Genetik Membongkar Asal Usul Manusia

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dia bukan seorang tukang tilik atau nujum, tetapi apabila ditanya apa-apa sahaja tentang keturunan, pasti dia mampu menjawabnya. Begitu juga, jika dibawa seseorang ke hadapannya untuk dianalisis susur galurnya, dengan mudah dapat diberitahu nama datuk dan neneknya.

Sama ada yang bertanya itu berhidung mancung atau pesek, berambut lurus atau ikal, tinggi atau rendah, cerah atau gelap, semua orang ini dapat diketahui ayah, ibu dan moyangnya. Orang yang dimaksudkan ini ialah Abu Bakar As-Siddiq, pakar rujuk keturunan pada 1400 tahun yang lalu.

Ciri fizikal, iaitu fenotip yang ada pada setiap orang merupakan gambaran bagi ciri genotip yang membina dirinya. Kini, untuk mencari orang yang mampu mengenal pasti keturunan berdasarkan ciri fenotip semata-mata merupakan suatu perkara yang sukar. Hal ini dikatakan demikian kerana populasi manusia terlalu banyak dan berlaku perkahwinan silang yang merentasi bukan sahaja kaum, malah negara dan benua. Keadaan ini berlaku selama beberapa generasi.

Dalam tempoh beratus-ratus tahun ini, keturunan yang terhasil mempunyai variasi fizikal yang sangat banyak. Hal ini menyebabkan pengecaman berdasarkan ciri fizikal sukar dilakukan. Bagi mengatasi masalah ini, manusia mencari pelbagai kaedah untuk mengatasinya. Akhirnya, bidang genetik membantu manusia mengkaji asal usul keturunan menerusi kajian terhadap asid deoksiribonukleik (DNA).

Dengan kecanggihan instrumen dan alat sokongan makmal pula kajian dalam bidang genetik dapat dilakukan dengan lebih pantas dan tepat. Terkini, variasi yang dikenali sebagai polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) digunakan bagi mengkaji sejarah keturunan manusia dengan lebih tepat. SNP yang ada pada seseorang dikatakan tidak berubah, walaupun setelah berpuluh-puluh ribu tahun.

Hasilnya, kajian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap orang Melayu dan orang asli mendapati bahawa etnik Melayu Malaysia terbahagi kepada beberapa subetnik yang meliputi Jawa, Bugis dan Minang. Begitu juga kajian terhadap orang asli Temuan yang menunjukkan corak genetik yang menjurus kepada populasi Cina dan Melayu. Hal ini secara tidak langsung membongkar asal usul keturunan manusia dengan bukti saintifik yang sukar disangkal kebenarannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 2 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda