Comments Off

MANGSA PEMBURU

Oleh: Lee Keok Chih

Tugas itu dipilih atau disanggupi secara sukarela. Aku disuruh untuk mengesan dan menjejaki bekas objek uji kaji Lot 6. Dengan bantuan Joe dan Tina, aku mampu menyelesaikan tugas ini dengan mudahnya. Selesai sahaja tugas itu, wang upahan dibayar tepat pada masanya seperti yang dijanjikan. Dengan bayaran upah yang terjamin dan lumayan, aku makin bersemangat.

Kini, lebih dua puluh objek uji kaji Lot 6 dikesan dan berjaya dijejaki. Kejayaan ini jelas meningkatkan ego dan rasa bangga aku. Namun begitu, Joe mengingatkan aku tentang sesuatu yang tidak kena. Menurut Joe, semua bekas objek uji kaji yang kami kesan dan jejaki itu mengalami kemalangan. Mereka mati selepas aku mengemas kini dan menghantar maklumat mereka kepada pihak majikan. Pada ketika itu, senarai nama baharu diberikan dan aku disuruh untuk menjejak objek lain. Dalam arahan baharu itu, nama Zarim, bekas objek uji kaji dikenal pasti sebagai objek istimewa, ditekankan.

Aku tidak mengetahui keistimewaan Zarim. Jika bukan kerana Joe yang mengingatkan aku, pantang aku mencungkil atau merisik keistimewaan Zarim. Tugas aku hanya mengesan dan menjejak objek. Selepas maklumat objek dikemas kini dan dihantar kepada pihak majikan, tugasan aku selesai. Kemudian, aku hanya perlu menunggu wang upahku dibayar.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Cerpen

SIKAP PENENTU KEJAYAAN

Oleh: Azizi Ahmad

Secara umumnya, orang yang mempunyai kecerdasan akal yang tinggi, pastinya melebihi orang lain dalam semua perkara. Hal ini dikatakan demikian kerana kemampuan akalnya dapat membantu dirinya menjadi lebih cemerlang. Namun begitu, penyelidikan terkini daripada Universiti Stanford mengubah kenyataan ini.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi, Carol Dweck, sikap ialah penentu kejayaan yang lebih baik berbanding dengan darjah kepintaran (IQ). Ahli psikologi ini menghabiskan seluruh tempoh kerjayanya untuk mengkaji sikap dan prestasi kerjaya.

Menurut Dweck, teras sikap manusia terbahagi kepada dua, iaitu ketetapan minda dan perkembangan minda. Ketetapan minda ialah seseorang itu mempercayai dan meyakini tahap keupayaan diri dan menganggapnya sebagai tidak dapat berubah. Hal ini mewujudkan masalah apabila seseorang itu dicabar. Hal ini dikatakan demikian kerana apa-apa yang kelihatan lebih daripada kemampuannya menyebabkan orang itu berputus asa dan tidak ketahuan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: PSIKOLOGI

PSEUDOINSOMNIA HILANG NIKMAT TIDUR

Oleh: Siti Atiyah Ali

Tidur ialah rutin harian pada waktu malam, terutamanya selepas penat bekerja pada waktu siang. Sistem tubuh dan sistem otak memerlukan rehat antara tempoh enam jam hingga lapan jam untuk menjadi segar semula supaya dapat bekerja pada hari berikutnya.

Waktu tidur yang optimum diperlukan untuk mengembalikan kesegaran badan pada setiap hari. Berdasarkan kajian, apabila pemandu kenderaan tidur kurang sejam daripada kadar optimum pada waktu malam, pemandu ini berpotensi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Secara realitinya, masalah tidur bukan penyakit yang asing bagi sesetengah orang. Semua orang mungkin pernah mengalami masalah tidur sekali pada sepanjang hayatnya. Antaranya termasuklah masalah sukar tidur pada waktu malam, terbangun pada waktu malam dan sukar tidur semula dan masalah pernafasan ketika tidur (apnea).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Sains Neuron

SARAP HUTAN PENTING

Oleh: Mohd Afzanizam Muda

Ekosistem hutan hujan tropika ialah sistem ekologi yang kompleks yang saling berhubung kait untuk memastikan interaksi dan kemandirian sesuatu komuniti (hidup dan bukan hidup), terus wujud. Produktiviti dalam ekosistem daratan berhubung kait secara langsung dengan kitar nutrien yang menghubungkan tumbuhan dengan tanah.

Dalam ekosistem hutan, secara umumnya, produktiviti primer dinilai berdasarkan penghasilan sarap hutan. Hal ini dikatakan demikian kerana daun kering ialah sumber utama karbon organik tanah dan kitar nutrien tumbuhan. Ahli ekologi mentakrifkan kitar nutrien sebagai penggunaan, perubahan, gerakan dan guna semula nutrien di dalam tanah.

Nutrien pula merujuk elemen yang diperlukan oleh tanah dalam proses biologi organisma. Secara lazimnya, ada tiga kitar nutrien utama, iaitu kitar nitrogen, kitar karbon dan kitar fosforus. Nutrien ini memasuki ekosistem daratan menerusi proses geologi, hidrologi dan biologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

AKTIVITI FARMAKOLOGI TUMBUHAN BANTU HASILKAN UBAT

Oleh: Rosli Noormi

Kajian tentang ubat atau farmakologi yang menjurus kepada kepelbagaian aktiviti farmakologi tumbuhan, terutamanya yang bernilai dari segi perubatan, sering dibincangkan oleh ahli sains. Antara nilai ini termasuklah aktiviti antimikrob, antioksidan, analgesik, ketoksikan, penyembuhan luka, serta analisis kualitatif dan kuantitatif terhadap metabolit sekunder tumbuhan.

Sumber semula jadi digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat jangkitan penyakit sejak dahulu lagi. Tumbuhan ialah sumber utama dalam perubatan herba. Sejak belakangan ini, pelbagai produk tumbuhan dikaji untuk melihat aktiviti antimikrobnya terhadap bakteria dan kulat. Sebilangan besar bahagian daripada tumbuhan ubatan ini digunakan sebagai ekstrak dadah mentah yang mempunyai pelbagai tujuan perubatan. Tumbuhan yang berada di lokasi yang berbeza-beza di dunia ini diekstrak dan aktiviti antimikrobnya dikaji secara individu.

Secara umumnya, tumbuhan ubatan kaya dengan agen antimikrob. Menurut pengamal perubatan tradisional, tumbuhan ubatan lebih murah dan berkesan untuk merawat jangkitan penyakit berbanding dengan antibiotik buatan.

Ginseng mempunyai kesan antibakteria.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: FARMAKOLOGI

PATRIOT MELAYU DALAM ARMyPat

Oleh: Mudiana Mokhsin@Misron

Dalam era teknologi yang makin berkembang, generasi yang dilahirkan pada tahun 2000 dan ke atas yang tergolong dalam Gen Z di Malaysia makin kurang berminat untuk mengetahui perjuangan patriot Melayu. Hal ini disebabkan oleh medium penyampaian kandungan yang konvensional dan bersifat tidak interaktif. Kebanyakan sekolah menggunakan buku teks, video atau simulasi di dalam kelas untuk memberikan gambaran tentang perjuangan patriot Melayu.

Berdasarkan senario ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik merangkap Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Universiti Teknologi MARA, bersama-sama dengan pelajar seliaannya mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi yang dikenali sebagai ARMyPat (dahulunya ARMyF) untuk membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Aplikasi berasaskan platform mudah alih Android ini dibangunkan supaya golongan muda berminat untuk mempelajari perjuangan patriot Melayu dengan menggantikan maklumat berbentuk teks atau imej statik ke dalam kaedah pembelajaran yang lebih interaktif.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: INOVASI

FORSEPS BANTU KELAHIRAN BAYI

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Dalam proses kelahiran bayi, bantuan luar mungkin diperlukan disebabkan oleh faktor tertentu. Antaranya termasuklah bayi tidak memperoleh oksigen yang mencukupi atau ibu tidak lagi berdaya untuk meneran. Satu daripada bantuan yang dapat diberikan ialah penggunaan forseps. Alat ini diletakkan pada bahagian kepala bayi supaya bayi dapat ditarik keluar. Namun begitu, sebelum forseps digunakan, doktor berbincang dengan pesakit terlebih dahulu tentang kelahiran bayi berbantukan forseps ini.

Secara lazimnya, forseps digambarkan seperti sudu garpu salad buatan keluli tahan karat atau penyepit gula yang besar. Forseps terdiri daripada dua bahagian bersilang. Hujungnya melengkung untuk mencengkam atau memegang kepala bayi.

Secara biasanya, ibu memerlukan kaedah kelahiran bayi sebegini disebabkan oleh faktor tertentu. Sebagai contohnya, bayi mengalami kekurangan oksigen pada peringkat kedua kelahirannya, ibu berasa sangat letih dan tidak berupaya untuk meneran lagi dan bayi tidak memberikan tindak balas atau kemajuan semasa proses meneran. Selain itu, ibu yang mengalami masalah perubatan, seperti sakit jantung, yang menyebabkan ibu tidak dapat meneran dalam tempoh yang terlalu lama juga menyebabkan forseps terpaksa digunakan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

AGERATUM L. TUMBUHAN UBATAN

Oleh: Wei Cheong

Ageratum L. ialah tumbuhan herba yang digunakan secara tradisional di seluruh dunia, khususnya di kawasan tropika dan subtropika. Kata Ageratum berasal daripada bahasa Yunani, iaitu “a geras” yang bermaksud tidak uzur dan merujuk kemandirian tumbuhan ini di sekitarannya.

Nama Inggeris bagi tumbuhan ini ialah “goat weed” atau “billy goat weed”. Nama ini diberikan kepada tumbuhan ini disebabkan oleh baunya yang pelik, iaitu menyerupai kambing, selain disukai oleh masyarakat Australia. Nama lain bagi tumbuhan ini ialah “menstrato” dan “catinga-de-bode”.

Tumbuhan ini biasanya ditemukan di kawasan yang menjadi tempat pembuangan, kawasan lapang yang terbiar, kebun dan hutan belukar, serta kadangkala ditemukan di tepi jalan. Tumbuhan ini berasal daripada keluarga Asteraceae. Kebanyakan tumbuhan dalam keluarga ini ialah tumbuhan herba.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Sains Tumbuhan

KOLELITIASIS PENYAKIT WARISAN

Oleh: Ikhwan Sani Mohamad

Pundi hempedu ialah kantung berongga yang terletak betul-betul di bawah hati. Bagi manusia, pundi hempedu berukuran lebih kurang lapan sentimeter panjang dan berdiameter empat sentimeter apabila kembang sepenuhnya. Pundi hempedu terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu fundus, badan dan leher.

Bahagian leher meruncing dan bersambung dengan salur hempedu melalui duktus sistik, yang kemudiannya bersambung dengan duktus hepatik utama untuk membentuk duktus hempedu utama. Pada leher pundi hempedu, ada lipatan yang dikenali sebagai kantung Hartmann. Tempat inilah yang batu hempedu biasanya tersangkut.

Bahagian leher meruncing dan bersambung dengan salur hempedu melalui duktus sistik, yang kemudiannya bersambung dengan duktus hepatik utama untuk membentuk duktus hempedu utama. Pada leher pundi hempedu, ada lipatan yang dikenali sebagai kantung Hartmann. Tempat inilah yang batu hempedu biasanya tersangkut.

Batu hempedu campuran.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Sains Perubatan

KUMBANG KURA-KURA PENYELAMAT PETANI

Oleh: Mohamad Khairul Anuar Mohd. Isa

Kumbang kura-kura atau “ladybugs” atau “lady beetle” sejenis serangga yang comel. Ada lebih kurang 5000 spesies kumbang ini di dunia. Secara umumnya, serangga ini mempunyai tujuh bintik hitam dengan badannya berkilat. Kumbang ini mempunyai badan berbentuk kubah dengan enam kaki yang pendek.

Bergantung pada spesies, kumbang ini dapat mempunyai bintik, jalur atau tiada tanda sama sekali, dengan warna cangkerang, sama ada merah, jingga atau kuning. Kumbang kura-kura mempunyai kepala berwarna hitam dengan tompok putih pada kedua-dua sisi kepalanya. Ada juga orang yang menyatakan bahawa serangga ini kelihatan seperti buaya kecil.

Kumbang ini sejenis serangga daripada keluarga Coccinellidae. Dari segi morfologi, kumbang ini mempunyai bahagian abdomen, badan dan kepala. Dalam kebanyakan kepercayaan, serangga ini dianggap sebagai pembawa nasib baik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: SAINS HAIWAN