Penyu Karah Penyu Tercantik di Dunia

Oleh Rosmawati Ghazali dan Mohd. Azam Jusoh


Penyu karah dan penyu lain wujud sejak zaman prasejarah, iaitu 150 juta tahun yang lalu. Spesies marin ini ialah haiwan reptilia purba yang masih kekal hingga kini. Bentuk fizikal penyu karah masih sama, walaupun dunia mengalami perubahan selama jutaan tahun. Saiz karapas penyu karah dapat mencapai 95 cm (24 – 37 inci). Penyu karah mudah dikenali kerana mulutnya kelihatan seperti paruh.

Masyarakat sering keliru antara penyu dengan kura-kura. Penyu tidak sama seperti kura-kura. Penyu tidak dapat membenamkan kepalanya jauh ke dalam karapas. Penyu mempunyai kelopak atas mata yang besar yang bertindak sebagai pelindung mata.

Selain itu, penyu tidak mempunyai bukaan telinga luar. Lubang telinga penyu hanya dapat dilihat seperti bukaan lubang yang kecil pada bahagian tepi kepalanya. Haiwan ini ialah reptilia marin yang tidak mempunyai gigi dan dietnya bergantung pada makanan yang lembut dan mudah ditelan. Saiz rahang penyu pula pelbagai dan bergantung pada diet dan spesies.

Umumnya, semua spesies penyu mempunyai struktur cangkerang (karapas) pada bahagian atas abdomen. Penyu karah dikenali sebagai penyu tercantik di dunia kerana mempunyai karapas yang bercorak batik keemasan. Karapas penyu karah juga mempunyai paten yang unik seakan-akan sisik yang bertindih. Saiz karapas berbeza-beza bagi setiap spesies.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda