POPI TUMBUHAN SUCI

Oleh: Siti Nazurah

Terbentang seluas mata memandang, sebuah ladang bunga popi putih yang memukau pandangan. Wajah jelita bunga popi menghadap langit biru tenang dihiasi oleh awan putih gebu. Matahari terbit dan galak memancar cahaya menjadi nadi kehidupan. Bunga popi yang putih suci itu bagaikan lukisan cantik pada kanvas.

Bunga popi di ladang ini adalah daripada keturunan yang boleh menghasilkan opium. Bagi yang tidak berupaya untuk melahirkan zuriat dadah keturunan opiat, lazimnya bunga popi itu dijadikan sebagai tanaman hiasan untuk menyerikan taman dan laman.

“Aduh! Aduh! Sakit!” kedengaran suara manja Popi V mengaduh kesakitan.

Sebahagian daripada hasil tanaman ladang ini dituai dengan menggunakan mesin, manakala sebahagian lagi dituai dengan menggunakan kaedah tradisional. Kedua-dua kaedah ini masih diamalkan sehingga kini.

Garis selari halus ditoreh secara berhati-hati pada kapsul biji benih kehijauan yang berbentuk bola pingpong. Kapsul biji benih ini ditoreh secara vertikal dengan menggunakan pisau sadap. Getah pekat seputih susu menitis perlahan-lahan, kemudian mengalami proses pengoksidaan dan pengentalan. Yang seterusnya, getah ini bertukar menjadi getah kental berwarna coklat kehitaman gelap.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Cerpen

SISA DAPUR KITAR SEMULA

Oleh: Zarina Zakaria dan Mohd. Azlan Mohd. Ishak

Pada setiap hari, manusia menghasilkan sejumlah besar sisa dapur dan sisa makanan. Berdasarkan statistik suku pertama tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dilaporkan bahawa rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 17 800 tan metrik sisa dapur dan sisa makanan pada setiap hari. Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya 5000 tan metrik ialah makanan yang masih tidak terusik.

Secara puratanya, setiap isi rumah menghasilkan lebih kurang 1.1 kg sisa dapur dan sisa makanan pada setiap hari. Longgokan sisa dapur dan sisa makanan ini makin bertambah pada setiap tahun seiring dengan pertambahan penduduk. Sumber sisa dapur dan sisa makanan yang tertinggi ialah pembuangan domestik, diikuti oleh premis makanan. Pembuangan sisa dapur dan sisa makanan ini menghasilkan sekitaran yang busuk, tercemar dan sesuai bagi penularan penyakit. Hal ini seterusnya mewujudkan kehidupan yang tidak sihat.

Kerajaan Malaysia, menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) memperkenalkan beberapa polisi untuk mengawal keadaan ini. Antaranya termasuklah penyisihan sampah berdasarkan kategori secara mandatori berkuat kuasa pada 1 September 2015.

Jadual 1 Kumpulan makanan dan contoh sisa makanan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Bioteknologi

SPF PASOH BERTARAF ANTARABANGSA

Oleh: Musalmah Nasardin, Salleh Mat, Yao Tze Leong dan Ahmad Awang

Berada pada koordinat 2.98ºU 102.31ºT, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Pasoh terletak di daerah Jempol, Negeri Sembilan, lebih kurang 140 km dari Kuala Lumpur. SPF ini terletak di kawasan Hutan Simpan Pasoh yang berkeluasan 13 900 ha.

Hutan Simpan Pasoh menerima purata hujan tahunan yang rendah, iaitu 1842 mm dengan purata suhu 25.4°C. Kawasan ini antara kawasan terkering di Semenanjung Malaysia. Hutan simpan Pasoh ialah hutan hujan tanah pamah, iaitu hutan yang berada pada ketinggian antara 0 meter hingga 600 meter dari aras laut.

Di samping itu, Hutan Simpan Pasoh menjadi habitat bagi ribuan spesies flora dan fauna. Hutan ini juga didominasi oleh keluarga dipterokarpa, iaitu tumbuhan yang mempunyai buah dengan dua sayap. Hutan ini unik kerana dikategorikan sebagai sejenis pulau hutan yang terpisah daripada tulang belakang rangkaian hutan di Semenanjung Malaysia yang bersambung dari Perlis hingga Johor dan dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan getah.

Aktiviti penyelidikan di hutan simpan Pasoh bermula sejak tahun 1964. Pada ketika itu, sekumpulan ahli sains dari Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI), Lembaga Getah Malaysia dan Universiti Malaya melihat potensi besar yang ada pada hutan ini untuk dijadikan sebagai makmal semula jadi bagi penyelidikan ekologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

AIR KELAPA TUA MEDIUM PENGHASILAN KAPSUL

Oleh: Nur Syafiqah Kamarudin, Norliza Abd. Rahman, Mohd. Sahaid Khalil dan Siti Kartom Kamarudin

Selulosa bakteria (SB) ialah biopolimer yang tidak bertoksik dan sangat sesuai digunakan dalam industri makanan dan perubatan. Selulosa bakteria digunakan sejak berabad-abad dahulu sebagai bahan mentah daripada sumber pokok dan tumbuhan untuk pelbagai kegunaan.

Biopolimer ini dikaji oleh Anselme Payen pada tahun 1839. Beliau mendapati bahawa bahan ini mempunyai kandungan yang sama seperti kanji, tetapi berbeza dari segi struktur dan sifat.

SB mempunyai formula molekul (C6H10O5)n yang sama seperti selulosa tumbuhan, tetapi berbeza dari segi ciri kimia dan fizikal. SB lebih baik berbanding dengan selulosa tumbuhan kerana tahap ketulenan, pempolimeran dan indeks penghablurannya, tinggi. Selain itu, SB mempunyai kekuatan tegangan dan kekuatan memegang air yang tinggi berbanding dengan selulosa tumbuhan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: KIMIA

PERIUK KERA TUMBUHAN KARNIVOR

Oleh: Sulidzah Rainin

Alam tumbuhan alam yang penuh misteri. Ada pelbagai tumbuhan yang pelik dan unik di alam ini. Tumbuhan karnivor antara tumbuhan yang dianggap sebagai misteri dan unik. Hutan hujan tropika satu daripada habitat semula jadi yang menjadi tempat kediaman bagi tumbuhan misteri ini.

Kepelbagaian flora dan fauna menjadikan hutan hujan tropika kaya dengan jumlah spesies tumbuhan dan haiwan. Di hutan hujan tropika, ada sejenis tumbuhan karnivor atau tumbuhan pemakan haiwan yang dikenali sebagai periuk kera. Secara umumnya, tumbuhan dinamakan berdasarkan bentuk fizikalnya yang menyerupai benda tertentu. Walau bagaimanapun, faktor lain juga mempengaruhi nama yang diberikan kepada tumbuhan.

Pokok periuk kera mendapat namanya berdasarkan bentuknya yang seakan-akan periuk yang mempunyai penutup. Di seluruh dunia, ada 700 spesies tumbuhan karnivor yang direkodkan. Spesies yang terbesar dalam kumpulan tumbuhan karnivor ialah spesies periuk kera atau Nepenthes spp.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Flora

SEKAM PADI SUMBER SILIKA

Oleh: Nadiah Ameram

Tanaman padi banyak diusahakan di Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu dan Perak. Tambahan lagi, dataran Kedah dan dataran Kelantan dikenali sebagai jelapang padi negara. Antara jenis padi yang ditanam di Malaysia termasuklah Padi Mahsuri, Padi Murni, Sri Malaysia, Setanjung, Sekembang, Seberang, Makmur dan MR 84.

Sekam ialah bahagian daripada biji-bijian yang berupa lembaran yang kering, bersisik, dan tidak boleh dimakan, yang melindungi bahagian dalam padi (endospermium dan embrio). Sekam juga dapat ditemukan pada hampir semua bahagian rumput (Poaceae).

Namun begitu, ada juga variasi biji-bijian tanpa sekam, seperti jagung dan gandum, yang ditemukan. Dalam bidang pertanian, sekam digunakan sebagai campuran pakan, alas kandang, dicampur di tanah sebagai kompos, serta dibakar dan arangnya dijadikan sebagai media tanaman. Selain itu, sekam padi juga menjadi pelindung keras yang menutupi beras.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Bioteknologi

TITABOS BANTU PILIH BUKU

Oleh: Aznilinda Zainuddin dan Munirah Onn

Titabos atau lebih dikenali sebagai alat pemilih buku berasaskan jadual waktu ialah produk yang boleh digunakan oleh pelajar sekolah untuk membantu memilih buku dengan cara merujuk jadual waktu. Produk ini menggunakan kod berwarna dan alat pengesan warna.

Konsep warna digunakan kerana mudah dibezakan dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk mengemas buku sendiri. Hal ini dapat menjadikan kanak-kanak lebih bertanggungjawab dan mampu berdikari.

Dengan penggunaan Titabos, kanak-kanak yang berusia seawal umur tujuh tahun dapat menyusun dan mengemas buku sendiri dalam tempoh kurang daripada 10 saat. Titabos ini berfungsi dengan memastikan buku teks disusun berdasarkan kedudukan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang ditetapkan. Dalam inovasi ini, rak buku dilabelkan untuk memudahkan pengguna.

Manfaat Produk
1. Mempercepat proses pemilihan buku berdasarkan jadual waktu.
2. Meringankan beban pengguna, terutamanya pelajar sekolah rendah.
3. Menggunakan tenaga elektrik yang sangat rendah, iaitu 5 V sahaja.
4. Tidak menggunakan ruang yang besar dan boleh dipasang pada rak buku yang sedia ada.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: INOVASI

AIR SEJUK RAWAT DEMAM?

Oleh: Mohammad Amir Wan Harun

Demam ialah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Ada orang yang mengalami demam sehingga beberapa kali dalam tempoh setahun. Demam juga menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa dan boleh memberikan kesan yang serius jika dibiarkan begitu sahaja.

Apabila seseorang itu demam, tindakan yang biasa dilakukan adalah dengan memakan ubat demam. Ada juga orang yang mandi untuk mengurangkan suhu badan yang meningkat semasa demam. Walau bagaimanapun, ada polemik dalam kalangan masyarakat, sama ada perlu mandi dengan air panas atau air sejuk.

Berdasarkan teori perubatan moden, penggunaan air sejuk ais, air ais, atau ketul ais ketika demam tidak menurunkan suhu tubuh badan, tetapi meningkatkan lagi suhu badan. Hal ini dikatakan demikian kerana air yang dingin menyebabkan pembuluh darah pada kulit mengecut sehingga rasa panas yang dibawa oleh darah ke kulit terhalang.

Kaedah Rawatan Demam dengan Menggunakan Air Sejuk
1. Mulakan dengan bacaan doa.
2. Menyiram atau merendam badan di dalam air sejuk pada waktu awal pagi secara berperingkat daripada kaki hingga atas kepala.
3. Berhenti seketika daripada menyiram atau keluar sebentar daripada air untuk memberikan ruang kepada tubuh badan untuk meningkatkan suhu.
4. Ulangi siraman atau rendaman tubuh badan di dalam air. Proses ini perlu diulangi tiga kali.
5. Siraman atau rendaman ini hendaklah dilakukan pada waktu awal pagi sebelum matahari terbit.
6. Siraman atau rendaman ini diulangi sekurang-kurangnya tiga hari pada waktu pagi walaupun demam kebah pada hari kedua. Perkara ini penting untuk memastikan demam tidak berulang. Jika masih tidak sembuh, proses ini diteruskan hingga lima, tujuh atau sembilan hari pada waktu pagi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: SAINS ISLAM

SARAPAN CEGAH PENYAKIT

Oleh: Mohd. Faizal Mat Salleh

Pengambilan sarapan ialah amalan rutin bagi sesetengah orang. Amalan ini dilakukan pada setiap pagi dan sebelum memulakan sesuatu urusan, seperti belajar atau bekerja. Namun begitu, bagi sesetengah orang, bersarapan bukanlah suatu kewajipan. Malah, ada juga orang yang tidak bersarapan kerana bukan suatu amalan atau budaya bagi dirinya.

Yang sebenarnya, pengambilan sarapan ialah pemula aktif bagi metabolisme untuk membantu membakar kalori di dalam badan sepanjang hari. Sarapan juga membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh badan untuk melakukan urusan harian, selain membantu seseorang itu untuk fokus di tempat kerja atau sekolah. Oleh hal yang demikian, sarapan ialah suatu hidangan yang tidak sepatutnya dipandang ringan pada setiap hari.

Banyak kajian mendapati bahawa sarapan baik untuk kesihatan. Antaranya termasuklah meningkatkan ingatan dan tumpuan, menurunkan tahap kolesterol jahat, iaitu lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) di dalam darah, serta mengurangkan risiko penyakit diabetes, penyakit jantung dan lebihan berat badan.

Sarapan tidak boleh diambil dalam kuantiti yang banyak.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Sains Pemakanan

WAJAH DAN HARAPAN BAHARU DBP

Oleh: S. Ahamd

Sejak awal penubuhannya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak pernah terlepas daripada tanggungjawab untuk mengembangkan dan mendaulatkan bahasa Melayu. Kendatipun, tanggungjawab dan tugas ini bukan terletak di atas bahu DBP sahaja, malah harus mendapat sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak. Perjuangan ini tidak pernah selesai. Dalam usaha merentasi cabaran dan dugaan untuk memartabatkan bahasa Melayu, pasti ada sahaja rintangan tertentu yang terpaksa dihadapi oleh DBP serta golongan dan individu yang turut mencintai bahasa kebangsaan.

Baru-baru ini, terdapat pelbagai pandangan dan pendapat yang dilontarkan oleh pelbagai pihak tentang isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Terdapat pandangan umum yang menyatakan bahawa jika UEC dilaksanakan, maka kedaulatan dan martabat bahasa Melayu akan terhakis.

Oleh itu, sidang media khas telah dilaksanakan oleh DBP pada 27 Julai bagi menjelaskan kedudukan DBP dalam isu tersebut. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom dalam sidang media tersebut menyatakan bahawa DBP menyokong kenyataan YB Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh dan holistik berkaitan dengan isu pengiktirafan UEC dilaksanakan.

Profesor Dr. Mohamed Hatta memberikan jaminan banyak agenda baharu berkaitan bahasa dan kesusasteraan 
akan terus dilaksanakan oleh DBP.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Fokus Khas