PAKU-PAKIS DI BORNEO

Oleh: Nor Ezzawanis Abdullah Thani dan Ummul Nazrah Abdul Rahman

Kepulauan Borneo kepulauan ketiga terbesar di dunia. Sabah dan Sarawak sebahagian daripadanya. Dianggarkan bahawa antara 1
0 ribu hingga 12 ribu spesies tumbuhan berbunga dan berbuah wujud di kepulauan Borneo.

Kajian yang dilakukan oleh Soepadmo pada tahun 1995 yang diterbitkan dalam buku Tree Flora of Sabah and Sarawak menunjukkan bahawa antara 40% – 50% flora endemik di pulau dan 80% spesies endemik di Sabah dan Sarawak. Borneo merangkumi Sabah dan Sarawak (Malaysia), serta negara jiran, iaitu Brunei dan Indonesia (Kalimantan).

Diversiti tumbuhan di kepulauan Borneo sangat tinggi. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh P.S. Ashton terhadap keluarga Dipterocarpaceae, Sabah dan Sarawak direkodkan mempunyai 257 spesies. Sebanyak 156 spesies pula endemik. Daripada jumlah ini, 59 spesies endemik di Sabah dan Sarawak sahaja.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

PENGURUSAN SISA MAKANAN

Oleh: Halim Razali

Pengurusan sisa makanan di Malaysia menjadi masalah utama bagi pihak kerajaan, terutamanya dari aspek ekonomi dan penjagaan alam sekitar. Di Malaysia, lebih kurang 5.5 juta tan sisa makanan dihasilkan pada setiap tahun.

Kos pengurusan sisa makanan dari kawasan perumahan, hotel dan premis perniagaan berasaskan makanan dianggarkan berjuta-juta ringgit. Di samping itu, pemprosesan yang tidak terkawal menyebabkan pelepasan gas rumah hijau dan kewujudan aliran air bawah tanah yang bertoksik daripada sisa makanan. Fenomena ini ialah kesan daripada pusat pelupusan secara berpusat.

Sisa makanan di tapak pelupusan berpusat mewujudkan risiko yang memudaratkan kesihatan awam dan alam sekitar. Kesan kemudaratan yang berpanjangan daripada masalah ini memerlukan keprihatinan daripada semua pihak. Penyelidikan yang dilakukan pula perlu memberikan tumpuan terhadap teknologi baharu yang berasaskan pembangunan mikrob yang mampu menguraikan sisa makanan secara cekap. Hal ini terutamanya bagi sisa makanan yang wujud daripada kepelbagaian jenis makanan yang mewakili pelbagai bangsa dan kaum, ditambah dengan keadaan cuaca terkini.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Alam Sekitar

PEMBEDAHAN CAESAREAN SELAMATNYA NYAWA

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Dalam keadaan tertentu, ada wanita yang tidak dapat melahirkan bayi menerusi proses biasa. Apabila hal ini berlaku, pembedahan Caesarean perlu dilakukan. Kaedah ini ialah pilihan terbaik bagi ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.

Walaupun komplikasi kaedah ini empat kali proses kelahiran biasa, dalam keadaan tertentu, kaedah ini perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak yang berada di dalam kandungan. Risiko lain, seperti jangkitan kuman dan komplikasi yang berkaitan, lebih tinggi berbanding dengan bersalin secara biasa.

Bagi ibu yang menghidap penyakit tertentu, pembedahan Caesarean mungkin tidak dapat dielakkan. Sebagai contohnya, penyakit praeklampsia yang teruk ketika hamil atau keadaan bayi yang tidak sihat di dalam kandungan. Dalam hal ini, jika proses kandungan diteruskan hingga sembilan bulan, kesihatan ibu dan anak mungkin berisiko. Oleh sebab itu, pembedahan Caesarean perlu dilakukan. Pembedahan Caesarean ialah pembedahan yang melibatkan beberapa lapisan pada dinding abdomen wanita. Lapisan kulit, lapisan otot dan dinding rahim dibuka untuk membolehkan bayi dilahirkan menerusi pembedahan ini.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

ARUS SIMBAR PEMBUNUH SENYAP

Oleh: Marlini Mukhtar

Arus simbar mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang, tetapi bukanlah perkara baharu. Secara umumnya, masyarakat sering mempercayai bahawa keadaan lemas di laut berlaku disebabkan oleh pantai yang berpuaka atau gangguan makhluk halus. Yang sebenarnya, keadaan lemas ini berlaku disebabkan oleh kewujudan arus simbar, iaitu arus yang membunuh secara senyap. Arus simbar juga dikenali sebagai arus tempur dan arus pecah.

Arus simbar ialah arus atau saluran air yang terbentuk di pesisiran pantai yang bergerak menjauhi pantai dalam bentuk garis lurus. Kadar aliran ini biasanya 0.5 meter per saat (1 kaki per saat – 2 kaki per saat). Kelajuan ini dapat berubah sepantas 2.5 meter per saat (8 kaki per saat), iaitu lebih pantas berbanding dengan perenang Olimpik atau perenang yang mahir.

Apabila garis puncak ombak tiba selari dengan garisan pantai, ada dua kemungkinan arus dominan yang terbentuk di pantai. Yang pertamanya, jika tiada penghalang di zon luncur, arus yang terbentuk ialah aliran balik biasa. Namun begitu, jika ada banyak penghalang bukit pasir dan celah di zon luncur, aliran arus simbar yang menuju ke laut mungkin berlaku.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Uncategorized

RAWAT ASMA CEGAH KEMATIAN

Oleh: Nurashikin Mohammad

Asma satu daripada penyakit organ paru-paru yang biasanya dihidapi oleh kanak-kanak. Walau bagaimanapun, orang dewasa juga tidak terkecuali daripada menghidapi penyakit ini. Penyakit asma biasanya dikenali sebagai lelah dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, terma ini tidak tepat untuk menggambarkan penyakit ini.

Yang sebenarnya, asma ialah penyakit radang sistem pernafasan yang kronik (berpanjangan) yang menyebabkan salur pernafasan bengkak dan sempit, kemerahan, menghasilkan cairan lendir (mukus) dan hipersensitif. Radang ini berlaku disebabkan oleh sel yang membebaskan bahan perantara aktif ke dalam salur pernafasan.

Ada banyak faktor penyebab asma dan serangan akut yang menyebabkan pesakit sukar bernafas. Secara biasanya, asma ialah penyakit yang berkaitan dengan sejarah keluarga yang kuat, sama ada ahli keluarga menghidap asma, alergi, radang kulit (ekzema) dan resdung (rinitik alahan). Kanak-kanak yang pernah mengalami demam jerami juga berisiko untuk menghidap asma berbanding dengan kanak-kanak lain.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Kesihatan

AIDS KUCING BAHAYA

Oleh: Azri Adzhar

Bagi pemilik kucing, pasti banyak yang tidak mengetahui bahawa kucing juga terkesan dengan virus yang menyebabkan penyakit kurang daya tahan, sama seperti virus AIDS manusia. Walau bagaimanapun, kuman penyebabnya, iaitu virus kurang daya tahan kucing atau feline immunodeficiency virus (FIV), berlainan spesies dan spesifik kepada kucing. Kucing tidak dapat dijangkiti HIV daripada manusia dan manusia juga tidak dapat dijangkiti oleh FIV menerusi hubungan atau sentuhan dengan kucing yang dijangkiti.

Seperti AIDS, FIV menyerang sistem imun dan menyebabkan kucing mudah diserang oleh pelbagai jangkitan. Kucing yang diserang oleh FIV mungkin kelihatan normal dalam tempoh bertahun-tahun. Namun begitu, kucing ini akhirnya merana disebabkan oleh kekurangan daya tahan imun. Apabila menghidap AIDS, kuman yang biasa, seperti bakteria, virus, protozoa dan fungus yang ada di sekitaran mengambil kesempatan dan menyebabkan berlakunya penyakit yang serius. Tempoh masa kemandirian kucing yang dijangkiti oleh FIV pula dianggarkan lebih kurang lima tahun.

Berdasarkan kajian, didapati bahawa prevalens FIV dalam kalangan kucing sihat adalah antara 3% – 7%. Kadar ini meningkat dalam kucing yang berpenyakit atau berisiko terjangkit, iaitu antara 15% – 20%. FIV diklasifikasikan dalam kumpulan lentivirus dan retrovirus. Ciri lentivirus ialah tindakannya perlahan, tetapi berpotensi membunuh. FIV berada dalam keluarga virus yang sama seperti virus kurang daya tahan manusia (HIV).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Sains Veterinar

ULAT MULUNG MAKANAN EKSOTIK

Oleh: Chua Hun Pin

Negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai Bumi Kenyalang amat terkenal dengan pelbagai jenis sumber makanan istimewa yang jarang-jarang ditemukan di tempat lain. Antaranya termasuklah makanan tradisional yang berasaskan ulat, seperti ulat mulung.

Ulat mulung dikenali sebagai ulat sagu atau ulat rumbia kerana diperoleh daripada batang pokok sagu. Ulat mulung berwarna putih kekuningan. Saiznya sebesar ibu jari dengan berat lebih kurang lapan gram. Dalam kalangan masyarakat tempatan, ulat ini turut dikenali sebagai si’at (bahasa Melanau), sokot (bahasa Bidayuh) dan tendoh (bahasa Iban).

Ulat mulung ialah larva kumbang buyun (Rhynchophorus ferrugineus dan Rhynchophorus vulneratus) yang juga dikenali sebagai kumbang belalai atau kumbang gajah. Kumbang dewasa ini bertelur di dalam batang pokok sagu. Telur ini menetas menjadi ulat mulung. Selain kumbang buyun, larva spesies Rhynchophorus lain turut dijadikan sebagai makanan di negara lain, termasuklah R. phoenicis di Afrika dan R. palmarum di negara barat.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Sains Tumbuhan

GELOMBANG OTAK MANUSIA ISTIMEWA

Oleh: Nurfateh Hamzah dan Sharifah Aida Shekh Ibrahim

Gelombang otak mula dikaji pada tahun 1875 oleh Richard Caton, ahli sains British, yang berumur 33 tahun. Kajian penyelidikan gelombang otak ini hanya dilakukan terhadap haiwan. Pada tahun 1912, data gelombang otak haiwan berjaya divisualisasikan oleh Pravdich-Neminski, ahli fisiologi Rusia, dengan menggunakan elektroserebrogram.

Seiring dengan perkembangan teknologi, pada tahun 1924, Hans Berger, ahli psikiatri Jerman, melakukan penyelidikan gelombang otak pertama terhadap manusia. Beliau mencipta alat untuk merekodkan gelombang otak dengan menggunakan elektrod yang dilekatkan pada kulit kepala yang dikenali sebagai elektroensefalogram (EEG).

Gelombang otak pertama yang dikenal pasti olehnya ialah gelombang alfa, iaitu pada frekuensi 10 Hz. Yang seterusnya, beliau berjaya menemukan gelombang otak pada frekuensi antara 15–20 Hz yang dikenali sebagai gelombang beta. Selepas penyelidikan ini, bermulalah evolusi penyelidikan dalam bidang neurologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Sains Neuron

POKOK ASAM BATU BERMANFAAT

Oleh: Rafidah Abdul Rahman, Ummul Nazrah Abdul Rahman dan Siti Nor Azira Hussain

Begonia atau lebih dikenali sebagai pokok asam batu termasuk dalam keluarga Begoniaceae. Tumbuhan ini turut dikenali sebagai reriang atau heriang. Dalam keluarga Begoniaceae, hanya ada dua genus, iaitu Begonia dan Hillebrandia (hanya satu spesies ditemukan di Hawaii). Nama genus Begonia adalah bersempena dengan nama Michel Bégon (tahun 1638 – 1710) yang pernah menjadi Gabenor Perancis (koloni Saint-Doningue atau Haiti).

Begonia memiliki daun yang cantik dengan pelbagai bentuk, warna, corak dan tekstur yang menakjubkan, serta jarang-jarang dapat dilihat pada tumbuhan lain. Selain itu, tumbuhan ini memiliki ciri asimetri yang ketara pada pangkal daunnya, iaitu sebelah daun yang lebih besar. Permukaan atas daun tumbuhan ini selalunya berwarna hijau, manakala permukaan bawahnya berwarna kemerahan atau perak keputihan.

Di samping itu, daun Begonia juga mempunyai permukaan, sama ada licin atau memiliki rerambut halus. Keunikan dan kecantikan daun Begonia menjadikan tumbuhan ini begitu dikenali sebagai tumbuhan landskap dan hiasan, serta mempunyai kepentingan komersial dalam perniagaan hortikultur.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

AWASI HERNIA

Oleh: Rehanah Mohd. Zain

Hernia berlaku apabila isi pada rongga badan tersembul keluar dari kawasan yang sepatutnya. Secara biasanya, hernia berlaku pada bahagian usus atau tisu lemak di abdomen, yang mengelilingi bahagian dalam membran nipis yang menggarisi bahagian
dalam rongga. Pada tempat yang berlakunya hernia ini, salur darah menyempit, serta bekalan darah ke bahagian ini tersekat dan tidak mengalir dengan lancarnya.

Dianggarkan bahawa antara 800 hingga 1000 lelaki dalam sejuta menghidap penyakit hernia tidak langsung (hernia kongenital). Hernia langsung pula kebanyakannya dihidapi oleh lelaki yang berumur dalam lingkungan antara 40-an hingga 60-an. Lelaki berisiko untuk menghidap hernia 10 peratus lebih tinggi berbanding dengan wanita.

Contoh hernia yang dihidapi oleh pesakit ialah hernia inguinal. Sebanyak 75% hernia adalah daripada jenis ini. Kekerapan hernia inguinal ini pada lelaki 25 kali wanita. Hernia femoral pula biasanya berlaku pada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut tak terturunkan yang tidak dapat ditolak masuk semula. Hernia hirisan pula berlaku pada kadar antara 2% – 10% sahaja yang memerlukan pembedahan abdomen. Selain itu, ada juga hernia epigastrik, hernia insisional dan hernia umbilikal yang terjadi pada sekitar usus.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Sains Perubatan