Keloid Mencacatkan Kulit

Oleh: Rehanah Mohd. Zain

Secara global, masalah keloid berlaku di benua Amerika Selatan, Afrika, dan Asia dengan kadar penghidap yang tidak diketahui jumlah sebenarnya. Berdasarkan anggaran, kadarnya antara 5% – 16% daripada populasi penduduk. Di Malaysia, orang yang berkulit gelap dan sawo matang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah keloid berbanding dengan orang yang berkulit cerah atau putih. Bangsa India mempunyai kulit yang mudah mengalami keloid, diikuti oleh bangsa Melayu dan bangsa Cina.

Masalah keloid ini juga ialah penyakit kulit yang disebabkan oleh pertumbuhan kolagen yang tidak normal atau berlebihan selepas pulih daripada luka. Secara biasanya, keloid ditemukan atau mudah berlaku pada bahagian dada, paha, bahu, cuping telinga, dan pipi. Bahagian lain badan juga dapat berlaku keloid. Namun begitu, keloid tidak memudaratkan pesakit yang mengalaminya. Keloid mengurangkan nilai estetika penghidapnya kerana permukaan kulit menjadi kurang cantik.

Keloid bermula daripada ketulan kecil pada tapak berlakunya kerosakan kulit. Keadaan ini beransur-ansur berkembang di luar tepi luka yang dialami. Sesetengah orang mungkin mengalami gejala lain, seperti kulit berasa sakit, gatal, berwarna cerah, merah muda, atau merah.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Kesihatan

Geometri dalam Jadual Berkala

Oleh: Nurisya Mohd. Shah

Pengelasan unsur kimia dalam jadual berkala atau dalam Bahasa Inggerisnya periodic table mula diperkenalkan kepada murid tingkatan empat di peringkat sekolah menengah. Topik ini dibincangkan dibawah bab jirim dan bahan yang diajar sama ada dalam subjek fizik, kimia atau sains secara khususnya.

Susunan diatur sebegini supaya unsur kimia yang mematuhi beberapa sifat umum atau sifat fizik/kimia yang tertentu, berada pada kelompok atau kumpulan yang sama. Yang seterusnya, susunan ini dapat dijadikan sebagai bahan rujukan bagi ahli sains di seluruh dunia. Sebagai contohnya, unsur kimia diatur berdasarkan sifat nombor atom, konfigurasi elektron, jejari atom, tenaga pengionan, keelektronegatifan, keafinan elektron (afiniti) dan sifat unsur kimia (logam).

Sebagaimana jadual itu dibentuk, setiap blok (ruang) baris dan blok lajur (menegak) mempunyai definisi yang tertentu di dalam jadual berkala. Blok baris dikenali sebagai kala, manakala blok lajur pula dikenali sebagai kumpulan. Unsur yang mempunyai perilaku yang sama berkongsi blok lajur yang sama.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Fizik

Inovasi Kawalan Tikus di Sawah

Oleh: Aweng Eh Rak

Tikus makhluk perosak utama padi di Malaysia, selain burung dan serangga. Dalam satu-satu masa, tikus dapat memusnahkan beratus-ratus hektar kawasan tanaman padi dengan nilai kerugian beratus-ratus ribu ringgit. Secara biasanya, tikus menyerang sawah padi dalam tiga peringkat, iaitu sebaik-baik sahaja benih disemai, ketika padi sedang bunting dan ketika padi sedia dituai.

Ancaman tikus berlaku pada seluruh kitar hidup padi. Hal ini menyebabkan tahap kerosakan padi yang serius jika tidak dikawal. Ada pelbagai kaedah atau cara kawalan tikus, iaitu dengan menggunakan racun, merosakkan kawasan yang dapat menjadi sarang tikus, menggunakan perangkap dan kaedah biologi.

Kaedah kawalan tikus secara biologi ialah penggunaan haiwan pemangsa untuk memakan tikus. Haiwan pemangsa tikus yang selalu digunakan untuk mengawal tikus dalam sektor pertanian, terutamanya padi, ialah burung pungguk atau burung hantu, dan ular.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Alam Sekitar

SLE dan Deregulasi Sistem Imun

Oleh: Nor Effa Syazuli Zulkafli

Menurut Van Parijs dan Abbas, mekanisme toleransi pusat dan periferal bertanggungjawab untuk mengendalikan keupayaan sistem imun atau sistem kekebalan tubuh untuk membezakan antara diri sendiri dengan diri bukan sendiri.

Yang sebaliknya, apabila wujud keadaan sistem imun ini tidak dapat membezakan antara diri sendiri dengan diri bukan sendiri, atau ada gangguan dalam toleransi sistem imun, hal ini dapat menyumbang pembentukan dan perkembangan penyakit autoimun. Satu daripada contoh penyakit autoimun yang disebabkan oleh kegagalan toleransi sistem imun ialah sistemik lupus eritematosus (SLE).

SLE ialah penyakit autoimun sistemik yang dicirikan oleh pembentukan banyak autoantibodi yang tidak normal. Autoantibodi yang hadir membentuk kompleks imun dengan antigen (Ag). Kompleks imun ini kemudiannya membentuk mendakan di dalam tisu. Hal ini menghasilkan manifestasi klinikal dan patologik yang dicirikan oleh kerosakan tisu setempat, keradangan atau inflamasi kronik. Akhirnya, fungsi organ, hilang. Pembentukan autoantibodi terhadap komponen nuklear di dalam sel menghasilkan manifestasi klinikal, seperti keradangan, vaskulitis dan vaskulopati, menurut Pisetsky.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Sains Perubatan

Pepatung dan Pepatung Jarum Petunjuk Pencemaran

Oleh: Nurfarhana Hizan Hijas

Pepatung atau Dragonfly ialah haiwan prasejarah dan serangga purba yang wujud sebelum zaman dinosaur. Kewujudan pepatung sejak lebih kurang 300 juta tahun dahulu menjadikannya serangga tertua di dunia. Fosil pepatung prasejarah pernah ditemukan dengan ukuran sayapnya 30 inci dan panjang badannya hingga 18 inci.

Serangga ini berada di bawah order Odonata yang bermaksud rahang bergigi, dan merangkumi tiga suborder, iaitu Anisoptera (pepatung), Zygoptera (pepatung jarum) dan Anisozygoptera (perantaraan antara pepatung dengan pepatung jarum). Namun begitu, hanya dua suborder yang berkembang secara meluas, iaitu pepatung (Dragonfly) dan pepatung jarum (Damselfly).

Odonata sejenis serangga pemangsa yang tidak berbisa. Menurut Dijkstra, ada lebih 6000 spesies Odonata direkodkan di seluruh dunia. Menurut Choong pula, di Malaysia, ada lebih kurang 400 spesies Odonata yang menghuni pelbagai habitat akuatik.

Pepatung jarum Shorttail yang sedang mengawan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: DARIPADA FRIM

Urinasi dan Warna Urin

Oleh: Muhammad Hamzihadi Hamzah

Proses pengeluaran urin dari pundi kencing dikenali sebagai urinasi. Urin ini dikenali sebagai air kencing. Setiap orang perlu peka terhadap setiap ciri asas air kencing, seperti warna, bau dan kekerapan pembuangan air kencing. Hal ini dikatakan demikian kerana ciri ini dapat memberikan petunjuk tentang apa-apa yang berlaku di dalam badan.

Rasa ingin kencing biasanya berlaku selepas pundi kencing dipenuhi oleh lebih kurang 200 mm air kencing. Pundi kencing berada pada posisi yang cukup optimum pada ketika ini untuk mengaktifkan reseptor di dalam pundi kencing.

Sebaik-baik sahaja diaktifkan, reseptor ini menghantar impuls ke saraf tunjang. Kemudian, saraf tunjang menghantar semula impuls ini ke pundi kencing. Hal ini menyebabkan pundi kencing mengecut. Sfinkter uretral dalaman yang berada di sekitar pembukaan uretra dilegakan. Hal ini memaksa air kencing untuk masuk ke dalam uretra. Akhirnya, seseorang berasa ingin kencing.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Fisiologi

Metabolisme Alkohol di Dalam Badan

Oleh: Rochman Naim

Kesan alkohol (etanol) pada pelbagai tisu bergantung pada kepekatannya di dalam darah(kepekatan alkohol darah [KAD]) dari semasa ke semasa. KAD ditentukan oleh kepantasan alkoholdiserap, diedarkan, dimetabolismekan dan dikeluarkan dari badan.

Selepas ditelan, alkohol diserap, terutamanya dari usus kecil ke dalam salur darah vena yang mengumpulkan darah dari perut dan usus, dan dari vena portal yang membawanya ke hati, iaitu tempatnya terdedah pada enzim dan dimetabolismekan. Kadar kenaikan KAD dipengaruhi oleh kepantasan alkohol dikosongkan dari perut dan tahap metabolisme ketika peralihan pertama melalui perut dan hati (metabolisme tahap pertama [MTP]).

KAD dipengaruhi oleh faktor alam sekitar (seperti kadar pengambilan alkohol, kehadiran makanan di dalam perut dan jenis minuman beralkohol) dan faktor genetik (variasi dalam enzim utama yang memetabolismekan alkohol: alkohol dehidrogenase [ADH] dan aldehid dehidrogenase [ALDH]).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Sains Perubatan

Teknologi Kawalan Vektor Banteras Penyakit Bawaan Nyamuk

Oleh: Azri Adzhar

Nyamuk daripada keluarga serangga Culicidae ialah vektor penyebar penyakit, seperti denggi, JE, Zika, Chikungunya, demam kuning dan West Nile yang menjangkiti berjuta-juta orang pada setiap tahun. Pada tahun 2015 sahaja, WHO melaporkan kematian lebih kurang 429 ribu orang. Kebanyakannya disebabkan oleh malaria, manakala 92% daripadanya berlaku di benua Afrika. Kes klinikal denggi pula 3.2 juta.

Jumlah ini meningkat sering dengan perdagangan global dan perubahan iklim yang membantu penyebarluasan spesies agresif dan invasif, seperti nyamuk harimau asia, iaitu Aedes albopictus.

Sejak berabad yang lalu, nyamuk Aedes aegypti yang menyebarkan sekurang-kurangnya empat virus yang menyebabkan penyakit penting, dibawa belayar jauh oleh kapal dagang keluar dari benua subsahara Afrika. Kitar hayat asalnya dalam kalangan kera (perumah) di hutan belantara berkembang dengan penyesuaian dalam kalangan manusia pula.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018
Posted in: Sains Veterinar

Kacang-kacang Kawal Aras Glukosa

Oleh: Chee Beng Jin

Pokok kacang-kacang atau Aegiceras corniculatum sejenis tumbuhan yang renek atau bersaiz sederhana, yang dapat mencapai ketinggian lebih kurang 6 m. Pokok ini mempunyai daun berbentuk bujur membulat pada bahagian hujungnya dan tersusun secara berpusar atau berselang. Lapisan daunnya agak tebal, berwarna hijau berkilat pada lapisan atas dan hijau pudar pada lapisan bawah.

Bunganya berwarna putih, berbau harum dan tumbuh dalam bentuk jambak. Setiap jambak bunga terdiri daripada antara 15 – 25 kuntum bunga kecil. Buahnya berbentuk melengkung dengan hujung yang tirus tajam yang dihasilkan dalam jambak, berwarna hijau dan bertukar kepada merah apabila matang.

Kacang-kacang mempunyai taburan geografi yang luas dari India, Sri Lanka, selatan China, rantau Asia Tenggara, Australia dan Kepulauan Solomon. Habitatnya merangkumi kawasan sedikit berpasir di muara sungai, tebing yang berlumpur dan kawasan yang menghala ke daratan hutan pokok bakau.

Nama lain bagi pokok kacang-kacang ialah kachang hantu dan kuku lang laut (Malaysia), kayu sila, duduk agung, tudung laut, gigi gajah atau perpat kecil (Indonesia), batag-batag, bulali, dumanai, kindug-kindug, pipisik atau saging-saging (Filipina) dan kaya (Myanmar).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018
Posted in: Herba

Ibu Susukan Bayi Boleh Rancang Keluarga

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Masih banyak ibu yang keliru, sama ada penyusuan anak membolehkannya hamil atau kekal subur. Sememangnya, penyusuan badan sepenuhnya secara eksklusif ialah cara semula jadi untuk merancang keluarga. Namun begitu, cara ini bukanlah 100 peratus selamat untuk menghindarkan kehamilan.

Penyusuan bayi secara eksklusif menunjukkan keberkesanan antara 98% hingga 99.5% dalam perancangan keluarga. Cara ini perlu memenuhi beberapa kriteria supaya keberkesanannya lebih terjamin. Kriteria ini ialah bayi perlu berusia kurang daripada enam bulan, ibu masih belum mengalami haid pertama setelah bersalin dan bayi mendapat penyusuan eksklusif, iaitu hanya bergantung pada susu ibu semata-mata.

Oleh sebab itu, kebarangkalian untuk mengandung tetap ada jika bayi menyusui badan. Apa-apa yang penting, kaedah perancang keluarga yang tertentu perlu diamalkan untuk memastikan wanita ini tidak mengandung. Hormon pilihan yang disarankan ialah prolaktin. Prolaktin ialah hormon yang merangsang kelenjar susu untuk menghasilkan susu. Hormon ini dihasilkan apabila wanita mengandung dan menyusukan bayi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Kesihatan