Kaedah Menternak Gamat Teripang

Oleh Zaidnuddin Ilias

Penternakan ialah peringkat akhir dalam kitar pembiakan dan ternakan gamat. Gamat diternak di sekitaran semula jadi hingga mencapai saiz pasaran sebelum dijual. Pada peringkat ini, anak gamat yang mencapai saiz yang sesuai bagi ternakan dikeluarkan daripada hatceri dan diternak dalam sistem ternakan luar hingga mencapai saiz pasaran. Umumnya, kaedah menternak gamat terbahagi kepada tiga cara, iaitu kolam, kandang dan pelepasan umum.

Saiz anak gamat yang dilepaskan di kolam atau kandang adalah antara 15 – 100 gram. Makin besar saiz anak gamat yang dilepaskan, makin tinggi kadar hidup anak gamat. Benih gamat dapat didapati daripada hatceri gamat atau nelayan yang mengutip benih gamat daripada laut.

Tempoh ternakan untuk mencapai saiz pasaran mengambil masa antara enam hingga 12 bulan dan bergantung pada banyak faktor, seperti cuaca, makanan dan kadar tumbesaran benih gamat.

Oleh sebab tempoh ternakan panjang, kaedah yang digunakan perlu dipilih dengan teliti. Kaedah yang dipilih perlu selamat, tahan cuaca dan mudah dipantau bagi mengelakkan kecurian gamat. Ternakan di laut perlu mengambil kira keadaan cuaca, seperti ribut atau tenang, dan hujan atau kemarau.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda