DAUN BETIK RAWAT KANSER

Oleh: Kahairul Adli Nikman

Pokok betik tidak asing bagi masyarakat di Malaysia. Pokok ini tumbuh daripada biji benih yang mudah bercambah apabila jatuh atau ditabur ke tanah. Pokok betik menghasilkan buah yang manis apabila masak ranum. Buah yang masak berwarna kuning kemerah-merahan atau jingga, manakala buah yang masih muda berwarna hijau. Buah betik bukan sahaja diminati oleh orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak. Hal ini disebabkan oleh teksturnya yang lembut dan mudah dikunyah, serta rasanya yang manis.
Nama saintifik betik ialah Carica Papaya Linn, dan berasal daripada keluarga Caricaceae. Betik dikenali sebagai papaya dalam bahasa Inggeris dan papita dalam bahasa Hindustan. Pokoknya tumbuh tegak dengan batangnya yang tidak berdahan. Batang ini dipenuhi oleh pelepah yang ditumbuhi oleh daun pada bahagian hujungnya. Batang pokok ini mengeluarkan getah berwarna putih jika dilukakan, begitu juga apabila pelepah daunnya dipatahnya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2018.

Posted in: Uncategorized

TERAPI KANSER BERSASARAN

Oleh: Nur Eliyana Mohd. Redhuan

Kemoterapi ialah satu daripada rawatan asas bagi penyakit kanser yang sering ditakuti kerana kesan sampingannya. Bergantung pada rejim kemoterapi, pesakit merasai kesan sampingan, seperti muntah, loya, gastrik, gatal dan keguguran rambut (paling ketara).
Walaupun dianggap sebagai tidak baik bagi banyak orang, kesan sampingan ini tanda bahawa ubat kemoterapi melakukan tugasnya. Ubat kemoterapi diformulasikan untuk menyerang, merencatkan atau mematikan sel yang cepat membiak kerana sel kanser membahagi dengan cepatnya. Hal ini menyebabkan sel lain di dalam tubuh yang cepat membahagi, seperti sel di akar rambut dan bulu roma, serta sel dinding perut, turut bertindak balas terhadap ubat ini. Oleh sebab itu, ada pesakit yang mengalami keguguran rambut dan loya.
Dalam hal ini, doktor dan penyelidik perubatan menyedari kesan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit. Ubat yang diberikan kepada pesakit, selamat. Kesan sampingannya pula diketahui dengan baiknya kerana diuji sebelum digunakan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2018.

Posted in: Sains Perubatan

BUMI MENDEKATI MATAHARI

Oleh: Kassim Bahali

Detik 00:01 tengah malam 1 Januari 2018 disambut meriah di seluruh dunia. Waktu ini menandakan bermulanya tahun baharu 2018. Mungkin, banyak orang yang tidak menyedari bahawa semasa sambutan tahun baharu, Bumi bersama-sama dengan penghuninya yang berjumlah lebih enam bilion orang, sedang bergerak menghampiri kedudukan yang paling hampir dengan Matahari.
Bumi bergerak dengan halaju purata 30 kilometer sesaat atau 108 ribu kilometer sejam. Bumi bergerak mengelilingi Matahari dalam orbit berbentuk elips, bukan bulatan. Jika bulatan mempunyai satu titik pusat dan mempunyai jejari yang sama, elips pula mempunyai dua titik yang dikenali sebagai fokus dan tidak mempunyai jejari yang sama.
Oleh hal yang demikian, jarak titik sepanjang lengkuk elips tidak sama. Ada titik yang jauh dan ada yang dekat dengan titik fokus. Keadaan ini sama seperti orbit Bumi mengelilingi Matahari, iaitu Bumi seperti satu titik pada elips dan Matahari berada pada satu daripada titik fokus. Bumi berada pada titik yang paling dekat dengan Matahari dan ada ketikanya jauh dari Matahari. Titik Bumi yang berada paling dekat dengan Matahari dikenali sebagai perihelion, manakala yang paling jauh, afelion.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2018.

Posted in: Astronomi

AWASI KELANGSUNGAN SEL KANSER

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Kanser ialah penyakit yang sangat ditakuti. Begitu banyak orang yang menghidap kanser, mati. Kematian mereka berlaku, sama ada ketika sedang menjalani rawatan atau tanpa sempat menjalani rawatan. Jika sempat menjalani rawatan, keadaan mereka seperti orang yang hampir mati, dengan rambut yang gugur, badan yang kurus kering, selera makan yang hilang dan keupayaan fizikal yang lemah.
Hal yang paling kritikal dalam bidang rawatan kanser ialah pengesanan kanser. Hanya setelah kanser dikesan, barulah rawatan kanser dapat dilakukan. Apabila pengesanan kanser hanya dilakukan pada saat akhir, keberkesanan rawatan akan berkurang. Malah, yang lebih malang lagi apabila kanser dikesan apabila pesakitnya tidak mampu lagi bertahan untuk menerima rawatan, iaitu hanya menghitung detik untuk dipanggil menemui penciptanya.
Bagi mengatasi atau mengurangkan kejadian kanser ini, banyak pihak yang mengemukakan pelbagai cadangan, sama ada berdasarkan kajian atau idea semata-mata. Daripada semua cadangan ini, ada satu cadangan yang menarik untuk dikongsikan. Cadangan ini adalah dengan menganggap diri pengguna sedang menghidap kanser. Walaupun cadangan ini agak kurang munasabah, dari sudut lain, ada kebaikannya yang tersendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang itu tidak akan berhati-hati dari segi penjagaan diri, melainkan telah disahkan menghidap sesuatu penyakit.
Cadangan ini juga ada kebenarannya kerana sel yang tidak normal ini memang ada pada setiap orang. Yang membezakannya hanyalah jenis dan tahapnya. Ada orang yang berupaya memusnahkannya sebelum sel ini sempat membahagi dan menjadi banyak, seterusnya berpindah ke organ lain, seperti peparu, usus dan otak. Oleh sebab itu, perlu diingat bahawa hanya masa yang menentukan sama ada sel yang tidak normal yang ada pada diri kita akan bertukar menjadi kanser atau tidak.
Menerusi tanggapan ini, pengguna akan berwaspada dari segi pengambilan makanannya dan menjaga kesihatan dirinya sebaik-baik mungkin. Secara tidak langsung juga, pengguna akan membudayakan pengambilan tumbuhan yang dikatakan mujarab untuk merawat kanser dan menjadikannya sebagai ulam. Mungkin, perkara inilah yang menjadi sebab bagi orang dahulu kekal sihat tanpa ada banyak penyakit yang menghantui mereka.
__

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2018.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor