Atasi Kesan Perbandaran

Oleh Mohd Syukri Anwar

Jika dibandingkan jumlah bangunan dan kenderaan pada era 1960-an dengan waktu ini, terlalu banyak perbezaannya. Dari sudut kemajuan, perkara ini suatu yang harus dibanggakan. Namun begitu, dari sudut kesihatan masyarakat, banyak kesan buruk yang makin hari makin bertambah dan sukar dielakkan.

Hal ini disebabkan oleh sekitaran yang ada ini tidak dapat diubah semudah menyusun semula lego permainan, jika tidak menepati kehendak pemainnya. Maka, hiduplah masyarakat dalam suatu bekas tertutup yang menyebabkan mereka tidak dapat keluar daripadanya.

Perancangan perbandaran yang strategik perlu mengambil kira faktor yang mendirikan ekosistem ini. Tiada satu unsur yang dapat dikecualikan melainkan semua hak unsur ini ditunaikan sebelum tanah dikorek, bukit ditarah, hutan ditebang, haiwan dibunuh dan bangunan didirikan. Semua unsur ini saling berkaitan rapat antara satu dengan lain menerusi hubungan mangsa – pemangsa, persaingan, simbiosis, mutualisme dan parasitisme.

Antara kesan paling teruk yang dideritai oleh masyarakat pada masa ini termasuklah strok haba atau fenomena pulau haba. Fenomena ini dikaitkan dengan ketumpatan bangunan yang tinggi dan struktur bangunan di bandar yang menyerap sinaran matahari, penggunaan bahan bangunan yang menyerap haba, kekurangan kawasan hijau, dan pengeluaran haba antropogenik.

Gesaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya rakyat berjaga-jaga terhadap tanda awal strok haba menunjukkan bahawa fenomena ini harus dipandang serius oleh masyarakat dan pihak yang bertanggungjawab. Strok haba dapat dikenal pasti apabila bacaan suhu badan melebihi 40.5 darjah Celsius berbanding dengan suhu biasa badan manusia, iaitu 37 darjah Celsius.

Penyelidik tempatan perlu bersikap lebih proaktif dalam menghasilkan produk yang mengurangkan kesan buruk perbandaran ini. Produk ini perlu meliputi bahan binaan bangunan yang menggunakan teknologi hijau, mesra alam dan mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi oleh masyarakat.

Di samping itu, jumlah kategori utama yang mensyaratkan penilaian impak alam sekitar (EIA) perlu ditambah. Hal ini penting supaya setiap aspek yang berkaitan dengan alam sekitar, walaupun kecil dinilai sebelum suatu projek itu diteruskan.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 09 2014

Hantar Maklum Balas Anda