Sains Penumbuhan Semula

Oleh Nor Azida Ishak

Jika ekor cicak putus, anggota yang hilang ini dapat dihasilkan semula daripada tubuhnya yang masih hidup. Cicak berkebolehan menanggalkan ekornya apabila menghadapi bahaya, terutamanya apabila diterkam oleh pemangsa. Proses menanggalkan ekor atau kaudal ini merupakan taktik pertahanan yang biasa dilakukan oleh haiwan dalam kategori cicak.

Ekor cicak yang terputus daripada badannya masih dapat bergerak bagi menarik perhatian pemangsa. Ketika ekor ini bergerak, pemangsa memberikan perhatian terhadap ekor. Hal ini menyebabkan cicak sempat melarikan diri. Kebanyakan cicak menumbuhkan semula ekornya dalam tempoh sembilan bulan.

Bagi sesetengah haiwan, proses penumbuhan semula berlaku dengan menyeluruh hingga seluruh tubuh multiselularnya dapat tumbuh semula, walaupun haiwan ini hanya tinggal sebahagian tisu kecil. Misalnya, tapak sulaiman dapat menumbuhkan semula tangannya yang putus. Seperti cicak, tapak sulaiman menanggalkan tangannya untuk melarikan diri daripada pemangsa.

Tangan yang putus ini berupaya menghasilkan seekor tapak sulaiman yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana organ penting bagi tapak sulaiman terletak pada tangannya. Biasanya, proses penumbuhan ini memerlukan tempoh selama setahun. Paling hebat, seekor cacing planaria berupaya menghasilkan tubuh baharu, walaupun hanya memiliki 1/200 jisim tubuhnya yang asal.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda