya, daun pandan digunakan dalam masakan, untuk menanak nasi lemak, menyediakan adunan kuih bakar dan sebagai bunga rampai untuk majlis perkahwinan. Daun pandan popular disebabkan oleh aroma yang dihasilkannya.

Aroma wangi daun pandan dihasilkan daripada sebatian kimia yang menghasilkan bau yang unik dan tersendiri. Bau ini dihasilkan apabila sebatian ini meruap dan molekulnya sampai ke sistem olfaktori, iaitu sistem yang membolehkan manusia menghidu. Sebatian ini juga perlu berada dalam kepekatan yang mencukupi untuk membolehkannya dikesan oleh sistem olfaktori.

Sebatian kimia ini ialah 2-asetil-1-pirolin. Sebatian ini memberikan aroma yang membangkitkan selera apabila dimasak. Selain 2-asetil-1-pirolin, ada juga sebatian kimia lain, seperti 3-metil-2-(5H)-furanon, 3-heksanol, 4-metilpentanol, 3 -heksanon dan 2-heksanon.

Oleh sebab daun pandan memiliki rasa yang unik dan kuat serta ada kelebihan dari segi aroma daun ini digunakan dalam pelbagai jenis masakan Asia, terutamanya di Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan India. Ada pelbagai cara penggunaan daun pandan dalam masakan. Antaranya termasuklah sebagai pembalut ketika memasak dan menambahkan daun pandan dalam masakan. Bagi mendapatkan warna hijau dalam masakan, pandan dikisar, kemudian diperah untuk menghasilkan cecair.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba