Keruing Asam Spesies Terancam

Oleh Hamidah Mamat, Suhaida Mustafa dan Lillian Chua Swee Lian

Bagi orang yang tidak mengenali spesies tumbuhan, setiap tumbuhan kelihatan sama, iaitu mempunyai daun, batang, buah dan bunga. Sebaliknya, bagi ahli botani atau ahli kaji tumbuhan, setiap tumbuhan mempunyai karakter yang tersendiri. Semua spesies tumbuhan adalah unik dan dapat dibezakan berdasarkan daun, batang, buah, bunga dan bau.

Berdasarkan karakter yang unik ini, ahli botani dapat membezakan spesies setiap tumbuhan. Ahli botani juga dapat menentukan sama ada suatu spesies itu biasa ditemukan, jarang-jarang ditemukan atau merupakan spesies baharu yang belum pernah ditemukan sebelum ini. Biasanya, tumbuhan yang populasinya dapat ditemukan di banyak tempat dan mempunyai risiko atau ancaman kepupusan yang rendah mempunyai status pemuliharaan yang rendah. Walau bagaimanapun, tumbuhan yang populasinya hanya dapat ditemukan pada satu atau dua tempat dapat dikumpulkan dalam kumpulan tumbuhan yang mempunyai status pemuliharaan yang tinggi.

Contohnya, pokok merawan kanching yang hanya dapat ditemukan di Hutan Simpan Kanching mempunyai status pemuliharaan yang tinggi dan diberi status sangat terancam. Tumbuhan yang dikelaskan sebagai terancam memerlukan tindakan perlindungan yang sewajarnya daripada manusia bagi melindungi spesies tumbuhan ini daripada ancaman kepupusan.

Perubahan guna tanah dan pengusahasilan hutan menyebabkan populasi dan habitat asal tumbuhan makin berkurangan. Hal ini secara langsung mengakibatkan spesies tumbuhan tertentu terancam. Sama seperti haiwan, tumbuhan juga memerlukan perlindungan untuk mengekalkan kemandirian spesiesnya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Uncategorized

Hantar Maklum Balas Anda