Manusia Berperangai Haiwan

Oleh Mohd Syukri Anwar

Lagaknya seperti seekor labah-labah. Dia memanjat dinding bangunan tanpa bantuan tali atau alat tertentu. Pantas dan cekap. Setelah tiba di atas bumbung, dia menghalakan tangannya ke arah bangunan lain. Tiba-tiba, tali keluar daripada hujung tangannya. Tali itu terbang dan melekat pada bangunan yang dilihat oleh lelaki itu. Dialah Spiderman, hero dalam filem Spiderman.

Kisah tentang orang yang mempunyai kuasa atau keupayaan luar biasa melampaui keupayaan manusia ini bukanlah suatu perkara yang baru dalam kalangan masyarakat. Banyak cerita tentang manusia seperti ini difilemkan. Antaranya termasuklah Spiderman, Cicakman, Superman dan X-Men.

Dalam semua filem ini, kuasa diperoleh apabila heronya disengat oleh haiwan atau disuntik dengan bahan khas. Setelah itu, hero memiliki ciri seperti haiwan yang menyengatnya. Contohnya, Spiderman mampu memanjat dinding dan menghasilkan tali setelah disengat oleh labah-labah. Cicakman pula mampu memanjat dinding, selain memiliki lidah yang panjang dan bersifat melekat setelah disuntik dengan serum.

Hal ini berlaku disebabkan oleh badan manusia mempunyai unsur yang sangat unik yang dikenali sebagai gen. Gen ini menentukan setiap kelakuan manusia. Apabila gen ini berubah, sama ada disebabkan oleh aruhan luaran atau dalaman, kelakuan yang sepatutnya ditonjolkan juga berubah.

Oleh sebab itu, fakta ini dapat digunakan bagi menerangkan tentang kejadian serigala jadian, iaitu manusia bertukar menjadi serigala. Ahli sains membuktikan bahawa kejadian ini disebabkan oleh hipertrikosis, iaitu sejenis penyakit genetik. Penyakit ini menyebabkan jasad penghidapnya ditumbuhi dengan bulu hingga penampilan luarannya kelihatan seperti serigala.

Malah, ahli sains percaya bahawa manusia yang dikatakan sebagai serigala jadian ini menghidap penyakit likantropi, iaitu sejenis penyakit mental. Penyakit ini menyebabkan penghidapnya menyalak Bulan, merangkak dan merayau-rayau di kawasan perkuburan pada waktu malam serta membunuh dan memakan daging manusia lain.

Penyakit likantropi pula mungkin berlaku disebabkan oleh striknin, iaitu bahan yang dapat menyebabkan delusi hingga orang yang memakannya percaya bahawa dirinya ialah seekor serigala. Oleh sebab itu, tidak mustahillah, jika orang yang melihat pesakit ini menganggap bahawa pesakit ini ialah serigala jadian yang ganas, berbahaya dan dapat mengancam keselamatan manusia.

Walau bagaimanapun, yang penting ialah manusia ini bukan berperangai haiwan dengan kerelaan hatinya. Pesakit ini tidak harus disalahkan, sebaliknya dibawa berjumpa doktor dan dirawat menggunakan kaedah yang sepatutnya. Hal ini penting supaya pesakit ini sedar bahawa dirinya ialah manusia yang sepatutnya berperangai seperti manusia, bukannya berperangai seperti haiwan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 4 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda