Teknologi Akuakultur Memacu Industri Perikanan

Oleh Idris Ahmad

Akuakultur merupakan proses pemuliharaan pelbagai spesies hidupan akuatik, sama ada di dalam air tawar, air payau atau air masin. Proses pemuliharaan ini dilakukan dalam sekitaran terkawal bertujuan meningkatkan kuantiti produk berunsurkan protein yang berkualiti tinggi dan selamat dimakan.

Bidang akuakultur menggunakan sumber tanah, perairan di sungai, saliran, tasik dan laut secara optimum. Sehubungan itu, aplikasi akuakultur dalam kehidupan manusia perlu dikembangkan dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat.

Tanpa kefahaman asas, kepentingan akuakultur amat sukar ditafsirkan, melainkan menerusi penerapan awal secara praktikal, terutamanya di sekolah. Matlamatnya adalah untuk memaparkan fungsi hidupan akuatik, organisasi, struktur dan keperluannya, termasuklah kaedah, prosedur dan proses pemuliharaan.

Di Malaysia, penternakan ikan dan udang bermula sejak akhir era 1950-an di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Tumbesaran ikan dan udang di negara ini cepat kerana Malaysia beriklim tropika. Keadaan ini menggalakkan industri akuakultur. Namun begitu, jumlah ini masih belum seiring dengan pembangunan dan keperluan penduduk.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 4 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda