Akuaskap Makin Diminati

Oleh Norhanizan Sahidin

Apabila hobi memelihara ikan diperkatakan, terbayang akuarium yang dipenuhi dengan ikan hiasan yang cantik dan peralatan hiasan dalaman yang terdiri daripada kapal miniatur yang pecah, pasir dan tumbuhan plastik dengan bahagian belakang akuarium tertampal poster gambar pokok.

Pada masa ini, trend terbaharu akuarium dunia ialah akuaskap. Akuaskap ialah seni menghias akuarium menggunakan tumbuhan akuatik atau tumbuhan akuarium, susunan batu besar, batu kerikil, tunggul kayu, tanah dan pasir secara estetik di dalam akuarium. Aktiviti ini seolah-olah berkebun di dalam air.

Ada pelbagai konsep menghias akuarium. Namun begitu, konsep yang paling diminati oleh pelbagai golongan masyarakat ialah konsep semula jadi. Konsep semula jadi dipelopori dan dipopularkan oleh Takashi Amano.

Takashi Amano ialah seorang jurugambar profesional dan mengelilingi dunia untuk mengambil gambar alam semula jadi. Beliau memperkenalkan akuaskap mini menyerupai alam semula jadi di dalam akuarium. Buku beliau yang terkenal, iaitu Nature Aquarium World yang diterbitkan dalam tiga jilid mencetuskan fenomena baharu hiasan akuarium dunia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda