KANDUNGAN DEWAN KOSMIK, OGOS 2017

KANDUNGAN

Alat Intrauterin dan Sistem Intrauterin

Alat intrauterin ialah alat yang dihasilkan daripada tembaga berbentuk “T” dan dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor. Ada dua benang halus pada satu hujung yang tergantung ke arah pangkal rahim. Wanita yang memasangnya dapat merasai benang ini. Benang ini berfungsi untuk memastikan alat IUD masih berada pada kedudukan yang betul dan tidak tertanggal atau jatuh. Benang ini juga digunakan untuk menarik keluar alat IUD apabila tidak diperlukan.
Alat IUD yang dianggap popular ialah Copper 375 (Cu 375). Menerusi penggunaan Copper 375, kehamilan dapat dielakkan dengan cara menghalang benih lelaki (sperma) daripada memasuki rahim dan bersenyawa dengan telur. Kaedah ini juga bertindak dengan cara menghalang telur yang disenyawakan daripada melekat pada dinding rahim, seterusnya menghalang penempelan (implantasi).

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan Wanita

SERANGGA AIR SERANGGA TERSEMBUNYI

Satu lagi serangga air yang jarang-jarang diketahui umum ialah lalat mei atau Ephemeroptera. Nama lalat mei diperoleh disebabkan oleh pertumbuhannya yang banyak pada bulan Mei, iaitu pada peringkat dewasa, di Barat. Nimfa lalat mei memakan detritus dan bahan reput pada bahagian bawah tasik dan sungai.
Lalat mei dewasa mempunyai antara dua hingga tiga ekor bersaiz panjang, iaitu bermula daripada hujung abdomennya. Lalat mei dewasa tidak mempunyai mulut. Hal ini dikatakan demikian kerana jangka hayat lalat mei dewasa hanya satu atau dua hari. Dalam tempoh yang singkat ini, lalat mei dewasa tidak perlu memakan apa-apa. Nimfa lalat mei mempunyai insang pada bahagian abdomennya dan digunakan untuk bernafas di bawah air.
Yang seterusnya, ayak-ayak. Serangga air ini tergolong dalam keluarga Gerridae (order Hemiptera). Di Malaysia, ayak-ayak dikenali sebagai agap-agap atau katih-katih. Ayak-ayak sering dilihat meluncur di atas permukaan air tasik atau sungai.
Ayak-ayak mempunyai rerambut

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

GASING BUKAN SEKADAR LEMPARAN

Berdasarkan tradisi, gasing bersaiz besar (antara empat kilogram hingga lima kilogram) dimainkan oleh golongan dewasa, manakala gasing bersaiz kecil (antara 0.1 kg hingga 0.5 kg) dimainkan oleh kanak-kanak. Secara biasanya, badan gasing dihasilkan daripada kayu atau buah keras, manakala kaki gasing pula dihasilkan daripada besi dan plumbum. Sesetengah masyarakat menjadikan gasing sebagai barang hiasan yang menjadi suatu simbolik. Majoriti masyarakat pula menjadikan gasing sebagai permainan untuk beriadah.

Bentuk gasing berbeza-beza, seperti bentuk rata, hati, topi, telur dan berembang. Di Kelantan, gasing yang terkenal ialah gasing toyol, gasing kelantan, gasing begelan, gasing lang laut dan gasing tanjung. Gerak main permainan tradisional ini memerlukan kesabaran kerana pemain perlu melilit tali di keliling gasing sebelum melemparkan gasing.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

LUBANG CACING JALAN PINTAS

Lubang cacing ialah terowong yang menghubungkan dua lokasi dalam senario ruang-waktu alam semesta. Lubang cacing bukan sahaja menjadi perantara untuk membolehkan manusia menghantar pesanan melalui denyut cahaya ke lokasi yang sangat jauh di alam semesta, tetapi memungkinkan manusia tiba di destinasi ini.
Hal ini dapat diterangkan menerusi filem Contact yang mengisahkan perjalanan manusia menuju ke bintang melalui lubang cacing. Begitu juga, dalam filem Interstellar, astronaut melarikan diri dari Bumi yang sedang hancur. Astronaut ini mencari planet lain dengan melakukan perjalanan melalui lubang cacing untuk menjelajah galaksi lain. Kedua-dua filem ini memberikan gambaran grafik tentang lubang cacing. Secara ringkasnya, lubang cacing berperanan sebagai pintu bagi apa-apa pun untuk menuju ke semesta lain atau menjadi penghubung antara semesta.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

LUBANG CACING PINTU ANGKASA MASA HADAPAN

Dalam cerita Doraemon, watak Doraemon ialah robot masa hadapan yang mempunyai pelbagai alat berteknologi tinggi dalam saku empat dimensinya. Semua alat dalam saku ini tidak pernah ditemukan pada zaman ini, apatah lagi pada zaman cerita ini dihasilkan. Berdasarkan imaginasi penulis cerita Doraemon, alat ini hanya wujud pada zaman akan datang, iaitu ketika Doraemon dihasilkan pada 3 September 2112.
Antara alat yang biasa digunakan dalam setiap cerita Doraemon termasuklah buluh terbang, pintu suka hati, mesin cahaya masa dan lampu pengecil. Bagi pintu suka hati, sesiapa sahaja dapat melalui pintu ini untuk pergi ke mana-mana tempat yang diingininya. Pintu ini menjadi laluan singkat yang menghubungkan antara dua lokasi.
Yang sebenarnya, ada teori yang lebih hebat tentang perhubungan antara dua lokasi. Teori yang diterbitkan dalam makalah pada tahun 1935 oleh Einstein-Rosen menerangkan tentang lubang cacing yang dapat menghubungkan dua kawasan yang dipisahkan oleh ruang dan waktu.
Menerusi lubang cacing, manusia bukan sahaja dikatakan dapat menghantar pesanan dengan menggunakan denyut cahaya ke lokasi yang jauh di alam semesta, tetapi juga memungkinkan manusia tiba di destinasi ini. Antara lokasi yang mungkin dapat ditujui oleh manusia termasuklah bulan, bintang, planet, galaksi dan sistem lain.
Dalam penulisan cerita Doraemon, penulisnya membayangkan bahawa hanya selepas 142 tahun, iaitu dari tahun 1970, barulah pintu suka hati berjaya dicipta. Bagi pintu lubang cacing, mungkin tempoh penciptaannya lebih lama. Namun begitu, apabila ada filem, seperti Interstellar, yang mengetengahkan konsep lubang cacing dalam ceritanya, pasti ada titik penamat bagi penciptaan pintu angkasa ini.
Walau bagaimanapun, setelah konsep lubang cacing ini berjaya dibuktikan dan dijadikan sebagai pintu angkasa, ada isu keselamatan dan pencerobohan yang perlu difikirkan. Jika tempat yang sangat jauh dapat ditujui dengan mudahnya, apatah lagi tempat yang berada di planet yang sama, iaitu Bumi. Oleh sebab itu, negara tertentu, terutamanya yang mengamalkan dasar tertutup, pasti tidak menyukai pintu angkasa ini.
Posted in: Daripada Editor