MOBILEGT BANK INVENTORI PERHUTANAN

Oleh: Mohd. Azahari Faidi

Sejak belakangan ini, perkembangan teknologi alat komunikasi, seperti telefon pintar dan peralatan navigasi, meningkat seiring dengan perkembangan pesat perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) di seluruh dunia. Berdasarkan statistik terkini laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, sehingga hujung tahun 2014, ada hampir tiga bilion pengguna Internet di seluruh dunia. Jumlah ini meningkat daripada lebih kurang 2.7 bilion pada akhir tahun 2013.
Berdasarkan indeks pembangunan TMK (IDI) yang dikeluarkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Eropah, Malaysia berada pada kedudukan ke-72 di dunia sebagai pengguna teknologi maklumat dan komunikasi dengan indeks IDI 5.2.
Pada abad ke-21, teknologi telefon pintar berkembang pantas di seluruh dunia, terutamanya Malaysia. Berdasarkan kajian pasaran yang dilakukan terhadap aplikasi telefon mudah alih, didapati bahawa pada tahun 2012, pasaran aplikasi telefon mudah alih bernilai hampir USD 18.56 bilion.
__

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2017.

Posted in: DARIPADA FRIM

TORIUM TENAGA MASA HADAPAN?

Oleh: Aznan Fazli Ismail

Sejak diperkenalkan lebih lima dekad yang lalu, sumbangan tenaga nuklear yang menggunakan bahan api uranium untuk menghasilkan tenaga elektrik tidak dapat dinafikan. Tenaga nuklear diakui sebagai sumber tenaga yang bersih, selamat dan
mampu menghasilkan kuantiti tenaga yang banyak berbanding dengan sumber tenaga lain.
Walaupun memberikan sumbangan yang besar kepada manusia sejak diperkenalkan, pelbagai kontroversi, diikuti oleh beberapa kemalangan di loji jana kuasa nuklear sepanjang penggunaannya sedikit sebanyak memberikan imej yang negatif, serta menggugat penggunaan tenaga nuklear.
Selain itu, bekalan sumber uranium yang terhad mempengaruhi masa hadapan tenaga nuklear. Berdasarkan laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), bekalan uranium hanya dapat bertahan lebih kurang 100 tahun. Jumlah ini tidak termasuk sumber uranium alternatif daripada batuan fosfat dan air laut.
__

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2017.

Posted in: Sains Nuklear

SOLSTIS MUSIM SEJUK

Oleh: Kassim Bahali

Pada setiap tahun, fenomena solstis hanya berlaku pada bulan Disember, iaitu sebagai penutup fenomena astronomi. Jika bulan Jun ialah musim panas di hemisfera utara, bulan Disember pula musim panas di hemisfera selatan. Oleh sebab itu, waktu siang lebih panjang berbanding dengan waktu malam. Keadaan ini memberikan kelebihan, terutamanya dari segi waktu dan aktiviti harian, berbanding dengan musim sejuk.
Namun begitu, jika bulan Jun ialah musim sejuk di hemisfera utara, bulan Disember pula musim sejuk di hemisfera selatan. Oleh sebab itu, waktu malam lebih panjang berbanding dengan waktu siang. Pada setiap tahun, iaitu pada bulan Disember, Matahari berada di hemisfera selatan. Matahari berada di hemisfera selatan bermula dari 21 September pada setiap tahun. Pada tarikh ini, Matahari bergerak melintasi garisan khatulistiwa dari hemisfera utara ke hemisfera selatan. Gerakan Matahari ketara di sepanjang laluan yang dikenali sebagai garis ekliptik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2017.

Posted in: Astronomi

Pencarian Tenaga Tidak Berakhir

Pencarian Tenaga Tidak Berakhir
Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Perbincangan tentang kelangsungan dunia masa hadapan banyak difokuskan pada aspek janaan tenaga. Hal ini dikatakan demikian kerana dunia yang serba canggih dan maju akan berakhir apabila bekalan tenaga dihabiskan. Pada waktu itu, bangunan bergelap, kenderaan tidak dapat bergerak, sistem komputer tergendala, mesin dan alat komunikasi gagal beroperasi, serta perhubungan terputus. Sebagai kesannya, tiada lagi konsep automatik. Semuanya perlu dilakukan dengan menggunakan tenaga manusia sendiri.
Manusia juga akan kembali kepada kehidupan zaman dahulu yang menggunakan konsep mekanikal dalam kelangsungan kehidupan. Basikal dan beca digunakan sebagai medium untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, manakala alat berasaskan batu dan logam digunakan semula untuk meneruskan kehidupan. Secara asasnya, ada dua kaedah yang membolehkan bekalan tenaga berterusan pada masa akan datang. Yang pertamanya, menjimatkan tenaga sedia ada. Dalam hal ini, penciptaan pelbagai alat yang mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga dicipta. Pengguna pula diminta untuk mengubah gaya hidup, seperti mengurangkan penggunaan tenaga jika tidak digunakan.
Yang keduanya, mencari sumber tenaga baharu. Kaedah ini banyak difokuskan oleh penyelidik kerana tenaga yang dijimatkan tetap akan habis suatu hari nanti. Oleh sebab itu, perlu ada tenaga baharu bagi menggantikan tenaga ini. Setelah tenaga baharu ini habis, tenaga baharu yang lain dicari lagi. Begitulah kitar pencarian tenaga baharu. Usaha ini sekali-kali tidak pernah berhenti. Satu daripada tenaga baharu yang ditemukan ialah tenaga nuklear. Tenaga nuklear yang menggunakan bahan api uranium tidak dinafikan sumbangannya dan diakui sebagai sumber tenaga yang bersih, selamat dan mampu menghasilkan kuantiti tenaga yang banyak berbanding dengan sumber tenaga lain. Walau bagaimanapun, bekalan uranium hanya mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun.

__

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2017.

Posted in: Daripada Editor