CENDAWAN LIAR Selamat Dimakan?

Oleh: Noor Azrieda A.R. dan Salmiah U.

Cendawan mengandungi antara 10% – 30% protein. Kandungan protein cendawan melebihi kandungan protein tumbuhan dan setanding dengan protein haiwan. Kandungan lemak di dalam cendawan, rendah, iaitu antara 1.8% – 6.4%. Cendawan mengandungi 28% karbohidrat. Cendawan kaya dengan vitamin B12 yang jarang-jarang didapati di dalam sayur dan sedikit vitamin A, D dan E.

Kandungan vitamin cendawan setanding atau lebih baik berbanding dengan sayur. Namun begitu, kandungan air di dalam cendawan segar, tinggi, iaitu antara 85% – 95% berbanding dengan cendawan kering, iaitu antara 5% – 20%. Oleh sebab itu, cendawan sesuai dijadikan sebagai sumber makanan.

Cendawan juga dapat dijadikan sebagai sumber ubat. Polisakarida atau gula kompleks daripada Ganoderma lucidum, iaitu ganopoli, yang dikaji secara saintifik didapati dapat membantu menghalang pembentukan kanser. Namun begitu, bahan ini tidak dapat merawat kanser.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018

Posted in: Sains Tumbuhan

TOKOH PENYELIDIK UiTM Perlis

Oleh: Muhd. Syukri Anwar

Ketokohan beliau tidak dapat disangkal. Kewibawaannya ketika mengemudi pelbagai persatuan membuktikan bahawa susuk ini bukanlah calang-calang pemimpin. Deretan anugerah yang diterima pula mencerminkan pengiktirafan demi pengiktirafan atas sumbangan, penyelidikan dan kesarjanaannya.

Benarlah kata pepatah, hanya jauhari mengenal manikam. Menerusi ciri penting ini, tidak hairanlah apabila Profesor Mayda Dr. Mohd. Azlan Mohd. Ishak, iaitu tokoh penyelidik yang dimaksudkan ini, dinaikkan pangkat secara terus kepada profesor madya daripada pensyarah biasa pada bulan Jun 2009.

Manikam yang digilap dan diberi kepercayaan ini tidak mensia-siakan amanah yang diberi apabila terus membuktikan bahawa pelantikannya sebagai Timbalan Rektor Kampus, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni sejak tahun 2011 ialah suatu yang tepat dan bukanlah disebabkan oleh nasib atau ketiadaan calon yang lebih baik.
Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018

Posted in: Fokus Khas

i-IDeATM 2018 Mangkin Perlis Negeri Maju

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa (i-IDeATM) ialah program multidisiplin anjuran Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis sejak tahun 2013. Acara utamanya ialah pertandingan inovasi yang memfokuskan produk penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis dan peserta daripada pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara.

Program ini juga berperanan sebagai platform dan penghubung antara pereka cipta, penyelidik, industri dan orang awam untuk berkongsi idea dan produk yang berpotensi untuk dikomersialkan. Bagi mengetahui program yang memasuki edisi keempat penganjurannya ini dengan lebih lanjut, ikuti wawancara bersama-sama dengan YBrs. Tuan Zailuddin Ariffin, Rektor UiTM Cawangan Perlis.

Matlamat penganjuran i-IDeATM adalah untuk membolehkan peserta yang bersaing dalam kategori tertentu mempersembahkan idea inovasi masing-masing dengan lebih spesifik, fokus dan sempurna. Sebagai perbandingan, dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang pernah dijalankan, semua produk yang diperkenalkan dapat diterima, tetapi tidak spesifik terhadap pengembangan idea yang ingin ditonjolkan. Jika kategori yang dipertandingkan ini lebih spesifik, peserta dapat menonjolkan idea inovasi masing-masing dengan lebih mendalam dan berkesan. Daripada keadaan inilah, idea penganjuran i-IDeATM, dicetuskan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018.

Posted in: Fokus Khas

PELANCARAN i-IDeATM 2018

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Arau, 24 Januari 2018 – UiTM Cawangan Perlis mengadakan majlis pelancaran i-IDeATM 2018 di Pekarangan Cmart, Arau untuk mempromosikan program ini yang akan diadakan pada 24 – 26 April 2018. Program mega ini program i-IDeATM kali keempat yang dianjurkan oleh UiTM Perlis dan akan disertai oleh peserta dari dalam dan luar negara.

Majlis pelancaran program i-IDeATM 2018 disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed lkhsan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), yang mewakili YAB Menteri Besar Perlis. Majlis ini turut dihadiri oleh Rektor UiTM Perlis, pengurusan kanan UiTM, penyelidik, wakil IPT dan sekolah.

Dalam ucapan aluan, Rektor UiTM Perlis, Tuan Zailuddin Ariffin menerangkan objektif utama i-IDeATM 2018, iaitu sebagai penghubung antara pereka cipta, penyelidik dengan pihak industri menerusi perkongsian idea. Selain itu, diharap agar i-IDeATM 2018 dapat meningkatkan imej UiTM sebagai universiti yang menekankan aspek inovasi dan pengkomersialan.
Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018.
Posted in: Fokus Khas

PERBARISAN PLANET

Oleh: Kassim Bahali

Pada bulan Mac 2018, beberapa planet utama dalam sistem suria yang berbaris atau berhimpun, berpeluang dilihat. Planet utama ini planet yang dapat dilihat dengan pandangan mata kasar tanpa menggunakan alat optik, seperti binokular atau teleskop. Planet ini ialah Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal.

Planet dalam sistem suria terbahagi kepada planet dalaman dan planet luaran. Planet dalaman planet yang berada di dalam orbit Bumi yang terdiri daripada Utarid dan Zuhrah. Planet luaran planet yang berada di luar orbit Bumi yang terdiri daripada Marikh, Musytari, Uranus dan Neptun.

Pada tarikh dan masa tertentu, planet ini kelihatan berada berdekatan antara satu dengan lain seolah-olah sedang berhimpun. Yang sebenarnya, planet ini mempunyai orbitnya sendiri dan tetap bergerak dalam orbit masing-masing. Namun begitu, dari sudut pandang penduduk di Bumi dalam tempoh tertentu, planet ini kelihatan berdekatan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Mac 2018.

Posted in: Astronomi

MUAT NAIK MAKLUMAT DAN IMEJ CARA SELAMAT

Oleh: Nor Azlina Abd. Rahman dan Darien O’brien Fabian

Penggunaan media sosial, seperti facebook, twitter dan instagram, berleluasa pada abad ini. Pengguna media sosial menggunakannya dengan pelbagai tujuan, seperti berniaga, berkomunikasi dan berhibur. Pelbagai maklumat yang mudah didapati secara dalam talian membuka ruang bagi penggodam untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Maklumat yang diperoleh ini memudahkan penggodam untuk mencari atau mengesan mangsanya. Walau bagaimanapun, kebanyakan mangsa tidak menyedari bahawa dirinya diawasi pada sepanjang masa menerusi maklumat yang dimuat naik ke media sosial.

Oleh sebab itu, pengguna media sosial harus menitikberatkan aspek keselamatan untuk melindungi akaun media sosial daripada dicerobohi. Maklumat, seperti gambar, video dan maklumat peribadi, perlu disimpan dengan selamatnya dan hanya digunakan bagi tujuan peribadi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018

Posted in: Sains Komputer

ELEKTROPALATOGRAFI Bantu Kajian Fonetik

Oleh: Nur Fatehah Md. Shakur dan Fatanah Mohamad Suhaimi

Elektropalatografi (EPG) ialah teknik yang digunakan untuk memantau kadar sentuhan antara lidah dengan lelangit keras ketika bertutur. Alat EPG atau elektropalatograf diperkenalkan lebih daripada 100 tahun yang lalu. EPG ialah sistem berasaskan komputer yang mampu merakamkan sentuhan antara lidah dengan lelangit keras, dan menghasilkan paparan terus kepada pengguna secara visual.

Kini, EPG digunakan secara meluas bukan sahaja dalam pembelajaran bahasa asing dan pembetulan anggota artikulasi, tetapi juga kajian linguistik. Dengan memiliki ciri yang mudah dan selamat, EPG mampu membaiki kelemahan dalam proses penuturan dengan memantau dan merekodkan hubungan lingua palatal.

Pada peringkat awal, alat EPG diilhamkan dan dibangunkan sebagai alat penyelidikan untuk membaiki kaedah palatografi tradisional. Penyelidik bahasa dan tentera menggunakan alat ini untuk mendapatkan maklumat yang tepat tentang lidah dan sentuhan lelangit menerusi beberapa bahasa asing.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018

SUMSUM TULANG KILANG PALING SIBUK

Oleh: Faridah Idris

Tugas utama sumsum tulang, satu daripada organ terbesar di dalam tubuh manusia adalah untuk menghasilkan sel darah manusia. Pada setiap hari, seorang dewasa perlu menghasilkan lebih kurang 2.5 bilion sel darah merah, 2.5 bilion platelet dan berbilion sel darah putih bagi setiap kilogram berat badan. Oleh sebab itu, sumsum tulang kilang paling sibuk di dunia.

Pada setiap hari, kilang ini perlu menghasilkan sel darah yang sangat banyak tanpa silap. Setiap langkah dan proses dilakukan berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta, iaitu tidak terkurang atau tidak terlebih. Jika ada proses yang tidak memenuhi standard yang sepatutnya, ada proses baik pulih yang mengambil alih dan membetulkannya.

Penghasilan sel darah bermula apabila manusia berada di dalam kandungan, iaitu apabila kandungan berumur beberapa minggu. Proses ini berlaku di dalam kantung yolka yang berukuran beberapa milimeter. Apabila kandungan berumur antara 6 minggu hingga antara 6 bulan – 7 bulan, hati dan limpa janin ialah organ utama yang menghasilkan sel darah yang diperlukan. Selepas itu, sumsum tulang mengambil alih tugas ini sehingga dewasa.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018

Posted in: Kesihatan

TEKANAN PUNCA PENYAKIT?

Oleh: Nurul Shazini Ramli


Pada masa ini, tekanan jiwa penyakit yang sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain yang lebih serius. Keadaan ini bukan sahaja memberikan kesan terhadap peningkatan kos penjagaan kesihatan, malah mengurangkan produktiviti di tempat kerja.

Profesor Dr. Bruce McEwen, ahlisains dari Amerika Syarikat, mengkajikaitan antara hormon dengan tekananjiwa dalam tempoh lebih empat dekad.Beliau menyatakan bahawa tekananmenyebabkan kerosakan struktur sarafotak yang mengawal daya ingatan, pembelajaran dan emosi.

Menurut beliau lagi, individu yanggagal mengurus tekanan mengalamiperubahan fizikal dan fisiologi badandisebabkan oleh ketidakseimbanganhormon. Pada asasnya, hormon yangmengawal tekanan bersifat dwifasa, iaitu memberikan perlindungan dalam tempoh pendek dan menyebabkan kerosakan sistem badan dalam tempoh panjang.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mac 2018

Posted in: Kesihatan