Orkid Hantu Melayang di Udara

Oleh: Chua Hun Pin

Orkid hantu ialah sekumpulan orkid unik yang mengalami proses pengubahsuaian sehingga organ daunnya mengecil, bersifat sementara atau hampir tidak wujud. Dalam hal ini, seluruh tumbuhan hanya terdiri daripada akar sebagai alat untuk melekatkan dirinya pada batang pohon. Akar ini seperti dawai berwarna kelabu hijau yang kelihatan seperti akar orkid biasa.

Akar orkid hantu mengandungi pigmen klorofil pada lapisan permukaannya. Hal ini membolehkannya mengambil alih tugas daun bagi proses fotosintesis, selain menyerap air dan nutrien. Akar yang berisi ini menggantikan batang sebagai organ penyimpan air. Akar beberapa spesies orkid hantu turut mempunyai hubungan simbiosis dengan kulat mikoriza dan alga bagi tujuan perolehan zat makanan tambahan.

Habitat orkid hantu adalah di kawasan tropika Asia Tenggara, Afrika, Australia, Amerika Selatan dan Kepulauan Caribbean. Tumbuhan ini ialah epifit yang menumpang pada permukaan dahan pokok. Orkid tanpa daun ini merangkumi genus utama, seperti Chiloschista, Taeniophyllum, Dendrophylax, Polyrrhiza, Microcoelia dan Harrisella. Ada beberapa spesies Chiloschista dan Taeniophyllum yang dapat ditemukan di Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Flora dan Fauna

Alkohol Merosakkan Tisu

Oleh: Rochman Naim

Kesan langsung alkohol, seperti gangguan pada komponen membran sel dan protein isyarat, dan kesan tidak langsungnya, berlaku disebabkan oleh metabolisme alkohol yang bertindak secara konsisten untuk merosakkan tisu. Metabolisme alkohol sering dianggap sebagai faktor utama yang menyebabkan kerosakan tisu yang berkaitan dengan alkohol, terutamanya menerusi penjanaan spesies oksigen reaktif (SOR) dan tekanan oksidatif di dalam tisu.

SOR dihasilkan ketika pengoksidaan alkohol dan asetaldehid, sama ada oleh alkohol dehidrogenase (ADH) atau aldehid dehidrogenase (ALDH), dan sitokrom P450 (CYP2E1). Kadar pengoksidaan alkohol dan asetaldehid oleh ADH dan ALDH ditentukan oleh kadar NADH yang dihasilkan menerusi sistem pengangkutan elektron mitokondria. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pengangkutan elektron mitokondria memerlukan oksigen dan menghasilkan ATP. Kadar pengoksidaan NADH pula bergantung pada bekalan oksigen sel dan permintaannya terhadap ATP.

Jika kedua-dua faktor ini terhad, aktiviti pengangkutan elektron dikurangkan, seterusnya menyebabkan kesan tertentu. Yang pertamanya, alkohol dan asetaldehid tidak dimetabolismekan secara cekap. Yang keduanya, elektron yang melalui rantai pengangkutan elektron mitokondria dialihkan menjadi SOR yang berbahaya, terutamanya superoksid. Metabolisme alkohol oleh ADH dan ALDH berlaku, terutamanya di hati. Oleh sebab itu, kesan buruk yang berkaitan dengan metabolisme etanol oleh enzim ini dan pengeluaran SOR yang berkaitan, mempengaruhi hati.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Sains Perubatan

Influenza Menyerang Lagi

Oleh: Che’ Wan Aminud-Din Hashim

Influenza atau demam selesema ialah penyakit respiratori yang disebabkan oleh virus selesema. Jangkitan yang tidak serius hanya menyebabkan demam yang ringan dan hidung berair. Walau bagaimanapun, jangkitan yang serius boleh menyebabkan kematian. Sejak bulan November 2017, statistik menunjukkan peningkatan mendadak jumlah pesakit yang dijangkiti oleh virus selesema di seluruh dunia.

Ada empat jenis virus influenza, iaitu A, B, C dan D. Namun begitu, hanya virus A dan B yang menyebabkan serangan selesema bermusim. Pada setiap tahun, virus ini merebak dengan strain atau jenis yang berbeza-beza. Di luar negara, punca utama selesema pada kali ini lebih serius kerana melibatkan virus H3N2, iaitu sejenis virus daripada kumpulan virus A yang dapat menyebabkan lebih banyak komplikasi dan sukar dikawal.

Virus H3N2 menyebabkan jangkitan yang serius dan boleh menyebabkan kematian, terutamanya jika melibatkan warga emas dan kanak-kanak. Jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad disebabkan oleh serangan virus terbaharu ini pula lebih tinggi berbanding dengan selesema bermusim yang disebabkan oleh virus A H1N1 pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, penyelidik masih belum mengetahui jawapan bagi puncanya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Kesihatan

Gelombang Graviti Wujud?

Oleh: Ramli Abdul Samad

Lebih 100 tahun dahulu, tepatnya pada tahun 1915, ilmuwan tersohor, Albert Einstein, mengemukakan hipotesis atau ramalan menerusi kiraan dan teori, iaitu kewujudan entiti gelombang graviti. Hipotesis kewujudan fenomena gelombang graviti satu daripada pakej dalam teori kerelatifan umum Einstein. Namun begitu, pembuktian setiap unsur dalam komponen hipotesis dalam pakej ini masih memerlukan tempoh yang lama.

Einstein menyatakan teorikerelatifan umum sebagai suatupenambahbaikan terhadap hukum gravitiyang dikemukakan oleh Issac Newtonpada abad ke-17. Penambahbaikan iniberbekalkan teori Einstein yang munculterlebih dahulu, iaitu teori kerelatifan khusus. Dalam teori kerelatifan umum,graviti bukan lagi dilihat sebagai ciri gaya,sebaliknya ciri manifestasi daripada kelengkungan ruang dan waktu.

Einstein menggambarkan alamsemesta sebagai kain empat dimensi.Menurut Einstein, kelengkunganruang dan waktu, berhubung secaralangsung dengan empat momentumyang bergerak yang terdiri daripadatenaga massa dan momentum linear,serta daripada sebarang objek atauradiasi. Kewujudan teori kerelatifanumum Einstein ini digambarkandalam persamaan medan Einstein.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Fizik

Sindrom Bangunan Sakit

Oleh: Mohammad Rais Shahril

Sindrom bangunan sakit (SBS) ialah keadaan penghuni sesebuah bangunan yang mengalami masalah kesihatan atau tidak selesa ketika berada di dalam bangunan. SBS terjadi apabila kualiti udara dalaman, rendah.

Contoh masalah kesihatan yang dialami oleh penghuni yang terdedah pada SBS ialah kesukaran bernafas, pening kepala, selesema, pedih mata dan sakit tekak. Selain itu, golongan yang berisiko tinggi untuk mengalami SBS ialah kanak-kanak dan warga emas. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini banyak menghabiskan waktu di dalam rumah atau bangunan.

SBS diperkenalkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 1982 kerana ada banyak kes yang berkaitan dengan bangunan sakit. SBS biasanya berlaku disebabkan oleh kekurangan atau kesilapan reka bentuk sistem, pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Genus Ridleyandra di Semenanjung Malaysia

Oleh: Siti Munirah Mat Yunoh

Ridleyandra satu daripada genus yang ada dalam keluarga Gesneriaceae. Kata “Ridley” bersempena dengan nama Henry Nicholas Ridley (tahun 1855 – tahun 1956), iaitu bagi menghormati beliau sebagai seorang ahli botani Inggeris terkenal yang bekerja di Singapura, Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya.

Kata “-andra” pula berasal daripada bahasa Greek ανδρος, iaitu andros yang bermaksud lelaki. Nama ini merujuk bahagian androesium yang berkaitan dengan kedudukan asal tumbuhan sebelum ini, iaitu dalam kumpulan Didissandra.

Ada 31 spesies tumbuhan dalam keluarga Ridleyandra yang bertaburan dari Thailand, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Di Semenanjung Malaysia, 24 spesies diiktiraf. Sebanyak 23 daripadanya endemik di Semenanjung Malaysia. Satu spesies juga direkodkan di Thailand.

Ridleyandra ialah tumbuhan endemik, iaitu khusus di kawasan tertentu. Habitat tumbuhan Ridleyandra ialah hutan tropika yang masih berkeadaan baik. Tumbuhan jenis ini dapat ditemukan di hutan dipterokarpa bawah, hutan dipterokarpa tinggi dan hutan gunung. Kebanyakannya menyukai tempat yang redup dan sedikit basah. Sebagai contohnya, berdekatan dengan sumber air, seperti sungai atau mata air.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Cakera Teranjak Dapat Dicegah

Oleh: Rehanah Mohd. Zain

Kini, masalah sakit belakang makin kerap berlaku di seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Lebih kurang 70% orang dewasa mengalami sakit belakang. Sebanyak 50% daripadanya sembuh dalam tempoh seminggu selepas dirawat. Hampir 90% pesakit lagi memerlukan tempoh antara satu bulan hingga tiga bulan untuk sembuh. Daripada peratusan ini, hanya sebahagian pesakit yang mengalami masalah cakera teranjak.

Cakera teranjak ialah istilah yang digunakan dalam dunia perubatan terhadap kecederaan yang biasa berlaku pada tulang belakang. Cakerapada tulang belakang ini terbonjol atau tergelongsor keluar sehingga menekan urat saraf tunjang. Cakera ini mungkin bergerak, berganjak atau pecah.

Cakera ini merujuk bahagian pelapik serap-hentak antara vertebra tulang belakang. Hal ini menyebabkan cakera rawan dan tisu yang berada berhampirannya bocor (hernia), serta kandungan, seperti gel, di dalamnya terkeluar ke kawasan tisu sekitar. Hal ini memberikan tekanan kepada saraf tunjang atau saraf lain yang berada bersebelahannya, seterusnya menjadi punca bagi gejala cakera teranjak. Gejala ini juga dikenali sebagai hernia cakera, pecah cakera atau prolaps intervertebra cakera (PID).

Rencana yang dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Kesihatan

Tenaga Nuklear Merungkaikan Persepsi Negatif Masyarakat

Oleh: Aznan Fazli Ismail

Masyarakat sering melihat tenaga nuklear dari dua perspektif yang berbeza, sama ada sebagai sumber tenaga yang mampu membawa kesejahteraan dalam kehidupan harian atau sebagai sumber tenaga berbahaya yang membawa malapetaka.

Secara realitinya, sejak diperkenalkan, tenaga nuklear sering dianggap sebagai simbol bahaya dan kehancuran. Andaian sebegini sedikit sebanyak mempengaruhi polisi dan penerimaan masyarakat terhadap tenaga nuklear sejak lebih enam dekad yang lalu.

Spencer Weart, penulis buku The Rise of Nuclear Fear menggambarkan nuklear sebagai sinaran yang aneh yang boleh menyebabkan kiamat, tetapi pada masa yang sama, memberikan kemakmuran kepada negara atau dunia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Giam Rambai Tumbuhan Endemik Terancam

Oleh: Suhaida Mustafa

Pada tahun 2010, status pemuliharaan spesies tumbuhan keluarga Dipterokarpa, dinilai. Hasil penilaiannya diterbitkan dalam risalah penyelidikan yang bertajuk Malaysia Plant Red List – Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae. Dalam risalah ini, sebanyak 155 spesies daripada 165 taksa Dipterokarpa yang ada di Semenanjung Malaysia, dinilai.

Berdasarkan penilaian ini, didapati bahawa sebanyak 15 spesies berada di bawah kategori sangat terancam, 35 spesies dikategorikan sebagai terancam dan 42 spesies di bawah kategori mudah terancam. Selain itu, tumbuhan keluarga Dipterokarpa, kini disenaraikan sebagai satu daripada keluarga tumbuhan yang paling terancam di Malaysia. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor, terutamanya kemerosotan habitat.

Spesies daripada keluarga Dipterokarpa dikenali kerana batangnya menghasilkan damar dan buah yang bersayap. Kebanyakan spesies dalam keluarga Dipterokarpa bersaiz besar, berbatang lurus dan berketinggian mencapai antara 40 m – 70 m.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

Habuk Kayu Pokok Getah Singkirkan Pewarna

Oleh: Nik Raihan Nik Yusoff

Berdasarkan laman sesawang Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), industri tekstil dan pakaian di Malaysia berkembang pesat dan menjadi eksport ke-10 terbesar pada tahun 2015 dengan jumlah pendapatan RM13.2 bilion. Nilai ini menyumbang lebih kurang 1.7% daripada jumlah eksport Malaysia bagi sektor perkilangan.

Kepesatan industri tekstil dan pakaian menyebabkan pencemaran air yang serius kerana proses mewarna dan membasuh fabrik memerlukan penggunaan air yang sangat banyak. Sebanyak 200 ribu tan pewarna mengalir keluar bersama-sama dengan air sisa daripada proses mewarna sehinggalah terhasilnya produk akhir.

Pewarna pula diklasifikasikan berdasarkan penggunaan dan struktur kimianya. Pewarna terdiri daripada sekumpulan atom yang dikenali sebagai kromofor yang bertanggungjawab terhadap warna. Air sisa tekstil sukar dirawat kerana dihasilkan daripada pelbagai proses yang menghasilkan pelbagai segmen air sisa, seperti pepejal terampai, selain kandungan pewarna dan keperluan oksigen kimia yang tinggi. Hal ini menyebabkan isu ekologi dan pencemaran yang serius.

Rajah 1 Peratus penyingkiran pewarna air sisa tekstil.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Lain-lain