RADANG MATA PENYAKIT KONJUNKTIVITIS BERJANGKIT

Penyakit radang mata atau katarak bovin Keratokonjunktivitis sejenis penyakit konjunktivitis berjangkit yang biasa ditemukan pada haiwan ternakan, seperti kambing, biri-biri dan lembu. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria, seperti Chlamydia pecorum, Moraxella ovis, Colesiota conjunctivae, Mycoplasma conjunctivae, Listeria monocytogenes, Acholeplasma oculi, Thelazia spp dan Moraxella bovis.

Penyakit radang mata bersifat akut dan mudah menular dalam kalangan ternakan yang berada dalam kumpulan yang sama. Penularan wabak ini berlaku menerusi kontak secara fizikal antara haiwan yang dijangkit dengan haiwan yang bakal dijangkiti atau menerusi agen pembawa bakteria, seperti lalat.

Secara biasanya, haiwan ternakan terdedah pada jangkitan bakteria apabila haiwan yang baru dibeli ditempatkan di kawasan yang sama. Jika haiwan ternakan memakan rumput di ladang yang sama, risiko penyebaran penyakit radang mata meningkat.

Di samping itu, sekitaran yang berhabuk dan kering, populasi lalat yang banyak di ladang ternakan, cuaca panas terik dan tekanan yang tinggi menjadi faktor bagi penularan wabak penyakit radang mata. Tekanan dapat berlaku dalam pelbagai situasi, seperti perpindahan haiwan ternakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, nutrien yang tidak mencukupi dan cuaca yang tidak menentu. Kewujudan tekanan pula menyebabkan sistem imunisasi haiwan menjadi lemah dan sukar untuk melawan penyakit radang mata.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

ULAR KAPAK SUMATERA PEMBUNUH CEPAT

Ular kapak sumatera atau Tremeressurus sumatranaialah satu daripada lima spesies ular kapak yang ada diSemenanjung Malaysia. Empat spesies lain ialah ular kapakbodoh, ular kapak tok kong, ular kapak bakau dan ular kapakgunung. Semua ular kapak dikategorikan sebagai haiwan berbisadan digolongkan dalam keluarga Biodea.
Ular kapak mengeluarkan bisa yang mengandungi hemotoksin yang dapat menyebabkan keracunan darah dan otot. Bentuk fizikal ular kapak hampir sama dengan ular orok-orok atau Rattle snake yang dapat ditemukan di Benua Amerika Utara. Namun begitu, ular orok-orok mempunyai ekor yang dapat bergetar dan berbunyi, seperti alat permainan orok-orok.
Semua jenis ular kapak mempunyai alat deria, iaitu lubang kecil yang ada di antara hidung dengan mata. Alat deria ini dapat mengesan haba daripada mangsanya yang berdarah panas, seperti tikus, tupai dan burung, pada jarak tertentu.
Dari segi fizikal, tubuh ular kapak sumatera berwarna hijau dan bercampur dengan warna kuning kemerah-merahan dan berwarna merah jambu pada bahagian hujung ekornya. Rupanya kelihatan berbelang dengan warna hitam di sepanjang tubuh ular kapak sumatera yang masih kecil. Ada garisan berwarna putih di sisi perutnya. Kepalanya berbentuk seperti kapak, iaitu hampir tiga segi. Tubuhnya juga berbentuk tiga segi. Kebanyakan ular yang berbisa mempunyai bentuk badan seperti ini. Anak matanya pula membujur dan berwarna hitam.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

PEWARNA MELUNTURKAN WARNA

Pencemaran didefinisikan sebagai percampuran antara bahan pencemar, seperti bahan kimia, yang menyebabkan kesan negatif kepada hidupan. Antaranya termasuklah membahayakan kesihatan manusia, memusnahkan tumbuhan dan mengancam ekosistem sekitar.

Sejak akhir-akhir ini, pencemaran alam sekitar menjadi kemelut yang tidak dapat dipisahkan yang mendepani arus pembangunan dan pemodenan. Hal ini diburukkan lagi dengan pembuangan sisa toksik dan pelbagai jenis pewarna oleh industri berat, kilang dan makmal ke dalam punca air, seperti sungai.

Tindakan rakus pihak yang hanya mementingkan keuntungan ini menyebabkan masalah yang lebih serius kepada alam sekitar dan meningkatkan tahap pencemaran, terutamanya pencemaran air. Pencemaran air berlaku apabila pihak industri tidak menyediakan sistem pelupusan yang terancang dan bersikap tidak bertanggungjawab.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

PROGRAM PENILAIAN KERETA BAHARU BAGI RANTAU ASIA TENGGARA

Program Penilaian Kereta Baharu bagi Rantau Asia Tenggara (ASEAN NCAP) ialah program penarafan keselamatan kenderaan untuk rujukan pengguna yang berteraskan kaedah penarafan bintang. Menerusi program ASEAN NCAP, maklumat yang telus dan tepat tentang tahap keselamatan kenderaan dapat dibekalkan kepada pengguna. Tujuannya adalah untuk membantu pengguna dari segi membuat keputusan pembelian setelah mempertimbangkan aspek keselamatan kenderaan.

Program ini direalisasikan hasil usaha sama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan Global NCAP. Penubuhannya menyokong satu daripada aktiviti yang digariskan dalam Pelan Global untuk Tindakan Dekad untuk Keselamatan Jalan Raya 2011 hingga 2020.

Pelaksanaan program ini mendapat sokongan daripada persatuan automobil dan institusi yang berkaitan daripada beberapa negara di rantau Asia Tenggara. ASEAN NCAP ialah Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) yang kesembilan di dunia dan yang keempat di rantau Asia selepas Jepun (JNCAP), Korea Selatan (KNCAP) dan China (C-NCAP).

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

PENGURUSAN PEMAKANAN BULAN RAMADAN

Bulan Ramadan ialah bulan yang mampu mendidik umat Islam untuk mengamalkan pemakanan yang baik.
Islam juga menghalang pembaziran dan tindakan yang memudaratkan tubuh badan. Oleh sebab itu, setiap umat Islam perlu memilih dan mengamalkan pemakanan sihat untuk melancarkan amalan ibadat sepanjang berpuasa.
Makanan yang diambil oleh umat Islam perlu berasal daripada sumber yang halal. Dalam masa yang sama, ada halangan dalam pengambilan bangkai, darah, daging khinzir serta binatang yang disembelih dengan menyebut nama selain daripada Allah SWT. Rasulullah SAW turut menganjurkan amalanmembaca Bismillah dan makan dengan menggunakan tangan kanan.
Secara saintifiknya, amalan memakan makanan dengan menggunakan tangan dianjurkan oleh Islam kerana adanya rangsangan enzim pencernaan apabila bahagian celah jari dijilat. Hal ini mampu menggalakkan proses pergerakan (peristalsis) usus.
Larangan memakan daging khinzir pula disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah adanya sejenis cacing pita dalam usus khinzir yang tidak musnah, walaupun berada pada tahap keasidan yang tinggi, tekanan daripada geseran pada sepanjang salur pemakanan dan suhu metabolik tubuh yang sedikit tinggi dikenakan terhadap cacing pita ini.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Pemakanan

KURMA PELBAGAI KHASIAT

Buah kurma atau tamar menjadi pilihan pada bulan Ramadan disebabkan oleh kebaikannya dari segi kesihatan. Berdasarkan laporan oleh Lembaga Pentadbiran Ekonomi dan Statistik di Jabatan Pertanian Kerajaan Arab Saudi, kerajaan melaksanakan banyak projek yang berkaitan dengan perkebunan, pemeliharaan, peningkatan hasil pengeluaran dan kualiti penghasilan kurma.

Kurma tidak dihinggapi kuman, mikrob, bakteria dan serangga, tidak ditelan oleh ameba, selain membunuh kuman yang menyerang manusia. Kurma juga sangat sesuai dimakan oleh angkasawan.
Di samping itu, kurma mengandungi zat penguat rahim yang mampu memperkuat otot rahim pada bulan akhir menjelang kelahiran sehingga memudahkan proses kelahiran. Kurma juga mampu membersihkan usus besar dan menstabilkan tekanan darah. Buah ini turut mengandungi kadar gula yang sederhana dan vitamin, seperti A, B1, B2 dan D.
Selain itu, kurma ialah sumber tenaga. Vitamin A yang ada pada kurma membantu menyembuhkan penyakit rabun mata. Kurma juga membantu menegangkan anggota tubuh yang mengalami ketegangan dan jiwa yang tidak stabil. Kandungan vitamin B pada kurma membantu menguatkan otot tubuh, menyembuhkan penyakit hati dan penyakit kuning.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Pemakanan

HILAL TANDA RAMADAN

Pada bulan Mei 2017, umat Islam menyambut kedatangan Ramadan 1438H. Kedatangan bulan Ramadan ini ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana bulan ini mulia serta mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Dalam penentuan ketibaan bulan Ramadan, umat Islam ada cara untuk mengetahuinya.
Hilal Rejab 1431H.
Ketibaan Ramadan ditentukan berdasarkan kenampakan hilal pada akhir bulan Syaaban. Kemunculan hilal menjadi tanda ketibaan Ramadan. Hilal sebagai tanda waktu dinyatakan dalam al-Quran, iaitu “Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hilal. Katakanlah, “Itu ialah (tanda) waktu bagi manusia dan ibadah haji” (al-Baqarah; 189).
Dalam hadis juga ada dinyatakan tentang hilal yang menjadi penentu bagi waktu awal puasa Ramadan, iaitu “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu kerana melihat hilal. Apabila hilal tertutup atasmu, sempurnakanlah bilangan Syaaban tiga puluh hari” (Bukhari dan Muslim).
Hilal ialah fasa Bulan yang paling awal terjadi selepas ijtimak atau selepas Bulan melengkapkan satu pusingan sinodis mengelilingi Bumi. Bentuk hilal seperti satu lengkuk cahaya (seperti sabit) yang halus pada malam pertama. Fasa Bulan ialah bentuk permukaan Bulan yang berubah-ubah yang dilihat pada setiap hari dari Bumi. Fasa Bulan bermula daripada fasa ijtimak dan diikuti oleh fasa hilal, sukuan awal, purnama, sukuan akhir dan sabit tua.
Bulan tidak mengeluarkan cahaya, tetapi menerima cahaya daripada Matahari. Separuh daripada permukaan Bulan menghadap Matahari dan separuh lagi membelakangkan Matahari. Permukaan yang menghadap Matahari

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Astronomi

KEUNIKAN NOMBOR FIBONACCI

Matematik ialah satu daripada mata pelajaran yang dianggap sebagai sukar dipelajari dan dikuasai. Kebanyakan pelajar pula cenderung untuk mengalami kebosanan apabila guru mengajar mata pelajaran ini. Hanya sebahagian kecil daripada pelajar yang sangat menyukai matematik dan menganggapnya sebagai suatu subjek yang menyeronokkan dan mencabar keupayaan diri. Yang selebihnya pula tidak menyukainya dan menganggapnya sebagai subjek yang menyusahkan hidup pelajar.
Secara biasanya, seseorang itu dikatakan pintar apabila berupaya menguasai matematik berbanding dengan mata pelajaran lain. Malah, jika matematik dikuasai seawal usia kanak-kanak, orang itu dikatakan genius dan mempunyai masa hadapan yang cerah dalam pendidikan. Antara contoh pelajar yang dikatakan genius ini termasuklah Adi Putra. Dia mampu menyelesaikan pelbagai masalah matematik secara pantas. Malah, dia mampu mewujudkan kaedah penyelesaian yang cepat dan tepat.
Dalam berpuluh-puluh cabang matematik, algoritma adalah antara operasi yang memeningkan kepala. Algoritma ialah operasi yang mempunyai beberapa aturan lengkap yang perlu dituruti ketika pelaksanaan operasi matematik. Antara contoh algoritma pula termasuklah operasi pengiraan, pemprosesan data dan sistem penaakulan secara automatik yang sangat penting dalam bidang sains, khususnya bidang pengkomputeran.
Apabila ahli matematik mengkaji algoritma, ditemukan pula algoritma yang dapat dikaitkan dengan unsur alam. Algoritma ini dikenali sebagai algoritma Fibonacci. Algoritma Fibonacci ini mendapat liputan yang meluas, terutamanya dalam kalangan ahli matematik, artis, pereka dan ahli sains. Hal ini dikatakan demikian kerana peranan yang dimainkannya untuk membantu menerangkan ciri asas bagi alam semula jadi.
Daripada jujukan Fibonacci, terhasillah nombor Fibonacci dan sistem penomboran yang unik. Menerusi sistem nombor ini pula, alam semesta ini dapat diperihalkan. Oleh sebab itu, kehebatan pencipta alam ini dapat lebih dirasai. Hal ini dikatakan demikian kerana kehebatannya mengatur dan mencipta sesuatu dengan menggunakan sistem yang unik yang dikenali sebagai nombor Fibonacci.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor