Pelet Serat Tinggi daripada Sisa Ladang Nanas

Oleh Rosnah Shamsudin, Muhammad Fakhri Zainuddin, Noriznan Mokhtar dan Dahlan Ismail

Berdasarkan statistik daripada Laman Nanas MAEPS, pada tahun 2012, pengeluaran nanas di Malaysia merangkumi tiga peratus daripada pengeluaran nanas di seluruh dunia. Di Asia Tenggara pula, Malaysia merupakan pengeluar nanas ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Thailand dan Filipina. Pada tahun 2012, pengeluaran nanas adalah sebanyak 334 400 tan, meliputi ladang seluas 15 611 hektar dengan kira-kira 21.42 tan nanas sehektar.

Sisa pepejal atau sisa biojisim di ladang nanas ialah hasilan selepas aktiviti penuaian buah nanas daripada pokok nanas. Biasanya, pokok nanas yang terdiri daripada daun dan batang nanas dimusnahkan melalui dua cara, iaitu pembakaran dan pengitaran semula daun dan batang pokok nanas kepada baja kompos dengan kaedah pengkomposan.

Pembakaran ini dilakukan secara terbuka sebelum penanaman semula pokok nanas dilakukan oleh peladang. Kaedah pembakaran ini memberikan kesan negatif terhadap penduduk dan menjejaskan kualiti alam sekitar. Indeks pencemaran udara (IPU) dapat meningkat, seterusnya menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan terbabit.

Kaedah pelupusan sisa ladang nanas kepada baja kompos pula mengambil masa yang lama, iaitu antara dua hingga tiga bulan, sebelum tanah menjadi subur bagi proses penanaman semula. Oleh sebab itu, petani mengalami kerugian dari segi masa kerana terpaksa menunggu proses pengkomposan selesai sepenuhnya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda