Emas yang Tertanam

Oleh Mohd Syukri Anwar

Siapa kata penyelidik di Malaysia tidak bagus dan hanya tahu menghabiskan geran yang diperuntukkan oleh kerajaan serta melakukan kajian yang tiada manfaat dan syok sendiri? Hakikatnya, tidak semua penyelidikan mempunyai produk sebagai hasil akhirnya. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan hasil penyelidikan sekadar menunjukkan penemuan dan meningkat kedalaman fakta sedia ada. Selain itu, penyelidikan menjadikan suatu fakta itu terkini, lebih tepat dan lebih lengkap.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak diterima oleh seluruh masyarakat. Mungkin, pada gambaran mereka, hasil penyelidikan mesti ditunjukkan menerusi produk. Malah, ada yang menyangka bahawa duit geran yang diperuntukkan hingga berjuta-juta ringgit pada saban tahun tanpa ada pulangan kepada masyarakat adalah suatu yang sia-sia.

Sebenarnya, banyak penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik Malaysia bermutu tinggi. Malah, banyak produk penyelidikan yang bermanfaat pada masyarakat. Malangnya, produk ini tidak diketahui dan tidak diuar-uarkan dengan meluas oleh media. Oleh sebab itu, hasil penyelidikan seolah-olah tidak sampai dan tidak diketahui oleh masyarakat.

Buktinya, sekumpulan penyelidik daripada Kumpulan Penyelidikan Simulasi dan Pemodelan Kejuruteraan Bioperubatan (BIOMEMS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Mahadi Abdul Jamil serta penyelidik bersama, Radzi Ambar dan Malik Ali membangunkan robot rehabilitasi dengan memperkenalkan sebuah prototaip lengan robotik yang dikenali sebagai penggenggam tangan tiruan (AHG).

Produk ini sekadar satu contoh daripada beribu-ribu produk lain yang masih tersimpan kemas dalam perpustakaan atau jabatan di universiti di seluruh negara. Mungkin disebabkan oleh kesukaran untuk melihatnya kerana dikategorikan sebagai koleksi tanda merah, hasil penyelidikan ini difokuskan pada individu yang berhasrat untuk merujuknya sahaja. Namun begitu, hasil inilah yang dikategorikan sebagai emas terpendam.

Dalam merakyatkan penyelidikan ini, perlu ada usaha yang proaktif daripada semua pihak. Antaranya termasuklah kerajaan, swasta, masyarakat dan media massa. Tanpa usaha daripada gabungan ini, kekallah hasil penyelidikan berharga ini dalam kutub khanah dalam tempoh berpuluh-puluh tahun lagi sebagai emas yang tertanam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 3 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda